Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Tuesday, December 11, 2012

Cuba resepi ini.....Ayam Bakar Bersos Bawang Putih

Assalamualaikum.....

Dikesempatan ini chef ingin mengucapkan semoga anda semua sentiasa sihat walfiat disamping keluarga tersayang.

Apa kata untuk kali ini, chef kongsikan satu lagi resepi yang boleh anda cuba bila ada kelapangan. Ataupun memang anda bercadang atau tercari-cari resepi ayam bakar. Ha.ha Eloklah benar...anda mencuba resepi ini.

Daripada anda makan di restoran makanan yang menghidangkan makanan 'western', apa kata anda yang menyediakan kali ini. Bolehlah makan beramai-ramai bersama keluarga atau sahabar handai.

Baiklah....chef listkan bahan-bahannya dan cara menyediakannya. Selamat mencuba....


Bahan-bahan

Bahan Perapan
1 ekor ayam (dibersihkan)
1 sudu besar serbuk cili paprika
1 sudu kecil rempah thyme
Garam dan serbuk lada sulah secukup rasa
Sedikit minyak (untuk melumur)

Bahan Sos
1 liter air
1-2 sudu besar serbuk sos perang/demiglace
1/2 biji bawang besar (bombay) - dicincang halus
5-8 ulas bawang putih - dicincang halus
Sedikit mentega/marjerin (untuk menumis)
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Roux (bahan pemekat diperbuat dari tepung dan mentega)

Cara Menyediakannya
1. Perapkan ayam dengan bahan tersebut dan rehatkan selama 1/2 jam.
2. Bakar selama 50 - 1jam pada suhu 170 - 180C.
3. Untuk sosnya, didihkan airnya dan masukkan serbuk sos  dan dipukul hingga sebati. Ketepikannya.
4. sekarang masukkan mentega dan tumis bawang putih dan bawang besar hingga sedikit layu.
5. Setelah itu, tuangkan sos perang yang telah dibancuh tadi dan biarkan ia mendidih secara perlahan.
6. Perasakan dengan garam dan serbuk lada sulah.
7. Masukkan roux sedikit demi sedikit sambil dipukul hingga pekat.
8. Tutup api dan hidangkan ayam bersama sos.

Tips: Roux disediakan dengan mencairkan mentega dan dimasukkan tepung gandum. Kacau ia sebati.

P/S: Jangan lupa membeli Majalah Aroma pada setiap bulan. Ada ruangan chef didalamnya....



Sunday, November 4, 2012

Terima kasih....friends yg ke 300

Assalamualaikum......

Sedar tak sedar, masa berlalu begitu pantas sekali....nak kejar memang tak terkejar. Yang pasti ianya akan terus berlalu pergi tanpa berhenti sesaat pun.

Begitu jugalah blog chef ini dikunjungi, dibelek-belek, dilihat sana dan sini. Ada yang suka, ada yang mencebik. Namun begitu, blog dijadikan sebagai penghubung antara satu insan dengan insan lain sekeliling kita dalam berkongsi idea dan cerita.

Huhhh dengan masa yang berlalu, blog chef juga telah dikunjungi pelbagai masyarakat bukan saja orang Malaysia malah orang luar seperti Brunei, Indonesia, Thailand, U.S,...bla bla bla....uzbekistan, goheadgostan dan stan stan.......

Apapun ceritanya, chef ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengunjung terutama sekali yang sudi untuk menjadi "Friends" pengikut setia blog chef yang tak seberapa ni. Sebak pulak rasanya...huhuhu.....

Andalah sebenarnya yang  menceriakan dunia kulinari agar bertambah meriah. Tanpa sokongan anda siapa diri chef ini. Terima kasih.

Akhir kata, sambutlah salam ikhlas dari chef khas buat anda semua.....

Ikhlas dari,

Chef Hussin Khan


Saturday, October 27, 2012

Apa resepi hari ini......

Selamat hari raya aidil adha. Semoga kita mendapat keberkatan dari apa yang kita korbankan selama ini demi agama suci kita, Islam.

Apabila berkata tentang hari istimewa ini, chef sebenarnya ingin kongsikan resepi yang telah chef sediakan untuk kenduri kesyukuran dalam merai ibu, kak ipar dan abang tersayang yang akan berangkat ke tanah suci. Alhamdulillah majlis yang pada mula tidak dirancang disebabkan sibuk dengan tugas seharian, akhirnya dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin.

Mungkin itulah namamya "takdir", keinginan ibu dalam mendapat ketenteraman hati sebelum menjadi tetamu Allah.....akhirnya termakbul. Maklumlah ini kali pertama ibu akan ke Mekah dan mungkin kali terakhir juga. Hasil titik peluh ibu menyimpan duit hasil dari menoreh suatu masa dulu, akhirnya digunakan untuk menghadap Ilahi.

Keinginan hati ibu tiada siapa yang mengerti. Walaupun ibu tak luahkan namun sebagai anak chef dapat merasainya. Orang lain meraikan keberangkatan ibu dan bapa dengan mengadakan kenduri kesyukuran sebagai azimat agar hati tenteram menghadapi pelbagai ujian disana nanti.

Untuk itu, chef telah meminta ibu untuk menjemput kenalan ibu serta jiran-jiran. Nak dibuat cerita, memang ramai yang datang pada malam tu. Makanan yang dimasak pun dalam 70 orang. Mujurlah makanan terutama nasi yang dimasak, cukup cukup mengikut bilangan orang yang datang. Mungkin "berkat" namanya tu. Tiada pembaziran langsung.

Chef dan isteri telah menyediakan masakan ringkas.....ayam masak kicap, gulai udang dan kentang, pulut kuning bersama kari ayam, tumisan ikan masin bercili, tumisan sayur kobis, sambal belacan dan nasi putih je.

Apa lagi pada pagi tu terpaksalah turun pasar untuk membeli barang-barang yang dikehendaki untuk dibuat persediaan. Selepas asar, barulah proses menggoreng dan memasak dilakukan. Walaupun dapur kecil je iaitu dapur 2 penunu digunakan, masakan dapat disudahkan sebelum maghrib.

Apa yang chef perhati, ibu berasa sungguh gembira dan bersyukur segalanya selesai dengan baik. Walaupun majlis tidak dihadiri oleh adik-adik disebabkan sibuk dengan tugas hakiki, namun kehadiran abang sedikit sebanyak memeriahkan lagi majlis. Maklumlah majlis ini dibuat untuk merai mereka juga.

Apapun, sekarang ibu dan abang sedang mengerjakan haji di tanah suci Mekah. Mereka telah pun dipilih menjadi tetamu Allah. Kita bila lagi....usaha haruslah dimulakan dari sekarang selain doa perlulah dipanjatkan selalu agar kita dipilih sama. Paling penting, pasang niat sungguh-sungguh.

Untuk kali ini, chef kongsikan resepi ayam masak kicap versi chef yang boleh anda cuba. Salah dan silap harap diampun. Selamat Hari Raya Aidil Adha.

Bahan-bahan
5 ekor ayam - dibersihkan dan diperapkan dengan garam dan kunyit
4 biji Bawang putih - dihiris halus
10 biji Bawang merah - dihiris halus
5 biji Bawang Bombay - dipotong bulat
4 batang Halia -dihiris halus
2 genggam Cili kering - dikisar
10 biji Cili Hijau - dipotong dua
10 biji Cili Merah - dipotong dua
5 batang Kulit Kayu Manis
10 biji Bunga Lawang
10 biji Buah Pelaga
6 - 7 biji tomato (dibelah 4)
1 botol Kicap Lemak Manis (botol besar jenama Adabi/Kipas Udang)
1 botl Sos Tiram (botol kecil)

Cara Menyediakannya
1. Ayam digoreng separuh masak dan ketepikannya.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah, cili kering, halia, kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan bawang bombay sehingga layu.
3. Masukkan sos tiram dan kicap lalu dimasukkan ayam.
4. Masukkan tomato, cili merah dan cili hijau lalu ditutup api.
5. Hidangkan ia selepas ditaburkan dengan sedikit bawang goreng dan daun ketumbar/daun bawang.

Tips
1. Kalau nak pedas, masukkan hirisan cili padi.

SELAMAT MENCUBA............................................

Wednesday, September 19, 2012

Aroma bulan Oktober dah pun keluar...jom beli

Assalamualaikum.....

Apa kabo semua....Dah lama bebenor rasanye tak ke udara.....sekejap ada sekejap menghilang, macam biskutlah chef ini...tak gitu. Haha....

Pertama sekali chef ingin memohon berbanyak kemaafan kepada anda semua kerana dah lama tak muncul. Sebenarnya chef agak sibuk dengan urusan harian selain sedang merancang untuk menjalankan satu bisnes. Bisnes? tentu anda tertanya-tanya bisnes apa bukan. Alaaa bisnes kecil-kecilan je tapi eloklah rasanya chef simpankan dulu cerita tentang bisnes ini. Dah berjaya nanti, barulah chef kongsikan ok. Apapun...doakan agar segalanya berjalan dengan lancar.

Untuk kali ini chef ingin kongsikan dengan anda tentang kisah atau pengalaman chef semasa berdemo di Sabah. "Boleh Bah Kalau Kau" ungkapan yang unik dari segi bunyinya. Kadang-kadang lucu pun ada kalau ianya didenggungkan bunyinya. Namun begitu, ungkapan ini begitu meninggalkan kesan pada diri chef sepanjang berada di Kota Kinabalu.

Segala kenangan sepanjang berada disana juga susah hendak chef lupakan.  Ada rezeki, chef pasti akan kesana lagi.


Hmmm... sudahkah anda mendapatkan senaskah dua Majalah Aroma bulan Oktober ini. Kalau belum, cepat dapatkannya sebelum kehabisan!!!!!!! Yang pasti, ianya laku macam goreng pisang panas.

Dalam keluaran ini, segala kenangan bergambar sepanjang berada di Sabah chef kongsikan. Juga masalah yang dihadapi oleh chef ...chef ceritakan. Sebenarnya, itulah asam garam sepanjang memegang gelaran ini. Apapun syukur pada Ilahi di atas pertolongannya selain mematangkan diri chef untuk terus maju.

Baiklah......jangan lupa untuk dapatkan Majalah Aroma keluaran Oktober 2012. Yang pasti dan pasti, anda pasti akan menyukainya.....

Wallahualam..... Jumpa lagi.




Tuesday, August 7, 2012

Majalah Aroma Ogos 2012

Assalamualaikum....

Aroma bulan Ogos telah pun keluar. Kali ini ianya memuatkan segala cerita tentang hari raya. Dari biskut raya hinggalah lauk pauk yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia pada hari raya. Cerita kenangan chef di hari raya juga dimuatkan untuk tatapan pembaca.

Untuk itu, ayuh......jangan berlengah lagi. Segera capai basikal anda.....kayuh ke kedai berdekatan (kalau kedainya dekat...tak gitu). Dapatkan senaskah dua atau tiga sebelum kehabisan.

Apa yang chef ketahui, Aroma ini memang cepat kehabisan. Baru je letak, dah lesap...maksudnya dah habis. Macam pisang goreng panas gitu. Ramai yang meminatinya disebabkan resepinya yang mudah dan gerenti jadi. Tak caya!!!! cubalah dulu.


Keluaran Ogos dah pun keluar tapi rasanya dah kehabisan. Sekiranya habis, mintalah tokey kedai 'order' baru. Selain resepi, warna serta cetakannya memang berkualiti menusuk kalbu. Jangan tertusuk duri sembilu udah ler.....hehe.

Bagi yang baru nak belajar2 memasak, eloklah dapatkan segala resepi yang dikehendaki untuk dicuba.Kalau sedap, beri jiran2 dan kawan2 rasa tau. Kalau tak sedap, cuba dan cuba lagi....mungkin terlupa masuk gula kot....Haha....jangan risau tentu anda boleh.

Baiklah semua...segala yang chef tuliskan ini sekadar gurauan je. Jangan ambik hati noo. Orang jawa sebut..no hard feeling gitu. 

Sehingga berjumpa lagi......salam sayang dari chef khas untuk anda semua.

Selamat berpuasa dan selamat menyediakan biskut raya.....jgn lupa buat biskut semprit tau....

Chef Hussin


Saturday, August 4, 2012

Piza Oblong

Assalamualaikum....

Apa khabar? Semoga semua sihat-sihat disamping menjalankan ibadah puasa. Dah masuk minggu kedua kita berpuasa....haha harap semuanya masih 'steady' lagi.



Chef malas nak berceloteh panjang...sekadar ingin kongsikan menu piza yang telah chef sediakan dirumah kelmarin. Disebabkan terdapat 2 keping roti pita yang masih tersimpan di dalam peti sejuk, apa lagi...chef  keluarkan dan terus 'tepek tepek' lalu dibakar.

Sebenarnya roti pita ni chef beli di Tesco je...tak payah susah-susah cari di tempat lain. Tak perlu juga untuk uli tepungnya kerana hasilnya tetap sama macam piza yang kita makan di restoran piza.

Memang mudah sebab menggunakan barang yang ada di rumah. Tapi kenalah beli dulu barang-barang tu. Yang penting kejunya kena ada. Kalau takde benda ni, tak jadilah piza kita. Apapun Selamat Mencuba!!!!!

Resepinya adalah........

Bahan-bahan

1 - 2 keping roti pita oblong (saiz tidak menjadi masalah)
3 - 4 sudu besar sos tomato prego (lebih mudah guna yang ini)
2 ulas bawang putih - dihiris halus
1 biji bawang besar - dihiris nipis
1/2 tin kiub nenas
1 tin tuna 'chunk in oil' (buang minyaknya dengan menekan penutup tin ke atas isi ikan)
1/4 biji lada benggala - dihiris nipis memanjang
3 batang sosej - dihiris nipis
Keju mozarela - disagat halus
Serbuk Keju Parmesan (botol warna merah)
Sos Cili
Mayonis

Caranya....

1. Sapukan sos tomato prego di kesemua permukaan roti pita.
2. Taburkan bawang putih, diikuti tuna, nenas, bawang, lada benggala dan sosej.
3. 'Pipekan' sos cili dan mayonis ke atas bahan tadi.
4. Taburkan keju mozarela dan disudahkan dengan keju parmesan.
5. Bakar ia didalam ketuhar sehingga keju mencair.

Tips...
1. Boleh juga dimasukkan isi ayam yang telah dimasak.
2. Sekiranya menggunakan makanan laut seperti udang dan sotong, eloklah ianya ditumis dulu sebelum diletakkan diatas roti itu.
3. Tiada keju parmesan pun takpe tapi keju ini akan memberi aroma kepada piza selain rasa.
4. Sekiranya tiada sos tomato Prego, kisar je tomato 'fresh' lalu disapukan di atas roti.

Sunday, July 29, 2012

Hanya Bakar-Bakar Aje

Salam kepada semua.

Apa khabar? Harap semuanya sihat belaka disamping menjalani ibadah puasa. Rasanya tak terlambat untuk chef ucapkan Salam Ramadan kepada anda semua. Puasa jangan tak puasa tau. Sesungguhnya puasa adalah satu kewajipan kita sebagai hamba kepada Tuhan yang Maha Esa.

Untuk kali ini, chef nak kongsikan dengan anda satu menu ringkas yang telah chef buat semalam. Entah kenapa teringin pula nak makan ayam bakar. Apa lagi, pagi tu chef pun terus perap seekor ayam dengan perapan satay. Petangnya pula chef bakar menggunakan kayu arang. Santai-santai gitu katakan...kat tepi rumah je.

Menu ni memang mudah, hanya kisar segala bahan dan perap. Lepas itu, bakar.....kan mudah. Makan pula dengan air asam. Ok juga walaupun cicah dengan air asam.

Oklah, chef kongsikan menunya disini. Kalau nak try....pi beli ayam dulu.




Bahan-bahan

1 ekor ayam (dipotong 4, dibersihkan)

2 biji bawang merah (saiz besar)
5 ulas bawang putih
Sedikit halia (dibuang kulit)
2 batang serai (saiz kecil aje)
2 ketul gula melaka (saiz nipis, bukan yg ketul tu)
1/2 sudu besar serbuk kunyit
1/2 sudu besar serbuk jintan manis
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa

 Cara Menyediakannya

1. Campurkan kesemua bahan lalu dikisar halus.
2. Tuangkan keatas ayam lalu diperapkan ia selama 4 - 5 jam (semalaman lagi bagus).
3. Bakar ayam di atas api sambil dituangkan lebihan perapan ke atas ayam.
4. Hidangkanlah panas-panas.....tunggu azan baru makan.

Tips
1. Hanya barang ni saja chef gunakan dan seelok-eloknya diperap semalaman dan diletakkan di dalam peti sejuk.

Selamat Mencuba........


Thursday, July 12, 2012

Majalah Aroma Di Hati Ku

Assalamualaikum semua....apa khabar?

Untuk kali ini, chef nak berkongsi dengan anda semua artikel tentang chef di Majalah Aroma. Syukur alhamdulillah, majalah kulinari ini mendapat sambutan yang cukup hebat dan berada dalam kelasnya tersendiri.


Bagi pengemar masakan ataupun yang biasa den sebut "kulinari', elok benarlah dapatkan majalah ini. Haha bila masa pula "mi ke" orang Perak jadi "den" orang nogori. Buruk benorlah pulak bunyinye.



Tahniah pada Aroma di atas pencapaian ini dan diharapkan akan terus sukses sama macam Majalah Saji, Rasa, Jelita dan sebagainya. Chef sebenarnya ingin mengucapkan terima kasih kepada Aroma kerana sudi memberi ruang kepada chef untuk berjaya dengan menyediakan ruangan "Studio Masakan Chef Hussin".



Pada post ini, chef letakkan beberapa suntingan gambar yang chef ambil dari Aroma bulan Jun dan Julai 2012. Kepada anda, jangan lupa untuk dapatkan senaskah dua majalah ini. Rugi kalau tak dapatkannya tau....memang berbaloi.

Untuk itu, jangan tunggu lagi, dapatkan Majalah Aroma hari ini juga.






Sunday, July 1, 2012

Resepi Hari Ini - Daging Bakar Bersos Lada Hitam

Bertemu lagi untuk minggu ini.....

Untuk hari ini, chef ingin kongsikan satu lagi resepi yang berasaskan daging. Resepi ini telah chef sediakan secara bufet. Maknanya kuantiti yang besar (banyak) perlu disediakan dan diletakkan dalam bekas yang agak besar juga.

Makanan untuk bufet kebiasaannya dihidangkan dalam kuantiti yang besar disebabkan pengunjungnya yang agak ramai dalam satu-satu masa. Mungkin 50 orang, 100 orang dan mungkin lebih dari itu... Untuk mengelakkan kerja "refill" atau pengisian semula makanan yang berulangkali, maka satu kuantiti yang besar akan dimasukkan dalam bekas makanan tersebut.

Ini memberi ruang kepada chef untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja lain. Taklah penat sangat...asyik-asyik mengisi makanan.

Teringat masa di Brunei dulu dalam satu majlis di Istana Brunei. Ramai pengunjung yang datang pada malam itu dimana makan malam secara bufet dihidangkan dan selepas itu supper juga disediakan secara bufet.

Perkara yang chef tak boleh nak lupa adalah makanan yang baru diletakkan dah abis tak sampai 5 minit. Apalagi terpaksalah isi makanan secara kerap. Penat dibuatnya. Makanan yang disediakan untuk supper juga terpaksa digunakan pada masa itu. Ini memaksa chef-chef didapur perlu menyediakan makanan baru untuk supper pula.

Sebenarnya pengunjung yang datang ke Istana begitu menghargai makanan yang dihidangkan selain bangga menjadi tetamu Sultan. Sebab itu, apa saja makanan yang dihidangkan akan dinikmati sebaiknya.Chef sebenarnya berbangga menjadi sebahagian staf yang terlibat ketika itu...gembira melihat makanan yang disediakan begitu disukai dan dihargai.

Untuk itu, kali ini chef ingin kongsikan resepi Daging Bakar Bersos Lada Hitam yang cukup mudah untuk disediakan. Selamat Mencuba.......
 Bahan A (Daging)

1 ketul daging lembu (seelok-eloknya Striploin)
2 sudu besar serbuk cili/paprika
1 sudu besar lada hitam (dikisar kasar)
Garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk melumur

Bahan B (Sos Lada Hitam)

2 - 3 sudu besar serbuk sos perang (demiglace)
1 biji bawang besar (dicincang halus)
4 - 5 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 sudu besar lada hitam (dikisar kasar)
2 liter air
Garam secukup rasa
Sedikit majerin
Sedikit roux (bahan pemekat)

Cara Menyediakannya

1. Campurkan kesemua bahan A lalu digaulkan ke atas daging tersebut.
2. Perapkan selama 30 minit dan bakar dilakukan ketukar selama 1 jam pada suhu 180C.
3. Keluarkan daging dan hiris mengikut ketebalan yang anda suka.
4. Untuk menyediakan sosnya, didihkan air terlebih dahulu sebelum dimasukkan serbuk sos perang sedikit demi sedikit sambil dipukul dengan 'wire whisk'.
5. Kecilkan api dan biarkan ia mendidih perlahan agar sosnya sebati.
6. Didalam kuali yang lain, tumis bawang besar, bawang putih dengan sedikit majerin hingga naik baunya.
7. Masukkan lada hitam yang dikisar kasar lalu dituangkan sos perang tadi.
8. Perasakan dengan garam secukupnya dan biarkan ia mendidih selama 20 minit.
9. Untuk memekatkannya, masukkan sedikit 'roux' dan dikacau sebati dengan 'wire whisk'.
10. Tuangkan sos lada hitam ke atas daging lalu dihidangkan panas-panas.

P/S: Roux adalah campuran butter yang dicairkan dan digaulkan dengan tepung gandum. Kuantiti bahan ini perlulah sama...cthnya 100 g butter, tepung yang digunakan perlulah 100 g.

Saturday, June 9, 2012

Resepi Hari Ini - Vol-Au Vent Ayam Bercendawan

Untuk kali ini, chef ingin kongsikan satu lagi menu 'simple. Menu ini sebenarnya melibatkan penggunaan 'puff pastry'.Nak tahu apa itu puff pastry, haha yang ini anda kena browse internet. Terdapat pelbagai versi hidangan yang menggunakan puff pastry ini.

Menu ini memang sangat untuk disediakan....tambah memudahkan kerja sekiranya menggunakan puff pastry segera yang boleh didapati di kebanyakan pasaraya. Hanya beli, potong dan bakar. Nak potong pun terpulang pada anda....mengikut benyuk kesukaan anda. Chef menggunakan ring cutter untuk mendapatkan puss pastry yang berbentuk bulat. Saiz tak jadi masalah...juga terpulang kepada anda.

Setelah dibakar, ianya akan mengembang untuk beberapa sentimeter lagi. Itulah kehebatan puff pastry selain mempunyai tekstur yang rangup selain lembut bila dikunyah.

Untuk mencubanya, chef sertakan  menu Vol-Au Vent Ayam Bercendawan dan hidangkanlah pada bila-bila masa. Esklusif dari Studio Masakan Chef Hussin. Selamat mencuba......chow chi chow.


Bahan-Bahan.

1 keping pastri puf segera (1 bahagian dipotong bulat (bawah), 1 bahagian dipotong bulat berbentuk gelang (atas))
1 biji telur (dipukul)

Untuk Intinya

2 ulas bawang putih (dicincang halus)
1/2 biji bawang bombay (dicincang halus)
3-4 biji cendawan butang (dihiris nipis)
Secubit serbuk rempah thyme
100 ml krim makan  (Brand Anchor)
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Sedikit keju mozzarella (disagat)
Sedikit air

Cara Menyediakannya

1. Sapukan sedikit majerin atau tepung pada tray pembakar.
2. Letakkan kepingan (bawah) pastri puf diatas tray dan letakkan pula pastri puf (bentuk gelang) keatasnya setelah disapu dengan telur.
3. Setelah dilekatkan kedua-dua bahagian, sapu telur dibahagian atasnya pula.
4. Bakar dalam ketuhar pembakar selama 15-20minit dalam suhu 170C.
5. Untuk menyediakan intinya, tumis sebentar bawang putih dan bawang bombay.
6. Masukkan juga cendawan, thyme sebelum dituangkan krim dan air. Biarkan ia mendidih sebentar.
7. Perasakan dengan garam dan serbuk lada putih.
8. Keluarkan pastri puf yang telah dibakar dan isikan ia dengan inti ayam ini.
9. Taburkan keju keatasnya lalu dibakar sebentar hingga keju cair.
10. Hidangkanlah ia panas-panas.

Tips

1. Keju parmesan juga boleh ditaburkan sedikit untuk memberi rasa dan haruman yang lebih menarik.
2. Selain ayam, sebarang jenis makanan laut juga boleh digunakan.



Sunday, May 27, 2012

Resepi Hari Ini - Sup Minestroni 'Seafood'

Assalamualaikum...

Untuk kali ini, apa kata anda cuba pula untuk menyediakan sup Mat Salleh dari Itali ni. Sup ini telah chef sediakan minggu lalu untuk kelas masakan komersial.

Bercerita tentang sup ini, ianya menggabungkan pelbagai bahan yang mudah didapati di kebanyakan pasaraya kita.

Ianya banyak menggunakan tomato...maklumlah negara Itali memang terkenal dengan penghasilan tomato yang banyak. Disebabkan itu juga...setiap tahun mereka mengadakan pesta baling tomato tak gitu.....mungkin lebihan tomato ataupun mereka dah jemu makan tomato. Maka kebanyakan tomato dibazirkan begitu sahaja......jalan dan lorong-lorong di Itali bertukar menjadi merah.

Memang sup ini banyak menggunakan tomato namun chef kurangkan sikit untuk memenuhi citarasa kita. Selain itu, ianya juga banyak menggunakan bawang putih dan daun basil. Inilah rahsia kepada sup ini dalam memberi rasa kesedapan yang tak terkata dikala sup ini dihirup.

Waduhhh waduhhh enak bangat.......kata orang Indonesia setelah merasai sup ini. Sekiranya anda tidak memakan makanan laut....maklumlah takut gout, bolehlah cuba elakkan penggunaannya. Memadailah sekadar menggunakan sayur-sayuran sahaja. Memang sesuai untuk golongan vegetarian juga.


Nak cuba untuk menyediakan sup ini, chef sertakan resepinya dibawah post ini. Juga anda boleh mendapatkan resepi ini dalam buku masakan chef yang telah lama berada di pasaran. Hanya menanti anda untuk mendapatkannya.

Apapun selamat mencuba.......Chow Chi Chow......

Bahan-bahan

5 ekor udang (dibersihkan)
3 ekor sotong (dipotong ring)
1 filet isi ikan (sebarang jenis ikan, dipotong dadu)
3 - 4 keping mussel-kepah hijau (dibersihkan)
1 biji lobak merah (dipotong dadu kecil)
1 batang seleri (dipotong dadu kecil)
1 batang leek (dipotong dadu kecil)
1 biji bawang bombay (dipotong dadu kecil)
1 labu bawang putih (dicincang halus)
1 paket daun basil (boleh didapati dicold storage, dicincang halus)
3 sudu besar pes tomato
10 - 15 batang spagheti (dipatah 2)
3 sudu besar kacang merah-kidney bean
Beberapa sudu serbuk keju parmesan
3 liter air
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Serbuk stok ayam secukup rasa
Majerin/Mentega - untuk menumis

Cara Penyediaannya

1. Panaskan mentega lalu tumis bawang putih hingga sedikit layu dan wangi.
2. Masukkan sayuran dadu yang lain dan tumis hingga layu.
3. Masukkan makanan laut lalu ditumis sebentar.
4. Masukkan daun basil yang dicincang serta pes tomato. Kacau ia hingga sebati.
5. Tuangkan air dan biarkan ia mendidih.
6. Masukkan spaghetti dan biarkan ia hingga lembut.
7. Perasakan sup dengan garam, serbuk lada putih dan stok ayam.
8. Masukkan kacang merah sebelum menutup api.
9. Taburkan keju parmesan dan hidangkanlah ia panas-panas.

Tips.

1. Nak masam, lebihkan penggunaan pes tomato.
2. Boleh juga masukkan tomato segar yang dipotong dadu.





Tuesday, May 22, 2012

Resepi Hari Ini - Udang Goreng Serbuk Roti

Assalamualaikum.....dan salam sejahtera kepada anda semua.

Apa menu agaknya hari ini. Haha...dah pun terpampang pada tajuknya...Udang Goreng Serbuk Roti. Untuk menyediakan menu pembuka selera ini taklah susah sangat.....maksudnya memang senang gitu. Yang penting kena ada serbuk rotinya.....kalau tak..tak jadi.

Tanpa melengahkan masa anda yang sentiasa sibuk...tak gitu. Disini chef kongsikan resepi untuk menu ini. Boleh juga dimakan begitu saja tanpa salad atau sos. Tapi lebih enak kalau dicicah dengan sebarang jenis sos. Chef syorkan kalau nak makan, makanlah dengan sos cili Thai ataupun dikenali sebagai Sos Pranom.

Selamat Mencuba....Cau Ci Cau....



Bahannya

5 - 10 ekor udang sederhana besar (lagi besar lagi bagus)
1 mangkuk serbuk roti (yang berwarna putih, bukannya kuning tau)
1 mangkuk tepung gandum (jgn guna tepung jagung..haha)
2 biji telur ayam (yang dibasuh saja)
Garam dan serbuk lada putih secukupnya (kurangkan garam untuk kesihatan)
Minyak untuk menggoreng (jangan guna minyak lenga...tak gitu)

Cara Menyediakannya

1. Udang perlulah dibersihkan terlebih dahulu, buang kulitnya tetapi tinggalkan ekornya.
2. Perasakan dengan garam dan serbuk lada putih. Perapkan seketika.
3. Letakkan udang pada tepung, diikuti telur yang telah dipukul dan akhiri dengan serbuk roti.
4. Setelah minyak panas, goreng udang hingga kuning keemasan.
5. Haha dah pun siap...bolehlah dihidangkan dengan sos kegemaran anda.

Tips

1. Minyak tidak boleh terlalu panas.....tak pasai-pasai hangus serbuk rotinya..
2. Perahlah sedikit jus lemon agar terangkat kesedapan menu ini. Nak masam, tambahlah beribu-ribu lemon.


Psssss: Sekadar gurauan semata-mata....tiada yang lain sekadar gurauan je tau.....

Sunday, May 20, 2012

Salad minggu ini....Salad Nicoise

Assalamuualaikum......pekabo semua. Harap sihat-sihat belako. Haha....hari ini chef ingin kongsikan dengan anda resepi salad je. Ini adalah salad yang telah chef sediakan semasa kelas masakan. Rugi rasanya kalau tak ambil gambar. Dah alang-alang 'snap' gambar, eloklah benor chef kongsikan gambar ni beserta resepi....tak gitu.

Oklah untuk kali ini salad nicoise ingin chef kongsikan dengan anda. Ianya agak mudah tetapi sungguh berkhasiat. Molek benorlah untuk orang yang menjaga kesihatan....diet katakan. Diet-diet juga....makan kena jaga. Oklah...apa kata cuba resepi ini.

Selamat Mencuba....
Bahan-bahan

2-3 helai salad segar (dikoyakkan)
Beberapa hirisan dada ayam (digril atau dipanggang)
1 biji kentang (direbus masak & dihiris sederhana tebal)
2 batang kacang buncis (dicelur)
2 keping daging salai 'beef bacon' (hiris memanjang)
1 sudu isi tuna (dalam tin)
1 biji tomato (dibelah 4)
1 biji telur rebus (dibelah 4)
1 sudu teh biji kaper
Beberapa biji zaitun hitam
1 sudu teh serbuk keju parmesan

Bahan B (sos vinaigrette)
50 ml cuka
100 ml minyak zaitun
1/2 biji bawang besar (dicincang halus)
1 ulas bawang putih (dicincang halus)
Gula, garam dan serbuk lada putih secukup rasa

Cara Penyediaannya
1. Untuk menghasilkan sosnya, campurkan kesemua bahan lalu dipukul sebati. Sejukkannya
2. Susun kesemua bahan diatas pinggan dan tuangkan sos keatasnya.
3. Taburkan serbuk keju parmesan keatasnya.
4. Hidangkanlah ia setelah dihias.

Tips
1. Sos koktel, sos pulau seribu atau sos tartar juga boleh digunakan sebagai ganti kepada sos vinaigrette.
2. Sos vinaigrette yang dihasilkan mestilah masam-masam manis. Boleh lebihkan penggunaan gula.

Monday, April 23, 2012

Jenguk Sebentar

Assalamualaikum semua..... Dah lama chef tak ke sini. Sekadar lalu dan eloklah chef tuliskan sesuatu. Untuk musim baru Spice Routes, chef tidak lagi menjadi hos rancangan itu. Setelah selesai saja musim ke 4 hari itu, chef agak terikat dengan komitmen kerja. Agak susah untuk chef menggembara untuk satu jangka masa yang lama. Untuk itu, chef mengambil keputusan untuk mengundur diri dan beri laluan kepada chef baru. Apapun chef tak kisah tentang hal itu.....itulah dinamakan rezeki. Buat masa sekarang chef hanya menumpukan kepada penghasilan buku masakan selain tunggu offer lain untuk menerbitkan sebarang rancangan masakan berbentuk studio. InsyaAllah rancangan berbentuk masakan berbentuk studio ni lebih mudah untuk chef sertai. Kalau tidak waktu cuti semester, masa hujung minggu akan chef gunakan. Apapun buat masani, chef terhadkan penglibatan chef dalam sebarang rancangan disebabkan komitmen kerja. Disebabkan itu, undangan untuk rancangan seperti MHI dan NLKO terpaksa chef tolak. InsyaAllah ada kesempatan di lain kali, pasti chef akan join. Untuk pengemar Spice Routes Musim Ke 5, berilah sokongan anda kepada hos baru. Yang pasti banyak info menarik akan dipaparkan buat tatapan anda sekeluarga. Sekian....jumpa lagi. Chef Hussin

Sunday, February 26, 2012

Catatan Bergambar Semasa Berada Di Turki......

Assalamualaikum......

Dikesempatan ini, chef masih lagi ingin kongsikan kenangan bergambar semasa berada di Turki. Untuk itu, skrol dan terus skrol.......

Pemandangan di atas salah sebuah bukit di Konya Turki

Cara orang tempatan berpiknik.....di atas bukit pulak tu

Bersantai-santai di petang hari sambil menghirup kopi Turki

Inilah antara hotel penginapan chef di Turki

Di kilang pemprosesan minyak ros.....wangiiiii

Suatu masa dulu...inilah peralatan tradisional menghasilkan minyak bunga ros

Haha...inilah hasil ros yang kini banyak dipasarkan di Eropah

Disalah sebuah bandar yang menghasilkan minyak ros

Pekerja sedang memetik bunga ros.....

Dalam perjalanan ke destinasi seterusnya....singgah sebentar di bandar pesisir pantai

Masih di situ.....berehat sebentar

Sungguh ramah orang Turki....siap menyapa chef..

Bukit yang berbatu-batu menghiasi perjalanan chef

Ini di hotel penginapan yang lain pulak.....

Saturday, January 28, 2012

Catatan bergambar semasa di Turki

Apa kata untuk kali ini, kita sama-sama melihat gambar yang sempat chef rakamkan semasa berada di negara Turki.

Ini sajalah kenangan yang dapat chef kongsikan selain rakaman Spice Routes 4 yang telah pun melabuhkan tirainya.

Ini adalah antara baklava iaitu sejenis manisan yang terkenal di Turki

Antara jenis baklava....namanya tak berapa ingat

Yang ni, proses menghasilkan yogurt secara traditional

Pemandangan dari atas bukit di daerah Niksar......

Pemandangan ladang ros. Masani belum ada bunga lagi

Berhadapan tugu Kamal Ataturk.........

Salah satu lokasi pengambaran....kawasan pokok Pine

Salah satu menara masjid di Turki

Penjual air teh jalanan....

Thursday, January 26, 2012

Mencari Ilham Untuk Buku Masakan Baru

Assalamualaikum...

Apa khabar semua.

Bagi diri chef, masih macam biasa...sihat walfiat. Buat masani chef taklah sesibuk mana. Maklumlah tiada apa-apa offer buat masani setelah chef tolak offer yg datang.

Bukannya chef tak nak ambil offer tu. Tapi disebabkan baru pindah rumah....chef terpaksalah tolak. Maklumlah tiada jiran di kiri kanan. Takut nak tinggalkan keluarga macam tu je. Maklumlah kejadian samun, pecah rumah dan berbagai-bagai kes semakin menjadi jadi di merata tempat.

InsyaAllah, next time kalau ada offer....pasti chef akan terima. Offer hari itu pun menarik juga, tapi shootingnya diadakan di negara India untuk rancangan Menu Alam di TV Al-Hijrah.

Rancangan ini dah pun masuk musim ke-4. Sepatutnya chef menggantikan Chef Iskandar yang telah 3 musim menjayakan rancangan berbentuk travelog masak2 di negeri orang.

Untuk kali ini, TV Al Hijrah nak tukar citarasa untuk explore negara luar. Maklumlah sebelum ini kebanyakan segmen memaparkan tempat-tempat menarik dalam negeri. So jangan lupa saksikannya k. Tak pasti siapa chefnya. Apapun, harap anda menyokongnya.

Buat masani chef tumpukan penglibatan chef terhadap penghasilan buku masakan keluaran PTS. Sememangnya dengan PTS. Kenapa chef berkata demikian. Disinilah bakat chef mula dikembangkan dan PTS lah yang sudi menerima chef untuk menghasilkan buku. PTS menyediakan platfom untuk chef berkarya.

Disebabkan itu, segala keutamaan akan chef berikan kepada PTS walaupun ada offer dari syarikat lain. Jasa PTS terhadap chef sukar dibalas.

Berbalik kepada topik yang ingin dibicarakan, sebenarnya dalam masa terdekat ni chef akan cuba hasilkan beberapa buah buku masakan lagi. Buat masani, ianya masih dalam peringkat "draft resepi" iaitu proses mencipta resepi.

Mungkin untuk kali ini, chef akan hasilkan buku yang murah harganya. Apapun ianya bergantung kepada penerbit. Haha...bab ini biarlah mereka yang memikirkan berapa harga yang sesuai untuk diletakkan. Begitu juga dengan konsep dan sebagainya.

Nak tahu topik buku masakan? yang ini terpaksalah chef rahsiakan dahulu. Kalau dah cerita, tak trilll lah pulak. Apapun, chef mengharapkan sokongan dari anda untuk terus menyokong chef. InsyaAllah, dah keluar nanti...chef akan war-warkan.

Semoga berjumpa lagi.....salam ikhlas dari chef khas buat anda semua.

P/S: Chef sertakan beberapa keping gambar yang sempat chef ambil semasa berada di Turki.

Thursday, January 12, 2012

Perkara Tak Senonoh Yang Boleh Mendatangkan Azab

Assalamualaikum.....

Ha ha. Bertemu lagi di pagi hari yang indah belaka ini. Pejam celik pejam celik.....dah masuk ke tahun baru. Sebenornya...usia kita pun meningkat dari hari ke hari. Pendek kata...dah semakin tua tak gitu.

Sebelum ke topik yang chef nak 'highlight, disini chef ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan tuan dan puan, sahabat handai terhadap rancangan Spice Routes 4 (SR4) yang telah pun melabuhkan tirainya.

Rating yang dicapai agak memberangsangkan...tak rugi rasanya kalau chef kongsikan untuk pengetahuan anda semua. Ratingnya tak kurang dari 1.6 juta orang. Apa yang chef dapat lihat, kebanyakan syarikat 'besar' berebut untuk meletakkan iklan-iklan mereka pada masa bersiarannya SR4. Apa yang berlaku adalah disebabkan sokongan yang tak berbelah bagi dari anda semua. Terima kasih.

Berbalik kepada tajuk di atas, rasanya 'wajib' chef kongsikan disini sebagai seorang yang bergelar Islam. Walaupun ianya keluar dari topik masak memasak, tapi chef terpanggil untuk berkongsi maklumat dengan anda tentang satu perkara yang boleh mendatangkan kerugian pada kita di hari kelak nanti.

Ianya melibatkan tentang perkara buang air ataupun dipanggil sebagai "istinjak". Semasa chef berada di salah sebuah pasaraya di Kulim malam tadi, chef telah disajikan dengan satu perkara yang tak senonoh yang berlaku di depan mata chef.

Ceritanya berkisar kepada seorang pakcik ni...rasanya dalam 40 an. Chef melihat didepan mata chef sendiri dan terkejut besar di atas perlakuannya. Dahlah kencing berdiri dalam 'corong najis pada dinding', tak cuci pulak tu.

Dengan selamba, pakcik itu datang mengambil wuduk di kawasan wuduk yang disediakan dalam tandas itu. Sebenarnya, tiada tempat wuduk disediakan dalam surau ini dan kebanyakan yang hendak bersolat perlu mengambil wuduk di kawasan wuduk dalam tandas tersebut.

Chef benar-benar pasti dan waras pada ketika itu dan memang tiada air yang mengalir pada corong tadi. Kebetulan pula chef berada di kawasan berwuduk dan melihatperkara tak senonoh orang tua ini. Lepas itu, selamba je orang tua ni masuk surau dan mendirikan solat isyak.

Sebenarnya chef bukanlah nak lihat keburukan orang ataupun pandang buruk terhadap seseorang....tapi perkara ini berlaku di depan mata chef. Persoalannya, apa akan jadi pada solat yang didirikan kalau perkara sekecil-kecil ini (buang air) tidak dititikberatkan. Yang pasti dan pasti, solat yang didirikan ini pasti akan ditolak oleh Allah.

Adakah orang ini tak faham dengan hukum, rukun dan adab bersolat ataupun buat-buat tak faham? Perkara sekecil ini pun diperlekeh-lekehkan dan dipermain-mainkan. Setahu chef, perkara berkaitan buang air ini tidak boleh diperkecil-kecil kerana buruk akibatnya kelak.

Apa yang chef faham, azabnya sungguh pedih iaitu siksaan dalam kubur selain dibakar dalam api yang marak. Selain itu, perkara pertama yang akan disoal dalam kubur adalah solat.

Arwah ayah pernah berpesan kepada chef agar jangan sesekali kencing berdiri kerana azabnya cukup pedih bagi orang lelaki yang kencing berdiri. Titisan air kencing yang terpercik mungkin kita tidak sedari terkena pada kain kita, dikatakan turut menjadi ubat penawar bagi syaitan yang mendiami tandas-tandas.

Untuk itu, adab masuk tandas disuruh untuk diamalkan sebagaimana yang diamalkan oleh nabi kita.

Perkara solat perlu kita titikberatkan. Kalau solat tertolak maka yang lain-lain amalan pasti tertolak. Memang rugi rasanya amalam solat yang dilakukan bertahun-tahun lamanya tertolak hanya disebabkan perkara ini.

Sebenarnya, ini baru yang nampak depan mata dan yang tak nampak...tentu banyak. Mujurlah chef tak berimamkan orang tersebut semasa solat. Chef juga tak sempat untuk bermuzakarah dengan beliau kerana beliau telah selesai solat lebih awal dari chef.

Apa yang chef kongsikan ini adalah sebagai peringatan dan panduan untuk diri chef sendiri dan chef juga ingin berkongsi dengan anda semua dalam mendidik anak-anak terutama yang melibatkan anak lelaki.

Wallahualam.....

Chef Hussin