Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Showing posts with label udang. Show all posts
Showing posts with label udang. Show all posts

Sunday, May 27, 2012

Resepi Hari Ini - Sup Minestroni 'Seafood'

Assalamualaikum...

Untuk kali ini, apa kata anda cuba pula untuk menyediakan sup Mat Salleh dari Itali ni. Sup ini telah chef sediakan minggu lalu untuk kelas masakan komersial.

Bercerita tentang sup ini, ianya menggabungkan pelbagai bahan yang mudah didapati di kebanyakan pasaraya kita.

Ianya banyak menggunakan tomato...maklumlah negara Itali memang terkenal dengan penghasilan tomato yang banyak. Disebabkan itu juga...setiap tahun mereka mengadakan pesta baling tomato tak gitu.....mungkin lebihan tomato ataupun mereka dah jemu makan tomato. Maka kebanyakan tomato dibazirkan begitu sahaja......jalan dan lorong-lorong di Itali bertukar menjadi merah.

Memang sup ini banyak menggunakan tomato namun chef kurangkan sikit untuk memenuhi citarasa kita. Selain itu, ianya juga banyak menggunakan bawang putih dan daun basil. Inilah rahsia kepada sup ini dalam memberi rasa kesedapan yang tak terkata dikala sup ini dihirup.

Waduhhh waduhhh enak bangat.......kata orang Indonesia setelah merasai sup ini. Sekiranya anda tidak memakan makanan laut....maklumlah takut gout, bolehlah cuba elakkan penggunaannya. Memadailah sekadar menggunakan sayur-sayuran sahaja. Memang sesuai untuk golongan vegetarian juga.


Nak cuba untuk menyediakan sup ini, chef sertakan resepinya dibawah post ini. Juga anda boleh mendapatkan resepi ini dalam buku masakan chef yang telah lama berada di pasaran. Hanya menanti anda untuk mendapatkannya.

Apapun selamat mencuba.......Chow Chi Chow......

Bahan-bahan

5 ekor udang (dibersihkan)
3 ekor sotong (dipotong ring)
1 filet isi ikan (sebarang jenis ikan, dipotong dadu)
3 - 4 keping mussel-kepah hijau (dibersihkan)
1 biji lobak merah (dipotong dadu kecil)
1 batang seleri (dipotong dadu kecil)
1 batang leek (dipotong dadu kecil)
1 biji bawang bombay (dipotong dadu kecil)
1 labu bawang putih (dicincang halus)
1 paket daun basil (boleh didapati dicold storage, dicincang halus)
3 sudu besar pes tomato
10 - 15 batang spagheti (dipatah 2)
3 sudu besar kacang merah-kidney bean
Beberapa sudu serbuk keju parmesan
3 liter air
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Serbuk stok ayam secukup rasa
Majerin/Mentega - untuk menumis

Cara Penyediaannya

1. Panaskan mentega lalu tumis bawang putih hingga sedikit layu dan wangi.
2. Masukkan sayuran dadu yang lain dan tumis hingga layu.
3. Masukkan makanan laut lalu ditumis sebentar.
4. Masukkan daun basil yang dicincang serta pes tomato. Kacau ia hingga sebati.
5. Tuangkan air dan biarkan ia mendidih.
6. Masukkan spaghetti dan biarkan ia hingga lembut.
7. Perasakan sup dengan garam, serbuk lada putih dan stok ayam.
8. Masukkan kacang merah sebelum menutup api.
9. Taburkan keju parmesan dan hidangkanlah ia panas-panas.

Tips.

1. Nak masam, lebihkan penggunaan pes tomato.
2. Boleh juga masukkan tomato segar yang dipotong dadu.





Sunday, February 6, 2011

Udang Goreng Tempura

Untuk post kali ini, chef ingin berkongsi dengan anda resepi udang yang mana ianya mudah disediakan pada bila-bila masa. Apa yang penting, kena ke pasar cari udang. Udang yang hendak dibeli itu mestilah bersaiz sederhana besar. Kalau saiz yang kecik, ianya tak berapa sesuai untuk menghasilkan menu ini. 

Hidangan yang chef sediakan ini sebenarnya sesuai dihidangkan di parti-parti koktel atau sebarang jenis majlis yang ingin anda adakan. Tak kurang juga, ianya sesuai dihidangkan sebagai makanan untuk minum petang. Untuk itu, chef berharap anda dapat mencubanya.........chow chi chow.

Untuk menyediakan menu ini, bancuhan tepung perlu disiapkan terlebih dulu dengan menggunakan bahan seperti tepung tempura, telur, garam dan serbuk lada secukup rasa selain air secukupnya. Gaulkannya ia agar sebati (tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair).

Udang yang hendak digunakan mestilah dibuang kulit dan "tali perut", hanya tinggalkan ekornya. Udang ini juga perlu diperap dengan sedikit serbuk cili, garam dan serbuk lada putih. Boleh juga dimasukkan jus lemon atau limau.

Panaskan minyak. Celup udang ke dalam bancuhan tepung tadi lalu goreng udang hingga kuning keemasan.
Toskan minyak dan hidangkannya dengan sos "pranom'....sos cili Thai.

Sebelum mengundur diri, chef letak kat sini info lanjut tentang buku chef di portal PTS.
http://pts.com.my/index.php/berita/chef-husin-hasil-resipi-sihat-dalam-gaya-menarik/

Friday, December 31, 2010

Udang Bersos Koktel


Bahan-bahan

-          4 ekor udang sederhana besar (dibuang kulit, dibiarkan ekornya)
-          50 gm daun salad ‘lettuce’ (dikoyak/dicarik)
-          4 keping roti Perancis (telah dipotong sederhana tebal)
-          Sedikit sos cili
-          Sedikit jus lemon
-          Sedikit ‘dill’ (untuk hiasan)
-          Sedikit air (untuk merebus)

Bahan B (sos koktel)
-          2 sudu besar sos cili
-          1 sudu besar sos tomato
-          5 sudu besar mayonis
-          Sedikit jus oren/limau

Cara Membuat

1.       Jus lemon dimasukan ke dalam air lalu dicelur udang hingga masak. Toskannya.
2.       Untuk menyediakan sos koktail, campurkan kesemua bahan B lalu dikacau hingga sebati.
3.       Ambil roti lalu disapukan dengan sedikit sos cili di atasnya.
4.       Letakkan daun salad di atas roti tadi sebelum meletakkan udang yang telah direbus.
5.       Paipkan sos koktel keatas udang sebelum dihiaskan dengan dill.

Tips
1.       Jus lemon digunakan dalam memberi rasa selain mengurangkan bau hanyir udang.

 Sosek-sosek dapur chef

      Hidangan udang bersos koktel ini tergolong dalam kumpulan hor's deouvres iaitu dalam kategori 'open face sandwich'. Kalau disebut dalam bahasa Melayu pelik bunyinya. Sandwic terbuka...tak ke pelik bunyinya.

      Memang mudah untuk menghasilkannya namun perlu disiapkan dalam kuantiti yang banyak untuk sesuatu majlis. Untuk itu, anda perlulah banyak-banyak bersabar dalam menyiapkannya. Mana taknya ianya banyak melibatkan potongan kecil pada bahan selain ianya perlu mempunyai bentuk yang sama.

     Walaupun ianya ringkas namun ianya tetap menarik dipandang. Bak kata orang, tak jemu mata memandang...tak gitu!!. Untuk itu, chef bawakan resepi ini untuk anda mencubanya. Boleh dihidangkanpada bila-bila masa saja dan sesuai untuk semua golongan umur. 

      Selamat Mencuba.......

Friday, December 24, 2010

Tofu Udang Jagung Bersos Cili Thai



TOFU UDANG JAGUNG BERSOS CILI THAI
Bahan-bahan
-          5 keping tofu kering (dibelah 2)
-          10 ekor udang (sederhana besar)
-          2 sudu besar isi jagung
-          1 biji telur putih
-          5 ulas bawang putih
-          1 sudu besar krim / susu UHT
-          Sedikit daun bawang (dihiris kecil)
-          Garam & serbuk lada putih secukup rasa
-          Minyak untuk menggoreng
Cara Membuat
1.       Campurkan udang,bawang putih, krim, telur putih dan perasakan dengan garam dan serbuk lada putih secukupnya dan kisar ia hingga hancur.
2.       Keluarkan dan masukkkan isi jagung dan daun bawang. Gaulkannya agar sebati.
3.       Ambil tofu dan sumbatkan dengan bahan tadi.
4.       Panaskan minyak lalu goreng tofu hingga garing dan isi ayam masak. Tos dan ketepikannya.
5.       Hidangkannya bersama sos cili Thai dan boleh dimakan begitu sahaja.

Tips
1.       Pelbagai tofu kering boleh didapati di pasaran. Potongan tofu yang dilakukan adalah bergantung kepada saiz tofu.

Monday, June 14, 2010

Sambal Udang Petai & Belimbing Buluh

Bahan-bahan

500 gm Udang sederhana besar (dibersihkan)
60 gm Petai
4 biji Belimbing buluh (dibelah dua)
4 biji Bawang merah (dikisar)
4 ulas Bawang putih (dikisar)
2 sudu besar Cili giling
1 sudu besar Sos Cili
Sedikit Air asam
Secukup rasa Garam dan gula

Cara Menyediakannya

Panaskan minyak lalu tumis bawang merah, bawang putih dan cili giling hingga pecah minyak.
Masukkan sos cili dan air asam sebelum diperasakan dengan garam dan gula.
Masukkan petai dan belimbing buluh lalu dibiarkan seketika.
Akhir sekali, masukkan udang lalu digaul sebati.
Hiaslah sambal sebelum menghidangkannya.

Tips

Udang tidak perlu dimasak untuk masa yang lama dalam mengelakkannnya daripada menjadi liat dan 'bergetah'.

Sosek-Sosek Dari Dapur Chef

Inginkan menu yang ringkas dan mudah disediakan! Sekiranya anda menggemari menu berasaskan udang, cubalah menu sambal udang ini dirumah. Pastinya anda akan menyukainya selain tidak memenatkan tangan.

Masa yang diambil untuk menyediakannya hanya sekitar 15 - 20 minit jikalau ianya dibuat dari A - Z. Tapi sekiranya bahan-bahannya telah tersedia lebih awal (hari sebelumnya), mungkin anda hanya memerlukan sekitar 10 minit saja.

Hidangan yang telah siap hendaklah dihiasi terlebih dahulu sebelum menghidang. Hiaslah seringkas mungkin dan pastikan ianya tidak melibatkan kos yang mahal. Apa yang chef dapat katakan, hiasan yang dilakukan ini pastinya dapat menambat hati suami dan anak-anak untuk menjamu masakan yang anda sediakan.

Nasihat chef, selain ilmu menghiaskan diri seperti meletakkan 'foundation', berbedak dan berlipstik selain bermaskara, ilmu menghias makanan juga harus dipelajari. Hehe...suami bukan saja melihat kecantikan luaran diri anda tapi dapat juga melihat dalaman anda menerusi hidangan yang disediakan.

Selamat Mencuba......

P/S: Ringkas dan menarik dilihat dijadikan asas menghias makanan.