Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Friday, December 2, 2011

Deepfried Tiger Prawn with Garlic Soy Sauce

Assalamualaikum...

Aummmmmmm.....haha macam Harimau Malaya mengaumlah pulak. Maklumlah semangat pasukan bolasepak menang tempoh hari masih dirasai sampai ke hari ini.

Sebenarnya ianya ada kaitan dengan post kali ini. Menu pada kali ini, chef akan menggunakan Udang Harimau...aummmmm. Chef ingin berkongsi satu resepi yang cukup mudah disediakan bagi yang menggemari makanan laut terutama sekali udang harimau ini.

Untuk itu, elok benarlah anda mencuba resepi ini. Kalau dialih bahasa, ianya berbunyi Udang Harimau Goreng Bersos Soya Bawang Putih.
Resepi ini sebenarnya diolah dari resepi masakan Cina. Masa yang diambil untuk menyediakannya juga tak lah lama....boleh settle dalam masa kurang dari 30 minit.

Sebenarnya ini merupakan salah satu menu yang chef ambil dari Chinese set menu yang diajar kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari tempoh hari.

Perkara paling penting, pastikan masakan yang disediakan tidak terlalu masin. Maklumlah, masakan yang disediakan tempoh hari dah termasin sikit. Ada pelajar chef ni kuat makan masin gamaknya.....apapun rasanya memang sedap.

Apa kata tanpa membuang masa chef letakkan resepi masakan ini untuk anda salin...pastu mencubanya.

Bahan-bahan

6-8 ekor udang harimau (dibelah tengahnya)
2-3 sudu besar tepung gandum
1 sudu kecil tepung jagung
1 biji telur
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Minyak untuk menggoreng
6-8 lidi buluh

Bahan B (sosnya)
4-5 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 sudu kecil sos tiram
1 sudu besar kicap lemak manis
Sedikit air/stok ayam
Sedikit bancuhan tepung jagung (untuk memekat)
Minyak untuk menumis

Cara Menyediakannya

Bersihkan udang dan belah memanjang belakangnya.
Taburkan bahan seperti tepung, telur, garam dan serbuk lada putih ke atas udang lalu digaul sebati.
Cucukkan lidi dari ekor hingga ke kepala udang lalu digoreng garing kuning keemasan. Keluarkan lidi setelah digoreng dan ketepikannya.
Untuk membuat sosnya, tumis bawang putih dan masukkan sos tiram bersama kicap.
Masukkan sedikit air lalu dididihkan sebentar.
Pekatkan sos dengan bancuhan tepung jagung sekiranya ia tidak pekat.
Tuangkan sos ke atas udang tadi lalu dihidangkan panas-panas.

Tips

Lidi dicucuk untuk memastikan udang berada dalam keadaan lurus.
Sedikit minyak bijan boleh dimasukkan sekiranya anda meminati rasanya.

Tuesday, November 15, 2011

Ikan Kerapu Goreng Masam Manis

Untuk kali ini, chef ingin berkongsi masakan yang cukup mudah untuk disediakan oleh anda. Resepi Ikan Kerapu Goreng Masam Manis ini boleh anda cuba pada bila-bila masa. Bahan utamanya ialah Ikan Kerapu.

Kalau tiada Ikan Kerapu, hidangan ini masih boleh anda sediakan dengan menggunakan ikan lain ataupun sebarang jenis makanan laut seperti udang, sotong, ketam, lala dan sebagainya.

Yang penting penyediaan sosnya kerana ini yang akan menentukan kesedapan masakan. Apa yang boleh anda lakukan ialah goreng dahulu ikan dan seterusnya tuangkan sos keatasnya. Cara ini nampak lebih mudah bagi chef. Resepinya boleh anda rujuk dibawah post ini.

Sebenarnya menu ini telah chef sediakan untuk kelas masakan. Tema bagi minggu tersebut adalah menu masakan cina. Maka chef telah menyediakan menu seperti popia sayuran goreng, egg drop & corn kernel soup, kungpao chicken with cashewnut, deep-fried king prawn with garlic soy sauce, braised ginger beef, deep-fried garoupa with sweet sour sauce (menu ini), Chinese fried rice dan mixed vegetables.

Nak dibuat cerita, ikan kerapu yang chef terima agak besar hampir 3kg seekor. Pada mulanya chef ingin belah ikan itu ditengah menggunakan teknik "butterfly cut". Maksudkannya kepala dan ekor tidak dipisahkan dari badan dan seterusnya dicelup kedalam tepung lalu digoreng garing.

Disebabkan saiznya agak besar, terpaksalah chef pisahkan kepala dan ekor dan digoreng asing dengan isinya. Hasilnya....bolehlah anda lihat pada gambar yang chef sertakan ini.

Untuk itu, bolehlah anda mencubanya. Inilah resepinya.....

Bahan A

1 ekor ikan kerapu (potong mengikut kesesuaian anda)
1 paket tepung goreng ayam (nak jimat....buat bancuhan tepung sendiri)
1 biji telur
Garam secukup rasa

Bahan B (Sosnya)

4 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 biji bawang besar (dipotong kiub)
1/2 biji lada benggala (dipotong kiub)
8 kiub nenas (dalam tin)
2 sudu makan sos tomato
5 sudu makan sos cili
Sedikit jus buah-buahan (nenas, oren - optional)
1 sudu makan tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)
Garam, serbuk lada putih dan gula secukup rasa

Cara menyediakannya

1. Sediakan bancuhan tepung dengan mencampurkan kesemua bahan A lalu dipukul sebati.
2. Panaskan minyak, celupkan ikan dan goreng ikan kerapu hingga kuning keemasan.
3. Untuk menyediakan sosnya, tumis sebentar bawang putih beserta bawang besar.
4. Masukkan lada benggala, nenas serta sos cili dan tomato.
5. Masukkan juga jus buah jika ada.
6. Biarkan kuah sedikit mendidih lalu dimasukkan bancuhan tepung jagung lalu dikacau sebati.
7. Perasakan secukupnya dengan garam, serbuk lada putih dan gula.
8. Untuk menghidangkannya, tuangkan sos keatas ikan yang telah digoreng tadi.
9. Hias dan hidangkannya.

Selamat mencuba.......

Sunday, October 30, 2011

Buku Masakan Chef Yang Boleh Anda Dapatkan Di Pasaran

Assalamualaikum......

Hari ini chef berkesempatan untuk berkongsi dengan anda 4 buah buku masakan chef keluaran PTS Millinea yang telah pun berada dipasaran seawal Februari yang lalu.


Buku Sarapan Pagi dan Minum Petang selain Makan Tengahari & Makan Malam adalah dua buah buku yang telah berada di pasaran awal Februari 2011 dan diikuti dengan buku Salad & Buah selain Pembuka Selera pada bulan berikutnya.

Kepada semua penggemar masakan, bolehlah jadikan buku chef ini sebagai buku panduan dalam mencuba masakan-masakan yang mudah disediakan selain berkhasiat untuk diri dan keluarga anda.


Maklumat nutrisi juga dimuatkan dalam merancang menu yang bersesuaian dan menjadi panduan dalam menghasilkan menu berkhasiat buat seisi keluarga.


Selain itu, sentuhan "pengayaan makanan" atau "food styling" juga chef terapkan dalam setiap hidangan agar masakan yang disediakan akan lebih terserlah dan menarik minat orang sekeliling untuk mencubanya.

Pastinya anda dapat memikat sesiapa saja untuk merasa masakan anda dengan gaya persembahan yang bersahaja lagi memukau....bak kata orang memasak seperti seorang chef profesional di rumah anda sendiri.

Untuk anda yang belum mendapatkan buku ini, segeralah ke kedai buku terdekat untuk mendapatkannya. Rasanya memang berbaloi kerana setiap buku mengandungi 45 buah resepi bergambar. Turut dipaparkan langkah demi langkah agar makanan yang disediakan memang menjadi.

Terimalah buah tangan chef ini khas buat anda selain menonton chef dalam rancangan Spice Routes musim ke-4 yang ditayangkan di TV3 pada setiap hari Jumaat.

Sesungguhnya penglibatan anda memeriahkan lagi dunia masakan atau lebih dikenali sebagai dunia kulinari. Jutaan penghargaan chef tujukan buat anda yang terus menyokong dunia ini.

Selamat mencuba dan terima kasih kerana memiliki buku chef.

Friday, October 7, 2011

Selamat Menonton Spice Routes Adabi musim ke-4



Terima kasih kepada PTS kerana turut mempromosi dan memeriahkan lagi Spice Routes musim ke-4. Dengan rendah diri, saya menjemput anda untuk turut serta dalam pengembaraan saya ke bumi Turki, Indonesia dan Kemboja dalam menjejaki pengaruh rempah, masakan dan budaya masyarakat jauh dipedalaman. Dibawakan khas untuk anda oleh Adabi dan TV3.

Selamat menonton......

Sunday, September 25, 2011

Coklat Oh Coklat !!!

Assalamualaikum semua....

Lip lap lip lap....ketemu semula. Maaflah k kerana dah lama tidak ke udara.

Syukur, semalam satu lagi perkara baru telah chef berjaya laksanakan iaitu proses VO (Voice Over). Lebih tepat chef katakan ianya adalah proses di mana suara dimasukkan kedalam visual yang telah pun dirakam terlebih dahulu untuk rancangan Spice Routes Adabi.

Semalam hanya disiapkan VO untuk episod 1. Untuk itu, chef bertolak pagi dari Penang ke Bandar Utama P.J dan setelah selesai saja, chef bergerak balik ke Penang. Pukul 2 pagi semalam baru sampai.....memang penat rasanya tapi puas rasanya. Maklumlah ilmu baru yang chef pelajari ini tak dapat kat mana-mana. Untuk itu, ucapan terima kasih yang tak terhingga chef ucapkan pada Abg zailan dan Idrus yang menjadi antara tulang belakang bagi rancangan ini.

Baiklah.....untuk ruangan kali ini chef sebenarnya ingin berkongsi dengan anda satu artikel yang chef karangkan sendiri tentang coklat.

Selain itu, chef kongsikan juga resepi mudah yang melibatkan penggunaan coklat.

Yang penting, khasiat yang terkandung di dalam coklat bolehlah dimanfaatkan bersama walaupun terdapat pelbagai kritikan ataupun pandangan negatif tentang pengambilannya.

Untuk itu......teruskan membaca.....

Coklat sememangnya diminati oleh pelbagai peringkat usia terutama sekali kanak-kanak dan tidak boleh dipisahkan daripada jiwa mereka. Keenakan rasa serta kelembutan teksturnya seperti “cair di mulut” menerangkan segalanya yang mana tidak dapat dirungkai melalui kata-kata.

Anak berhenti menangis setelah disogok dengan coklat dan gula-gula manakala hati pasangan kekasih juga ‘dicuri’ menggunakan coklat. Bak kata, mesej melalui pemberian coklat ini mudah difahami maksudnya dan menjadi begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat kini.

Kanak-kanaklah merupakan golongan terbesar yang begitu meminati makanan ini adalah disebabkan rasa manisnya. Kecenderungan ibu bapa memberikan hadiah berupa coklat sebagai penghargaan juga telah menarik minat mereka terhadap coklat dan menjadi suatu tabiat.

Dalam membicarakan tentang coklat, izinkan chef berkongsi dengan anda satu kenangan manis sewaktu menyertai pertandingan inovasi peringkat kebangsaan yang diadakan di KLCC tak lama dulu. Dengan coklatlah, chef telah berjaya memenangi pingat emas.

Idea yang tercetus adalah menggunapakai bahan buangan yang berupa hampas tumbuhan yang sememangnya tinggi khasiatnya dari segi kandungan serat diet dalam menghasilkan produk tersebut.

Coklat sebagai bahan ‘premium’ dari segi kualitinya telah chef gunakan dalam memberi impak agar ianya mudah diterima oleh orang ramai. Gabungan bahan ujikaji dan coklat telah menghasilkan satu produk yang cukup enak dimakan dan sesuai dijadikan sebagai snek tenaga selain baik untuk kesihatan.

Hampas bolehlah dikategorikan sebagai bahan yang tidak bernilai. Pastinya ramai yang akan mengelak daripada memakannya. Namun begitu, penggunaan coklat telah merubah penerimaan orang. Inilah penangan coklat terhadap jiwa manusia yang sememangnya menggemari coklat.

Dalam bidang kulinari, coklat banyak digunakan dalam menghasilkan pencuci mulut atau “desert”, roti dan biskut. Namun, pendapat yang mengaitkan coklat hanya sesuai untuk pencuci mulut saja telah mula berubah.

Pada masa kini, coklat juga telah digunakan dalam hidangan utama yang berasaskan daging dan ini dilakukan dalam mempelbagaikan rasa masakan. Penerimaan terhadap coklat telah memungkinkan ianya digunakan secara meluas dalam apa jua jenis hidangan.

Pelbagai jenis coklat boleh anda perolehi di pasaran dan setiap satunya mempunyai sifat-sifat tertentu. Antaranya ialah coklat gentian, coklat courverture, coklat susu, coklat gelap, coklat putih dan coklat dietatik. Coklat dengan pelbagai perisa dan warna seperti strawberi, pandan, kiwi dan sebagainya juga boleh didapati.

Chef pasti tentunya anda menggemari coklat disebabkan rasanya dan tidak lebih dari itu. Pernahkah anda menggambil coklat disebabkan khasiat yang terkandung di dalamnya? Kita juga biasa mendengar pelbagai pandangan negatif yang dilontarkan gara-gara memakan coklat.

Masalah kesihatan seperti jerawat, kegemukan, hyperaktif, obesiti, karies gigi dan sebagainya biasa kita dengari. Namun begitu, perlu diingat bahan coklat sebenarnya tidak mendatangkan sebarang masalah seperti yang diwar-warkan itu.

Peratusan gula yang diadun bersama coklat dalam memaniskan produk itulah yang telah menyebabkan segala permasalahan daripada berlaku.

Coklat sememangnya kaya dengan pelbagai nutrien yang berfaedah bagi tubuh manusia. Ianya menjadi penyumbang tenaga kepada badan dan turut terlibat dalam pembaikan tisu dan tumbesaran seseorang individu.

Selain itu, kehadiran asid lemak tak tepu berantai panjang (PUFA) dalam lemak koko seperti asid arachidoneik (C20:1) selain asid stearik (18:0) juga didapati berupaya mengawal dan meneutralkan paras kolesterol darah daripada meningkat.

Untuk itu, dalam ruangan kali ini chef ingin berkongsi dengan anda dua lagi resepi yang mudah disediakan yang melibatkan penggunaan coklat.

Cubalah resepi Kek ‘Brownies’ Coklat dan ‘Banana Split’ Bersos Coklat sebagai hidangan yang boleh anda sediakan dalam menceriakan seisi keluarga.
Akhir kata dari chef, kurangkan gula dan makanlah coklat untuk kesihatan.

Wallahuallam....wassalam


‘Banana Split’ Bersos Coklat

Bahan-Bahan
2 sudu besar Ais Krim (pelbagai perasa)
1 biji Pisang (dihiris nipis)
30 gm Kismis
30 gm Kacang Masin (ditumbuk kasar)
20 gm Coklat ‘Rice’ pelbagai warna
1 biji Ceri Maracino
Daun Pudina (untuk hiasan)
Sos Coklat
Payung Mini (untuk hiasan)

Cara Menyediakannya
1. Di dalam sebuah bekas, masukkan ais krim dan pisang yang telah dihiris nipis terlebih dahulu.
2. Taburkan kacang, kismis dan coklat ‘rice’.
3. Tuangkan sos coklat keatas ais krim.
4. Hiaskan ais krim dengan ceri, daun pudina dan paying mini.


Kek ‘Brownies’ Coklat
Bahan-Bahan
150 gm Majerin
2 sudu besar Serbuk Koko
100 gm Gula Perang
2 biji Telur
100 gm Tepung Gandum
50 gm Kacang Walnut (dikisar kasar)

Cara Menyediakannya
1. Campurkan majerin dan gula lalu dipukul agar sebati.
2. Masukkan telur dan pukul ia hingga menjadi kembang.
3. Tuangkan tepung dan serbuk koko lalu dikacau agar bahan menjadi sebati.
4. Akhir sekali gaulkan kacang walnut yang dikisar kasar bersama adunan tadi.
5. Bakar adunan di dalam ketuhar selama 30 minit pada suhu 180°C.
6. Setelah masak, keluarkan adunan, potong dan hidangkan ia mengikut kreativiti masing-masing.

Tips
1. Saiz adunan yang tebal yang hendak dibakar akan memakan masa yang lebih lama berbanding dengan saiz yang nipis.

Sunday, September 11, 2011

Menjelang Spice Route Adabi Musim Ke-4

Assalamualaikum & salam sejahtera semua.

Apa khabar. Rasanya masih belum terlambat untuk chef ucapkan Salam Aidilfitri selain Salam Kemerdekaan.


Alhamdulillah....satu lagi cabaran dalam rancangan ini telah pun disudahkan. Selama seminggu chef berkampung di Taylor University untuk menyudahkan tugasan masakan untuk segmen Dapur 2 minit.

Pada Ahad atau lebih tepat pada pagi Isnin lepas chef telah bertolak ke K.L. Pukul 4.30pagi chef keluar rumah di Penang dan sampai di sana jam 10 pagi. Masa pagi chef gunakan untuk mengelakkan trafik jem yang berlaku di lebuhraya berikutan ramai yang pulang ke kota selepas menyambut hari raya.

Mengantuk chef dibuat kerana terlalu penat memandu. Untuk itu, sebanyak empat kali chef berhenti untuk tidur. Apapun mujurlah chef tak terlelap yang boleh menyebabkan chef terlewat ke lokasi shooting. Kebiasaannya chef mengambil 10 - 15 minit untuk melelapkan mata.

Lokasi shooting kali ini adalah di studio masakan Universiti Taylor. Nak sampai ke sini pun agak memeningkan chef. Beberapa kali chef tersesat mencari lokasi ini. Dahlah gps yang chef bawa pada waktu itu pula buat hal, buat-buat bengong pulak.

Program pada pagi itu, belum lagi masak. Hanya diadakan perbincangan selain menguruskan kelengkapan dapur yang diperlukan untuk esok hari. Selain itu, mujurlah kebanyakan bahan memasak telah pun chef bawa dari rumah chef. Yang belum dibeli hanyalah barangan basah seperti daging, ayam, udang selain sayur-sayuran.

Satu masalah yang chef hadapi ialah tiadanya peti sejuk di hotel tempat chef menginap. Barangan basah yang dibeli pada malam hari seperti daging terpaksalah chef letakkan dalam sinki bilik mandi dan ditutupi dengan ketulan kiub ais yang banyak. Kalau tak, alamatnya busuklah daging tu.

Apapun segalanya dapat diuruskan dengan sebaik mungkin. Bak kata orang lama, segala masalah pasti ada penyelesaian. Selainnya, chef serahkan pada Allah.

Sebenarnya chef turun ke K.L ini untuk menyudahkan satu lagi tugasan yang menjadi sebahagian dari program Spice Route iaitu Segmen Dapur 2 Minit. Sebanyak 11 masakan telah pun chef siapkan untuk 11 episod manakala 2 masakan pula disediakan oleh chef Adabi.

Dalam segmen ini chef cuba menyediakan menu-menu yang mudah disediakan dengan menggunakan produk Adabi. Tak dinafikan, produk Adabi memang berkualiti, bersih selain memudahkan segala proses masakan.

Makanan yang dimasak pula memang menjadi dan rasanya memang "asli" tanpa rasa bahan pengawet. Apa yang chef ketahui, tiada bahan pengawet yang digunakan dalam segala produk Adabi.

Satu lagi yang chef nak kongsikan dengan anda ialah tentang Kicap Adabi. Tak lama lagi kicap dengan pek wajah baru akan berada di pasaran. Menariknya tentang kicap ini ialah tentang penghasilan kicap yang menggunakan RO water iaitu air bersih yang dirawat selain diperkayakan dengan vitamin A & C.
Apa yang chef boleh katakan, produk Adabi memang bermutu dan bersih. Proses R&D yang dijalankan telah menghasilkan produk bermutu selain dapat menepati citarasa orang ramai.

Pemilihan produk yang tepat pastinya menguntungkan diri selain mendapat hasil yang diingini. Keputusan memilih adalah hak anda sendiri. Disebabkan chef telah pun menggunakan produk Adabi, chef syorkan kepada anda agar mencuba produk Adabi dalam apa jua masakan anda. Kalau tak caya, cubalah. Dah cuba, baru tau....haha.

Sebelum chef akhiri catatan buat kali ini, jangan lupa ya untuk saksikan Spice Route Adabi musim ke-4 bermula 7hb Oktober 2011, setiap Jumaat jam 7.30 malam hanya di TV3.

Wallahuallam......

Saturday, July 16, 2011

Kini Berada Di Indonesia

Assalamualaikum....

Bertemu lagi pada kesempatan yang ada ini. Pertama sekali, maaf kerana chef menghilangkan diri dan senyap sunyi untuk masa yang agak lama.

Memang tak dinafikan, pengambaraan yang dijalankan ini benar2 menguji ketahanan diri...fizikal dan mental selain hati dan perasaan.

Yang paling terasa adalah yang melibatkan hati dan perasaan dengan pelbagai dugaan yang mengiringi perjalanan chef di negara asing.

Syukur alhamdulillah, segalanya dapat diatasi selain berserah kepada Ilahi.

Allah buka pintu hati chef untuk melihat kebesaranNya. InsyaAllah, segalanya akan chef ambil dan amalkan dalam perjalanan hidup chef ini yang entah sampai bila.

Di Indonesia, kesukaran hidup yang melanda warganya benar-benar menginsafkan diri untuk mensyukuri apa yang ada pada kita. Rata-rata rakyatnya berada dalam tahap kemiskinan yang amat dahsyat ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Yang kaya...terlalu kaya manakala yang miskin itulah yang mereka alami.

Namun satu perkara yang chef kagumi adalah soal iman yang mereka jaga bagaikan menggenggam bara, biar sampai menjadi arang. Walaupun mereka susah, agama tetap dipelihara, dibajai dan disemai.

Rumah-rumah Allah hidup pada tiap-tiap waktu dengan puluhan warganya mendirikan solat pada awal waktu. Anak-anak diasuh dengan pendidikan agama yang sempurna.

Maka tidak hairanlah, terdapat banyak pesantren dipelusuk kampung dalam mengeluarkan hafiz hafizah selain daie daie Allah di muka bumi ini.

Namun begitu, tidak dinafikan masih terdapat ramai yang ambil isu agama sebagai perkara yang mudah. Dalam ramai yang menjaga agama, ada juga yang meruntuhkan iman mereka.

Benar kata nabi yang maksudnya lebih kurang begini bunyinya bahawa agama datang dalam keadaan yatim dan akhirnya pergi dalam keadaan yatim. Sedih kalau perkara ini terjadi dalam kehidupan kita.

"100 tahun kita tidak ada di dunia ini dan 100 tahun akan datang juga kita dah tiada di dunia ini". Renung-renungkanlah ayat ini yang terarah kepada destinasi yang akan kita tujui.

Untuk itu, iman dan amal sempurna pada Allah saja yang dapat menolong kita untuk berjaya di akhirat kelak. Solat adalah pertanyaan pertama yang akan disoal, tertolak solat maka tertolaklah bahagian-bahagian yang lain. ini kerana solat adalah perintah Allah yang wajib kita untuk tunaikan.

Baiklah, rasanya cukuplah luahan hati chef yang chef rasai sepanjang chef berada di negara orang. Salah dan silap, harap diampun. Semoga kita beroleh rahmat dan petunjuk dariNya agar menjadi seorang yang disukaiNya.

InsyaAllah pada kesempatan lain, kita akan berjumpa lagi. Sambutlah salam ikhlas dari chef untuk anda yang Allah sayangi.

Sekian....

Saturday, June 4, 2011

Khabar Dari Turki

Assalamualaikum.....


Apa khabar semua.
Maaf kerana telah lama chef tidak ke udara untuk meninggalkan sebarang post disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan.

Syukur alhamdulillah, sudah 2 minggu lamanya chef berada di Turki.
Pelbagai kenangan serta suka dan duka telah chef tempuhi. Masa di Turki terasa bagaikan bergerak laju walaupun siangnya memang panjang.

Pada peringkat awal berada di Turki memang mendatangkan masalah pada Chef. Masalah yang chef maksudkan ialah masalah makan. Ianya bukan disebabkan tiadanya makanan halal tapi masalah penyesuaian makanan orang Turki yang lebih gemarkan memakan makanan berdaging seperti daging kambing dan sebagainya.

Mujurlah beras mudah didapati di Turki selain pes Adabi yang dibawa bersama untuk dimasak di bilik hotel setiap kali selepas setiap tugasan diselesaikan.

Tiap-tiap hari chef dan team chef akan makan nasi berlaukkan ayam yang dimasak dengan pelbagai rasa seperti masak kicap, masak kari, masak kunyit, bersambal tumis dan sebagainya.

Selepas dua minggu berlalu, barulah terasa jemu dengan nasi. Dah dua hari chef makan menu kambing bersama roti dan dihidangkan dengan pelbagai jeruk seperti buah zaitun, cili padi, cili hijau, tomato dan sebagainya.

Pada awal ketibaan chef ke Turki, cuacanya agak sejuk. Namun disaat ini cuacanya telah beralih kepada cuaca sedikit panas. Yang paling chef tidak tahan ialah sewaktu pengambaran di Harran di mana cuacanya terlalu panas. Kulit chef dan team semuanya dah mula gelap akibat dari kesan panas di bandar tersebut.

Bercakap tentang bandar Harran, ia sebenarnya terletak bersempadan dengan negara Syria. Ianya terkenal disebabkan rumah kecubung atau dikenali sebagai "Behive House". Penduduk disini masih lagi mendiami rumah-rumah sebegini yang diperbuat daripada tanah dan tanah liat. Kadang-kadang dindingnya ditempek dengan tahi keldai atau lembu. Penduduk yang mendiami kawasan ini adalah daripada puak Kurdish Turki.

Seperkara lagi yang chef tidak dapat lupakan ialah sewaktu menziarahi masjid Nabi Ibrahim a.s di Sanliurfa. Ianya merupakan tempat dimana nabi pernah dibakar oleh Raja Namrut yang zalim.
Menariknya, mata air terjadi selepas nabi tercampak bersama api ditempat tersebut. Dan sehingga ke hari ini, airnya masih mengalir lalu membentuk tasik.

Syukur alhamdulillah, chef berpeluang bersolat dan sujud di masjid nabi selain dapat merasa air mata air tersebut. Yang menyedihkan, ramai orang Islam yang datang hanya sekadar mengambil gambar sahaja. Keberkatan yang terhidang didepan mata tidak dimanfaatkan dengan bersolat dan sujud di Masjid Nabi.

Turki......memang sebuah negara yang unik. Terdapat pelbagai tarikan yang boleh dimanfaatkan semasa melancong. Namun begitu, chef bergerak bersama team ke tempat-tempat yang pelancong sendiri tak pernah lalui. Itu yang membuatkan perjalanan chef dalam rancangan ini menjadi lebih menarik.

InsyaAllah, pada Oktober ini rancangan Spice Route musim ke-4 akan ke udara. Eloklah....anda sendiri yang saksikan perjalanan chef di negara Turki ini. Nak cerita mungkin tak sepenuhnya seperti apa yang dirakamkan.

Untuk itu, jangan lupa bersama chef dalam Spice Route musim ke-4 yang dibawakan khas untuk anda oleh Adabi dan TV3.

Sekian....salam dari Turki

Saturday, May 14, 2011

Noisette Kambing Gril Bersama Sos Rosemary

Assalamualaikum dan apa khabar semua.
Haha...baru ada masa free. Dapatlah juga menguploadkan gambar resepi ini.
Untuk kali ini, apa kata kita cuba masakan barat pulak yang berasaskan kambing.

Untuk menyediakan hidangan ini, apa yang penting anda perlu tahu untuk memisahkan loinnya daripada tulang rusuk kambing. Rusuk kambing atau dipanggil lamb rack ni boleh anda beli di kebanyakan pasaraya. Rusuk ini jugalah yang digunakan untuk menyediakan kebanyakan menu lamb chop.

Pada kebiasaannya rusuk atau lamb rack ini akan dipotong kepada bahagian2 kecil yang dipangil sebagai lamb chop. Ini yang akan mereka perap dan seterusnya bakar atau gril.

Tapi untuk menyediakan lamb noisette, ianya agak berlainan. Nak dipisahkan tulangnya dengan isi bukanlah suatu perkara yang susah. Kalau anda tengok caranya, pasti anda boleh melakukannya. Tapi untuk masa sekarang, yang penting buatlah ikut cara anda untuk memisahkan tulang dengan isi.

Selepas itu, isi akan digulang bersama dengan lemaknya. Sebenarnya lemaknya masih melekat pada isinya. So, tak perlulah anda risau tentangnya. Yang penting anda gulungnya dan ikatkan dengan tali putih atau dikenali dengan butcher string. Saya menggunakan tali ini disebabkan ianya tidak mudah terbakar walaupun pada suhu yang tinggi. So, jangan guna tali plastik atau ropia tau.

So, proses seterusnya bolehlah anda ikut cara menyediakan hidangan ini. Selamat mencuba...dan jumpa lagi. Buat anda semua, doakan untuk chef agar segalanya selamat selama berada di negara asing.

Sekian.......

P/S: Dua buah buku chef telah pun berada di pasaran. Salad dan buah, satu lagi pembuka selera. Bolehlah dapatkan dengan segera. Yang penting, anda mencubanya k.


Bahan-bahan
1 ketul rusuk kambing (diambil loin beserta kulitnya)
1 gulung tali putih (butcher string)

Bahan Perap
1 sudu makan sos cili paprika
Garam dan serbuk lada putih secukupnya
Sedikit minyak untuk melumur

Sos Rosemary
1 sudu makan serbuk demiglace segera
1 biji bawang besar (dicincang halus)
3 ulas bawang putih (dicincang kasar)
Sedikit rosmary segar atau kering
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Air secukupnya

Cara Menyediakannya
1. Loin dipisahkan daripada rusuknya lalu diikat dengan tali putih.
2. Lumurkan bahan perap ke atas loin dan gril ia sehingga masak di atas kuali 'non stick'. Ketepikannya.
3. Untuk menyediakan sosnya, bancuh serbuk demiglace dengan sedikit air.
4. Tumis bawang putih, bawang besar dan rosemary sebelum dituangkan bancuhan demiglace tadi.
5. Didihkan sosnya dan perasakan dengan bahan perasa secukupnya.
6. Pekatkan sos dengan roux (campuran majerin yang dicairkan diatas api dan digaulkan dengan tepung gandum).
7. Hidangkan loin kambing bersama sos rosemary, juga apa jua jenis sayuran dan kentang.

Monday, May 2, 2011

Spice Route Adabi Musim Ke-4

Assalamualaikum....

Pejam celik pejam celik...masa yang berlalu terasa begitu pantas meninggalkan kita. Begitu jugalah umur kita yang semakin meningkat dalam menghabiskan sisa masa yang tinggal. Bak kata kubur....mai mai....rumah kata pi...pi....

Ha ha...pada post kali ini, chef bukannya nak bercerita tentang umur kita. Apa yang pasti, hidup, ajal maut semuanya telah ditentukan olehNya. Yang penting, kita ingat padaNya sentiasa agar beroleh kehidupan yang bahagia suatu masa nanti.

Untuk kali ini, chef ingin berkongsikan dengan anda tentang perjalanan chef ke suatu destinasi yang telah ditentukan olehNya. Semuanya bagaikan mimpi...tak sangka ada rezeki yang Allah letakkan untuk chef di negara asing.

Apapun itulah ketentuan tuhan. Sampai saja masanya, pasti ianya akan berlaku. Bagaikan seekor burung yang terbang lalu singgah dan mematuk rezeki ditempat asing.

Dalam bab ini, masa untuk chef ke sana terasa begitu hampir. Pelbagai pergolakkan jiwa berlaku dalam diri chef buat masa ini. Pergorbanan juga ditagih dalam merealisasikan impian. Terpaksalah tinggalkan keluarga terutama anak-anak yang masih kecil dan merantau selama hampir tiga bulan lamanya.

Apapun yang berlaku, kesemuanya telah ditentukan oleh Illahi. Inilah yang dinamakan rezeki.....rezeki anak-anak. Untuk itu, chef tabah untuk menghadapinya selain mencuba yang terbaik. Kesempatan begini jarang-jarang diperolehi oleh sesiapa saja.

InsyaAllah, chef akan terbang ke negara Turki, Bosnia, Indonesia dan Kemboja pada pertengahan bulan ini. Mungkin pada 15 May ini..kalau segala proses berjalan lancar. Kepercayaan yang diberikan terutama sekali oleh pihak Adabi dan TV3 tidak akan chef lupakan.

Akhir kata, doakan untuk chef agar selamat pergi dan selamat pulang dan berjaya dalam menghasilkan satu rancangan yang benar-benar menarik minat anda dalam mendekatkan diri ke dunia masakan.

Monday, April 25, 2011

Ce....ce....cuba yang ini

Apa khabar semua.

Maaf kerana dah lama tak online dan meninggalkan apa-apa post untuk dikongsikan bersama. Tentu ada yang mengatakan chef ini macam biskutlah, sekejap ada sekejap takde. Maaf sangat-sangat k.

Untuk post kali ini, apa kata kita cuba sesuatu yang sejuk dan mudah disediakan. Yang pasti anak-anak kecil pasti menyukainya. Anda pun sama menggemarinya.

Untuk kali ini, chef kongsikan "banana split". Sudah pasti ianya akan dihidangkan dengan pisang masak. Jenis pisang yang ingin digunakan, terpulanglah kepada anda. Seelok-eloknya pisang mas, tak pun pisang berangan ke atau pisang montel.

Bahan lain adalah seperti sos coklat dan sos strawberi yang boleh anda beli di kebanyakan pasaraya. Kekacang seperti kacang tanah yang ditumbuk kasar selain kacang masin boleh juga digunakan untuk menambah ummmphhhnya.

Kalau suka makan sultanas atau biasanya dipanggil kismis, bolehlah ditaburkan semasa menghidang. Biskut "love letter" atau biskut yang seangkatan dengannya juga boleh dihidangkan.

Akhir sekali, hiaslah mengikut kesukaan anda tapi yang penting pastikan ianya nampak menarik dan menonjol. Untuk itu, ce...ce...cubalah k pesan usop pada usin...hehe.

Wednesday, April 6, 2011

Indah & Enaknya Hidangan-hidangan Ini

Assalamualaikum & salam sejahtera.

Apa khabar semua.

Untuk kali ini, chef ingin kongsikan hidangan-hidangan yang pernah disajikan semasa acara nasional negara Brunei Darussalam. Kesemua hidangan ini telah dihidangkan untuk 'private function' yang telah dihadiri oleh Sultan Brunei dan Permaisuri serta ketua-ketua kerajaan.

Sebenarnya ramai sultan-sultan juga telah hadir pada waktu itu selain duta-duta kerajaan. Kalau tak silap chef, event ini telah diadakan sempena perkahwinan anak sultan brunei. Ianya dinamakan Brazillian Night.

Mungkin pernah anda tertanya-tanya, jenis makanan yang biasa dihidangkan di istana. Untuk itu, chef ingin kongsikan dengan anda antara gambar hidangan yang sempat chef rakamkan.

Kalau diikutkan, memang tak boleh keluarkan sebarang gambar atau aktiviti yang berlaku di dalam istana. Tapi niat chef hanyalah satu...untuk berkongsi serta memeriahkan lagi dunia kulinari ini agar ianya dikenali selain dipandang tinggi profesion sebagai chef.

Dikesempatan ini, chef juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada dua orang insan yang telah banyak memberi peluang kepada chef untuk menimba ilmu di Brunei. Orang yang chef maksudkan ialah.....Chef Rano (Exec Chef)dan En Mat Husin Yasin (HR Hyatt Borneo). Thanks....

P/S: Ini antara gambar yang sempat chef upload, banyak lagi gambar menarik doleh dilihat di album chef dalam facebook.







Saturday, April 2, 2011

Makanlah sayur-sayuran untuk kesihatan

Apa khabar semua.

Bertemu kembali setelah lama menghilang. Hari ini chef ingin bercoleteh tentang suatu perkara yang bolehlah dikatakan penting iaitu memakan sayur.

Dalam memperkatakan tentang memakan sayur-sayuran, pastinya ramai yang akan memberi reaksi serta jawapan positif tentang pengambilannya. Ramai yang menyokong dan menyatakan memakan sayur-sayuran adalah baik untuk kesihatan.

Namun begitu, pengambilan sayur-sayuran sering diabaikan begitu sahaja. Walhal, seseorang itu mengetahui kebaikannya dalam menyalurkan segala nutrien yang diperlukan oleh tubuh seperti serat, vitamin, mineral dan bahan antioksida.

Maka tidak hairanlah kalau orang ‘lama’ seperti ibu bapa kita yang masih kuat, segak selain tampak ‘muda’ jika dibandingkan dengan usia mereka yang telah pun lanjut. Apakah petua atau rahsia yang membuatkan mereka sentiasa ‘awet muda’ dan bertenaga.

Ianya bukanlah menjadi suatu rahsia lagi dan ia adalah kesan langsung dari pengambilan sayur-sayuran yang diamalkan sewaktu usia muda. Kebiasaannya, memakan ulam-ulaman secara mentah telah menjadi amalan seharian dan menjadi satu kemestian semasa memakan.

Falsafah Barat pernah mengatakan “ kita adalah hasil daripada apa yang kita makan”. Chef berpendapat falsafah ini ada benarnya dan menceritakan segalanya.

Tambahan pula, pelbagai masalah kesihatan yang melanda kini memperkukuhkan lagi andaian tersebut dan ianya adalah kesan langsung dari pengambilan makanan yang tidak betul.

Masalah kesihatan seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya sering terjadi dan ianya turut mengancam jutaan nyawa manusia di seluruh dunia.

Apa yang chef faham seperti yang disarankan oleh WHO, seseorang itu perlu mengambil 5 hidangan sehari gabungan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Lebih menyedihkan kebaikan sayur-sayuran sering diabaikan begitu sahaja walaupun saranan demi saranan telah dikeluarkan dalam mengingatkan tentang kebaikan pengambilannya.

Namun begitu, rata-rata ‘orang sekarang’ lebih meminati makanan yang tinggi kandungan gula, garam dan juga lemak.

Pada pendapat chef, minat terhadap sesuatu perkara haruslah dipupuk dari kecil lagi. Untuk itu, pengambilan sayur-sayuran bolehlah didedahkan kepada kanak-kanak seawal usia 3 tahun.

Percaya atau tidak, kebaikannya dapat dilihat seiring dengan usia anak yang meningkat naik.

Jika dilihat kepada situasi kini, golongan remajalah golongan yang cukup ‘liat’ untuk memakan sayur-sayuran. Golongan ini jugalah sering mengadu masalah sembelit selain najis berdarah akibat kurangnya pengambilan sayur-sayuran dalam menyalurkan serat yang mencukupi.

Dalam menarik minat mereka kepada sayur-sayuran, beberapa cara boleh anda cuba praktikkan. Antaranya ialah kaedah memasak yang betul selain perhatian kepada bentuk potongan, jenis dan saiz sayur-sayuran perlulah dititikberatkan.

Kaedah ‘stir-fry’ iaitu menumis sayuran dengan minyak yang sedikit boleh dicuba selain ianya perlu dimasak hampir pada waktu makan. Kepanasan sayuran selain bau harum ramuan yang digunakan pastinya akan menaikkan lagi ‘nafsu makan’ mereka.

Seperkara lagi yang perlu anda ingat, pastikan sayuran yang disediakan mempunyai perasa yang secukupnya. Perasa yang chef maksudnya di sini tidak terhad kepada garam, gula dan serbuk lada sahaja.

Ianya lebih kepada gabungan bahan yang digunakan semasa proses menumis seperti kicap, sos tiram, bawang putih, bawang merah, sebarang jenis sos dan sebagainya.

Penyediaan sayur-sayuran dalam hidangan Barat yang menggunakan kaedah ‘saute’ iaitu tumis juga boleh anda cuba. Ianya hampir sama dengan kaedah ‘stir-fry’ namun sayuran yang hendak ditumis terlebih dahulu dimasak melalui proses ‘blanching’ atau penceluran.

Ini dilakukan untuk mengekalkan nutriennya selain menaikkan lagi seri sayur darisegi warnanya yang tampak lebih menarik.

Mempelbagaikan jenis sayur-sayuran dan tidak terhad kepada sesuatu jenis sayur-sayuran sahaja antara kunci dalam menarik minat seseorang itu. Pemilihan sayur-sayuran yang sama seboleh-bolehnya dielakkan agar tidak merencat ‘nafsu makan’ anak anda.

Sentuhan menarik dari segi persembahan hidangan juga perlu dititikberatkan. Hiasan ringkas seperti bunga cili, hirisan karot dan bawang, bunga ros dari kulit tomato dan sebagainya boleh digunakan sebagai tarikan kepada anak anda untuk mencubanya.

Untuk itu, dalam memberikan kelainan dari segi penyediaan sayur-sayuran selain rasa, resepi ‘Sayur Campur Cina’ dan ‘Tumisan Taugeh & Udang’ yang chef sertakan ini bolehlah anda cuba.

Selamat mencuba…………….

Sayur Campur A La Cina

Bahan-bahan
- 200 gm kobis cina (dipotong kecil)
- 100 gm bunga kobis (dipotong kecil)
- 100 gm brokoli (dipotong kecil)
- 1 batang karot (dipotong kecil)
- 50 gm kacang snow pea
- 4 batang putik jagung (dibelah dua)
- 1 biji lada benggala (dipotong kecil)
- 6 biji cendawan butang (dibelah empat)
- 3 ulas bawang putih (dicincang halus)
- 2 cm halia (dihiris memanjang)
- 3 sudu besar sos tiram
- 1 sudu kecil minyak bijan
- Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
- Minyak untuk menumis

Cara Membuat
1. Tumis bawang putih dan halia sebelum dengan sedikit minyak hingga sedikit layu.
2. Masukkan sos tiram dan sayur lalu ditumis hingga masak.
3. Tuangkan minyak bijan dan perasakan dengan garam dan serbuk lada putih.
4. Hiaslah hidangan sebelum menghidangkannya.

Tips
1. Sayuran yang keras perlu ditumis dulu sebelum memasukkan sayuran lembut seperti kobis cina.
2. Penggunaan tepung jagung boleh dilakukan sekiranya air yang banyak terhasil semasa proses memasak.


Tumisan Taugeh & Udang

Bahan-bahan
- 200 gm udang sederhana besar (dibersihkan)
- 80 gm taugeh (dibersihkan)
- 80 gm karot (dihiris memanjang)
- 20 gm daun ketumbar (dicincang kasar)
- 20 gm daun bawang (dipotong kecil)
- 2 ulas bawang putih (dihiris nipis)
- 3 biji bawang merah (dihiris nipis)
- 1 sudu besar sos tiram
- Garam & serbuk lada putih secukup rasa
- Sedikit minyak untuk menumis

Cara Membuat
1. Panaskan minyak lalu tumis bawang merah dan bawang putih.
2. Masukkan udang, taugeh, karot, daun ketumbar dan daun bawang lalu ditumis hingga masak.
3. Masukkan sos tiram lalu diperasakan dengan garam secukupnya.
4. Hiaslah hidangan anda mengikut kreativiti masing-masing.

Tips
1. Ayam dan daging juga sesuai digunakan sekiranya anda tidak menggemari makanan laut.

Monday, March 28, 2011

Masak dan masak lagi.........

Syukur alhamdulillah....selesai sudah satu lagi tugasan yang diberikan kepada chef iaitu demo masak yang telah diadakan di Popular Komtar Penang pada ahad lepas.

Orang-orang Penang yang telah berkesempatan ke Komtar pastinya teruja untuk merasa 3 lagi hidangan chef seperti jejari ikan bersos cili thai, tofu sumbat isi udang dan ikan dan omelet cendawan.

Kepada yang telah mendapatkan buku masakan chef tempohari, chef ucapkan berbanyak terima kasih. Tapi yang paling penting, anda perlulah mencubanya dirumah. Jangan disimpan saja...nanti lama kelamaan ianya pasti dimakan anai-anai...tak gitu.

Bagi yang tidak berkesempatan, InsyaAllah lain masa pasti akan ada lagi demo masakan yang dianjurkan oleh PTS.

Sebelum chef terlupa, chef ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada pihak PTS dan juga Popular kerana sudi menjemput chef untuk mengadakan demo memasak ini.

Selain dapat menghidangkan makanan untuk dirasa, chef benar-benar gembira diberi peluang untuk beramah mesra dengan pengunjung yang datang tak kira Melayu, Cina atau India.

Sokongan yang diberikan, menjadi inspirasi dan semangat untuk chef terus maju dalam bidang yang diceburi. Terima kasih.....chow chi chow.....

P/S: Info lanjut tentang event yang diadakan di Komtar Penang. Sila copy paste link dibawah ini.
http://pts.com.my/index.php/berita/chef-hussin-khan-gamatkan-pulau-pinang/

Tuesday, March 22, 2011

Demonstrasi Masakan Di Komtar Penang

Apa khabar semua.

Dah lama chef tak letakkan post terbaru di blog ini. Chef pinta ribuan kemaafan di atas perkara tersebut.

Laptop chef masih lagi belum boleh dibaiki dan kebanyakan "file" resepi ada di dalam laptop tersebut. Post kali ini juga chef masukkan melalui pc pejabat. Takpelah...kalau dah ok nanti, chef akan mula upload resepi-resepi baru.

Untuk kali ini, chef ingin menjemput anda semua untuk turut serta dalam demonstrasi masakan yang akan diadakan di Komtar Penang pada 27hb Mac 2011. Masanya ialah pada pukul 3 - 5 petang.

Pada yang tidak berkesempatan di Pesta Buku Popular Sunway Carnival tempohari, bolehlah berkunjung ke Komtar untuk memeriahkan lagi majlis. Tempatnya adalah di perkarangan Kedai Buku Popular.

Semoga dapat berjumpa dengan anda disana. Sehingga itu, sambutlah salam ikhlas dari chef khas buat anda semua. Chow chi chow......

Monday, March 14, 2011

Jemputan Menghadiri Demo Masakan Chef

Assalamualaikum.....

InsyaAllah pada hari Ahad (20/3) ini, chef akan berada di Sunway Carnival Mall Penang untuk mengadakan satu demo masakan sempena Pesta Buku Popular. Masanya ialah pada pukul 2 petang hingga 3.30 petang.

Demo ini juga adalah sebahagian aturcara pesta selain jualan buku keluaran chef turut dijual pada hari itu.

Kepada blogger2 yang berada di kawasan berhampiran, silalah sudikan diri anda untuk turut memeriahkan lagi pesta buku ini selain mendapatkan buku masakan chef ini.

Ahad depan iaitu pada 27/3 pula, chef akan berada di Komtar Penang. Kepada yang tak berkesempatan, bolehlah datang kat situ. Masanya ialah pukul 3 - 5 petang.

Akhir kata, salam ikhlas dari saya khas untuk anda.

Thursday, March 10, 2011

Perkara Haru Biru & Nasi Lemak Kopi O

Untuk post kali ini, takde apa yg ingin chef bincangkan. Sekadar bercoleteh tentang apa yg terjadi semasa di set Nasi Lemak Kopi O TV9 tempohari. Syukur...segmen yang chef hadiri hari itu telah berjaya chef sempurnakan dengan sebaik mungkin.

Pada mulanya memang terasa "dup dab dup dab" jantung chef kembang kempis. Maklumlah first time live on air. Masa yang diberikan juga agak singkat iaitu lebih kurang 8 minit. Tapi alhamdulillah, dapat juga siapkan dua resepi iaitu Penjan Sri Perak dan juga Sambal Tumis Ikan Bilis selain dapat mempromosi buku masakan chef aritu.

Sebenarnya, ada peristiwa lain yang berlaku aritu sebelum ke Sri Pentas. Air gula Melaka yang akan chef gunakan untuk resepi Penjan ini sebenarnya tertinggal di Penang. Nasib baiklah chef tersedar "cepat" tentang hal ini. Perkara ini pun chef sedar semasa chef sedang 'memerut' dalam tandas tempohari.

Pada mulanya kelam kabut juga dibuatnya. Maklumlah...mana nak cari gula Melaka pagi-pagi buta ditengah-tengah bandar pula tu. Chef bukannya 'familiar' sangat dengan kawasan Bandar Utama. Tambahan pula, shooting akan bermula dalam pukul 9 pagi.

Mujurlah ada sebuah hotel yang terletak di kawasan berhampiran Sri Pentas. Nak tak nak, terpaksalah chef ke hotel itu dan berjumpa dengan salah seorang chef restoran tersebut. Chef telah meminta tolong daripada chef tersebut untuk mendapatkan gula Melaka.

Setelah lama menunggu di depan restoran tersebut, kelibat chef tersebut kelihatan dari jauh tanpa sebarang objek di tangan. Chef dah kecut pada mulanya namun setelah beliau mengeluarkan seketul gula Melaka dari poketnya, barulah lega rasanya.

Tujuan beliau buat begitu adalah disebabkan "security reason". Silap-silap beliau boleh dibuangkan kerja kerana membawa keluar 'barang' dari hotel. Apapun chef bersyukur kerana beliau telah sudi untuk membantu.

Untuk tujuan 'security' jugalah chef tak dapat untuk meletakkan namanya serta hotel tempat beliau bekerja. Apapun chef benar-benar hargai pertolongan beliau dan ucapkan ribuan terima kasih.

Apabila berkata tentang rancangan Nasi Lemak Kopi O, chef telah digandingkan dengan Farah AF untuk menjayakan segmen masak2 itu. Farah nampak begitu bersahaja aritu tanpa sebarang perasaan gugup.

Kalau gugup pun mungkin dari chef, maklumlah first time live. Tapi perasaan gugup ini chef dapat kawal aritu. Syukur banyak2 pada Allah kerana menolong chef di saat2 chef memerlukan kekuatan.

InsyaAllah, minggu ini pun chef akan ke udara lagi dalam rancangan ini. Menu yang akan chef kongsikan adalah sejenis lempeng. Nak tahu lempeng apa.....itu anda kena tonton dulu k.

Semoga berjumpa lagi, jangan lupa untuk mendapatkan buku masakan chef di kedai2 buku berhampiran dengan anda.

P/S: Buku akan berada dipasaran dalam masa terdekat. Jangan risau k....dalam masa terdekat ini.

Wednesday, March 2, 2011

Sentuhan Segar Pada Cover Buku

Assalamualaikum dan salam sejahtera......

Pertama sekali, chef ingin memohon berbanyak kemaafan kerana buku masakan chef masih belum kunjung tiba ke kedai buku berhampiran anda. Ini adalah disebabkan proses penambaikan yang dilakukan oleh pihak penerbit terhadap 'cover' buku agar ianya lebih menarik.

Kesungguhan serta kerja keras yang ditunjukkan oleh PTS ini menunjukkan betapa 'hanya yang terbaik' sahaja yang diberikan kepada pembaca dan pengemarnya. Chef juga kagum dengan usaha yang dilakukan ini selain kepuasan menghasilkan buku masakan amat dirasai.

Namun begitu sekiranya anda inginkan buku masakan chef dengan segera, bolehlah dapatkan ia melalui pos. Sila rujuk post yang terdahulu untuk maklumat lanjut. Apa yang menariknya ialah buku masakan yang berada dalam simpanan chef ini dikira sebagai koleksi buku "limited edition". Anda takkan dapat koleksi ini di mana-mana kedai-kedai buku.

Kepada anda yang berada di Pulau Pinang terutama sekali di Seberang Jaya, demonstrasi masakan akan diadakan di Sunway Carnival Mall pada 20hb Mac dari 2 - 4 petang sempena Pesta Buku Popular. Untuk itu, jemputlah hadir sekiranya anda mempunyai kelapangan untuk memeriahkan lagi suasana pada hari tersebut.

Sehingga bertemu lagi,
sambutlah salam ikhlas dari chef khas untuk anda semua.....

Chow chi chow....

P/s: Kemudian chef masukkan cover baru buku masakan...

Monday, February 21, 2011

Dapatkan buku masakan secara esklusif dari saya

Assalamualaikum dan apa khabar semua.....

Ini adalah tajuk buku masakan chef keluaran PTS Millenia Sdn Bhd.

1. Sarapan Pagi & Minum Petang
2. Makan Tengahari & Makan Malam

Syukur alhamdulillah....kedua-dua buku masakan chef telah pun berada di pasaran. Kini ianya hanya menunggu anda untuk mendapatkannya. Konsep makanan sihat dan berkhasiat menjadi pilihan chef dalam menghasilkannya selain menekankan teknik "food stylist" dalam setiap menu yang disediakan.

Panduan nutrisi pemakanan juga disediakan bagi anda yang menekankan konsep gaya hidup sihat. Berbagai pilihan menu boleh dicuba, seiring dengan keperluan nutrisi pemakanan harian anda.

Menu ringkas yang disediakan hanya memerlukan bahan-bahan asas yang boleh didapati dengan mudah. Untuk tidak memeningkan fikiran, langkah demi langkah penyediaan juga disediakan melalui gambar yang diambil untuk memudahkan proses memasak anda.

Secara tidak langsung, kini anda bergelar sebagai "Chef" atau "Iron chef" dapur kesayangan anda. Pastinya kebolehan menyediakan menu tersebut memukau hati sesiapa saja yang merasa air tangan anda.

Terdapat 45 resepi ringkas dimuatkan dalam setiap buku yang terdiri daripada masakan Melayu, India, Cina dan Barat. Kesemua menu ini telah chef olah menjadi satu menu yang berkonsepkan 1Malaysia. Apa yang pasti, ianya cukup mudah untuk disediakan tanpa perlu mengerah tenaga yang banyak untuk menyediakannya.

Bagi anda yang sibuk dan juga yang baru berjinak-jinak dengan masakan, eloklah benar kalau mendapatkan buku masakan ini. Anda pasti akan teruja dengan hasil yang akan anda sediakan. Tak caya...cubalah.

Kini, ianya boleh didapati di kedai-kedai buku terpilih di seluruh Malaysia dengan harga RM 15 senaskah (beli satu, dapat satu ya) ataupun melalui pos yang berharga RM 22 senaskah (termasuk caj penghantaran) beserta tandatangan esklusif (sekiranya mahu...hehe).

Jika ingin membeli melalui pos, bank in atau transfer bayaran ke akaun Maybank chef iaitu 162450130191 dan emailkan kepada chef salinan resit pembayaran ke Huskha75@gmail.com atau faxkan ke 043823681.






Saturday, February 19, 2011

Pai Epal Bersos Strawberi

Assalamualaikum dan apa khabar.

Untuk kali ini, chef bawakan hidangan pencuci mulut yang mana pastinya akan menaikkan mood anda hujung-hujung minggu sebegini. Apa kata anda cuba resepi 'Pai epal" pulak. Ianya mudah disediakan selain hanya menggunakan beberapa bahan sahaja selain mudah didapati. Chef berharap agar anda dapat mencubanya dalam menceriakan hidup keluarga anda. 

Selamat mencuba.....chow chi chow.....

Bahan-bahan
Bahan A (Intinya)
-          5 biji epal hijau (dihiris nipis)
-          100 gm gula
-          2 sudu makan jus lemon
-          Sedikit air

Bahan B (Dohnya)
-          250 gm tepung gandum
-          125 gm mentega
-          Secubit garam
-          Air secukupnya

Cara Membuat
1.       Untuk menghasilkan intinya, panaskan gula bersama sedikit air hingga cair dan pekat.
2.       Masukkan epal dan masak ia hingga sedikit layu.
3.       Masukkan jus lemon lalu digaul sebelum disejukkan.
4.       Untuk kulitnya, campurkan kesemua bahan lalu digaul hingga menjadi doh dan rehatkan di dalam peti sejuk.
5.       Ambil sedikit doh lalu diuli sederhana tebal lalu dimasukkan ke dalam piring pai.
6.       Ambil garpu lalu ditekan ia sebelum dibakar selama 10 minit di dalam ketuhar.
7.       Keluarkan piring pai dan masukkan inti epal kedalamnya sebelum ditutup dengan lebihan doh yang diuli sederhana tebal.
8.       Sapukan pai dengan kuning telur dan bakar hingga masak atau bakar ia selama 30 – 35 minit (bergantung kepada saiz pai).
9.       Setelah masak, hidangkanlah pai bersama sos strawberi dan hirisan buah-buahan.

Tips

1.       Inti pai segera juga boleh digunakan dan boleh didapati dikebanyakan pasaraya.
2.   Hidangkan pai bersama sos strawberi yang boleh didapati dipasaraya.

Saturday, February 12, 2011

Sukakan Coleslaw. Chef ada cara untuk menghasilkan coleslaw yang sedap.

Assalamualaikum semua.

Apa khabar anda pada hujung-hujung begini. Tentu anda ada bermacam-macam perancangan dan agenda untuk diuruskan. Tak gitu. Maklumlah waktu inilah banyak kenduri kendara diadakan. Tidak kurang ada juga yang pindah rumah baru. Apa jua urusan yang ingin anda lakukan, semoga ianya dapat disempurnakan dengan sebaiknya.

Untuk post kali ini, chef ingin berkongsi dengan anda tips menghasilkan 'coleslaw' yang enak untuk dimakan. Ramai yang berpendapat, menghasilkan coleslaw hanyalah sekadar mencampurkan sayur kobis dengan mayonis. Namun setelah dinikmati, rasanya adalah berbeza sama sekali dengan coleslaw yang biasa dimakan di 'fast food' ataupun di restoran hotel.

Pada pendapat chef, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya sayur kobis terus dicampurkan dengan mayonis. Tetapi ada proses dan bahan yang digunakan sebelum proses itu. Ini dilakukan untuk menghasilkan tekstur sayur yang lebih disukai. Rahsianya ialah.......

Apa yang perlu dilakukan ialah sayur kobis yang telah dihiris halus hendaklah digaulkan dengan cuka dan gula. Kuantiti cuka yang digunakan cukuplah sekadar kena pada semua hirisan tadi selain memberi rasa masam pada sayur. Kuantiti gula pula biarlah lebih....mungkin segenggam gula. Ini secara langsung dapat memberi rasa manis yang dikehendaki pada sayur kobis.

Fungsi utama kedua-dua bahan ini adalah untuk melembutkan tekstur sayur tersebut agar menjadi lembut selain rasa. Inilah rahsia yang mana ramai orang tidak mengetahui. Secara tidak langsung, serat sayur yang sememangnya liat atau 'crunchy' dapat dilembutkan. Masukkan juga sedikit hirisan karot agar coleslaw anda nampak menarik.

Setelah campuran tersebut direhatkan selama 20 - 30 minit, perah keluar cuka yang dimasukkan tadi. Ini bagi mengelakkan coleslaw anda berair setelah ianya dicampurkan dengan mayonis kelak. Setelah itu, barulah dimasukkan bawang yang telah dicincang kasar dan juga mayonis. Perasakan dengan garam secukupnya dan gaulkan ia agar menjadi sebati.

Coleslaw seboleh-bolehnya dihidangkan sejuk. Barulah rasanya lebih mengancam. Kebiasaannya coleslaw dihidangkan bersama fish n chips, ayam bersalut serbuk roti dan apa saja makanan yang anda gemari. Ianya juga boleh dimakan begitu saja.

Selamat mencuba.......

P/S: Bersama kawan2 mempromosikan buku masakan chef yang telah pun berada dipasaran.

Sunday, February 6, 2011

Udang Goreng Tempura

Untuk post kali ini, chef ingin berkongsi dengan anda resepi udang yang mana ianya mudah disediakan pada bila-bila masa. Apa yang penting, kena ke pasar cari udang. Udang yang hendak dibeli itu mestilah bersaiz sederhana besar. Kalau saiz yang kecik, ianya tak berapa sesuai untuk menghasilkan menu ini. 

Hidangan yang chef sediakan ini sebenarnya sesuai dihidangkan di parti-parti koktel atau sebarang jenis majlis yang ingin anda adakan. Tak kurang juga, ianya sesuai dihidangkan sebagai makanan untuk minum petang. Untuk itu, chef berharap anda dapat mencubanya.........chow chi chow.

Untuk menyediakan menu ini, bancuhan tepung perlu disiapkan terlebih dulu dengan menggunakan bahan seperti tepung tempura, telur, garam dan serbuk lada secukup rasa selain air secukupnya. Gaulkannya ia agar sebati (tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair).

Udang yang hendak digunakan mestilah dibuang kulit dan "tali perut", hanya tinggalkan ekornya. Udang ini juga perlu diperap dengan sedikit serbuk cili, garam dan serbuk lada putih. Boleh juga dimasukkan jus lemon atau limau.

Panaskan minyak. Celup udang ke dalam bancuhan tepung tadi lalu goreng udang hingga kuning keemasan.
Toskan minyak dan hidangkannya dengan sos "pranom'....sos cili Thai.

Sebelum mengundur diri, chef letak kat sini info lanjut tentang buku chef di portal PTS.
http://pts.com.my/index.php/berita/chef-husin-hasil-resipi-sihat-dalam-gaya-menarik/

Friday, February 4, 2011

Sos Yang Mudah Disediakan Dengan Mayones

Untuk post kali ini, chef akan berkongsi dengan anda cara untuk menghasilkan sos yang mudah hanya dengan menggabungkan beberapa bahan yang ada di dapur kita. Sebelum itu, bagaimana dengan percubaan pertama anda untuk menghasilkan mayones sendiri? Chef yakin tentu anda dapat menghasilkannya.

Kalau ianya tidak menjadi, tidak mengapa. Ini hanya percubaan pertama. Anda boleh mencubanya lagi. Jangan putus asa!!!. Ada juga pelajar chef yang masih terkial-kial menghasilkan mayones ini walaupun telah ditunjukkan caranya didepan mata. Namun, apabila dicuba dan dicuba lagi, akhirnya mayones yang 'perfect' dapat dihasilkannya. Yang penting anda perlu mengetahui bahan dan cara untuk menghasilkannya. Susah-susah sangat beli saje mayones di kedai tu..haha...tak gitu.

Baiklah, chef ingin kongsikan dengan anda cara menghasilkan sos koktel. Mungkin ada yang telah mengetahui cara untuk menghasilkannya, namun ramai juga yang tidak mengetahui. Bahan seperti sos cili, sos tomato, jus lemon atau oren dan mayones diperlukan. Caranya cukup mudah, hanya dengan mencampurkan kesemua bahan tersebut dan digaulkan agar sebati.

Apa yang chef dapat katakan, sos tomato yang hendak dimasukkan mestilah separuh daripada sos cili yang hendak digunakan. Rasa masam sos tomato akan merencatkan keenakkan sos selain peratusan tomato yang tinggi boleh diperolehi daripada sos cili. Untuk itu, kurangkan penggunaan sos tomato dalam penghasilan sos koktel ini.

Di sini chef sertakan bahan-bahan sos untuk anda cuba dalam kuantiti kecil. Sekiranya ingin menghasilkan dalam kuantiti besar, apa yang perlu anda lakukan hanya menggandakannya mengikut kuantiti yang diberikan.

Kuantiti yang chef berikan ini adalah kuantiti anggaran yang difikirkan sesuai untuk menghasilkan sos koktel.

3 sudu sos cili
1 sudu sos tomato
3 sudu mayones
1 sudu jus oren atau lemon

Warna sos yang terhasil mestilah seakan-akan warna 'merah bandung' (tidak terlalu kemerahan dan tidak terlalu putih).Namun begitu, anda boleh melakukan 'adjustment' mengikut citarasa masing-masing. Apa yang penting, rasa sos mestilah sedap (mempunyai masam, manis, sedikit pedas, masin) untuk dimakan.

Tranggg....kini sos koktel telah pun anda siapkan. Boleh dimakan dengan apa saja makanan seperti nuget, sosej, keropok, drumet dan sebagainya. Sesuai juga kalau dicampurkan atau 'tossing' dengan salad berdaun. Untuk yang berdiet, bolehlah amalkan makan salad berdaun yang digaulkan bersama sos koktel.

Untuk keterangan lanjut tentang salad dan bermacam sosnya, tunggu kemunculan buku masakan chef berjudul Salad Buah & Sayur yang akan berada di pasaran pada April ini bersama buku yang berjudul Pembuka Selera. Langkah demi langkah penghasilan salad dan sosnya ada dimuatkan untuk anda.

Selamat Mencuba.....

Wednesday, February 2, 2011

Menghasilkan Mayones Sendiri

Untuk post kali ini, chef ingin berkongsi dengan anda tips untuk menghasilkan mayones sendiri. Anda hanya memerlukan beberapa jenis bahan saja untuk menghasilkannya. Yang pasti, kuning telur selain minyak  digunakan untuk menghasilkannya.

Apa yang perlu anda lakukan ialah pukul kuning telur bersama sedikit mustard (dijon) hingga kembang dan 'creamy'. Bagi yang tidak mengetahui apa itu mustard, ianya berwarna kuning dan dalam bentuk separuh cecair. Kebiasaannya mustard ni dihidangkan bersama sos cili dan tomato dalam hidangan seperti hotdog dalam filem2 barat tu. Ha tentu anda ingat bukan.

Ok kita sambung proses seterusnya. Setelah ianya dipukul kembang, minyak jagung hendaklah dimasukkan sedikit demi sedikit sambil dipukul berulangkali. Kadang-kadang lenguh dibuatnya tangan apabila menyediakan mayones ini. Kalau tak larat, mesin pemukul atau 'mixer' boleh anda gunakan.

Penghasilan mayones diakhiri dengan memasukkan jus lemon atau limau selain diperasakan dengan garam, serbuk lada putih dan juga gula. Chef saja memasukkan gula kerana mayones yang dikomersial memang mengandungi gula selain bahan-bahan pengawet. Kalau semasa chef mengajar di fakulti, memang jarang sekali chef memasukkan gula.

Sekiranya mayones menjadi pekat semasa memukul, air suam boleh dimasukkan untuk mengurangkan kepekatannya. Yang penting apa jua bahan yang dimasukkan, mayones haruslah dipukul agar bahannya menjadi sebati.

Apabila memperkatakan tentang minyak, minyak jagung adalah minyak yang paling sesuai digunakan kerana ianya tidak begitu berbau berbanding minyak kelapa sawit. Namun begitu, minyak kelapa sawit banyak digunakan dalam penghasilan mayones secara komersial selain ianya murah.

Kini mayones yang anda idam-idamkan telah dapat dihasilkan. Dengan menggunakan mayones ini, anda boleh menghasilkannya sos lain seperti Sos 1000 Pulau, Sos Koktel, Sos Tartar dan lain-lain lagi. Mungkin dalam post-post akan datang chef akan terangkan bagaimana untuk menghasilkannya.

Sebelum mengakhiri post kali ini, chef sertakan info terkini tentang buku chef di portal PTS. Sebenarnya dua buah buku chef akan berada serentak di pasaran selepas raya cina.  Chef berharap agar buku-buku ini boleh dijadikan sebagai panduan serta inspirasi dalam menyediakan hidangan berkhasiat untuk keluarga tersayang.
http://pts.com.my/index.php/berita/chef-husin-hasil-resipi-sihat-dalam-gaya-menarik/

Saturday, January 29, 2011

Majalah Jelita Keluaran Februari 2011

Untuk post kali ini, chef ingin kongsikan dengan anda resepi chef yang dimuatkan di dalam Majalah Jelita keluaran Februari 2011. Resepi berasaskan kambing ini telah chef siapkan beserta gambar langkah demi langkah bagi memudahkan pembaca untuk mencubanya.

Untuk keluaran-keluaran akan datang, resepi berasaskan menu kambing akan menghiasi dada majalah ini. Untuk itu, chef telah menyiapkan sebanyak sebelas menu yang mengenegahkan pelbagai kaedah masakan dan potongan daging yang berbeza selain sos yang dirasakan sesuai untuk dimakan bersama daging kambing ini.

Untuk keterangan lanjut, bolehlah dapatkan senaskah majalah ini di pasaran sekarang sebelum kehabisan stok.....chef ini macam pengarah pemasaran syarikatlah pulak...hehe.

Selain itu, jangan lupa untuk mendapatkan buku masakan sulung chef yang telah pun berada di pasaran.
Info lanjut, sila klik link dibawah.
http://pts.com.my/index.php/berita/resipi-sarapan-pagi-dan-minum-petang-chef-hussin-kini-di-pasaran/