Bertemu lagi untuk minggu ini.....
Untuk hari ini, chef ingin kongsikan satu lagi resepi yang berasaskan daging. Resepi ini telah chef sediakan secara bufet. Maknanya kuantiti yang besar (banyak) perlu disediakan dan diletakkan dalam bekas yang agak besar juga.
Makanan untuk bufet kebiasaannya dihidangkan dalam kuantiti yang besar disebabkan pengunjungnya yang agak ramai dalam satu-satu masa. Mungkin 50 orang, 100 orang dan mungkin lebih dari itu... Untuk mengelakkan kerja "refill" atau pengisian semula makanan yang berulangkali, maka satu kuantiti yang besar akan dimasukkan dalam bekas makanan tersebut.
Ini memberi ruang kepada chef untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja lain. Taklah penat sangat...asyik-asyik mengisi makanan.
Teringat masa di Brunei dulu dalam satu majlis di Istana Brunei. Ramai pengunjung yang datang pada malam itu dimana makan malam secara bufet dihidangkan dan selepas itu supper juga disediakan secara bufet.
Perkara yang chef tak boleh nak lupa adalah makanan yang baru diletakkan dah abis tak sampai 5 minit. Apalagi terpaksalah isi makanan secara kerap. Penat dibuatnya. Makanan yang disediakan untuk supper juga terpaksa digunakan pada masa itu. Ini memaksa chef-chef didapur perlu menyediakan makanan baru untuk supper pula.
Sebenarnya pengunjung yang datang ke Istana begitu menghargai makanan yang dihidangkan selain bangga menjadi tetamu Sultan. Sebab itu, apa saja makanan yang dihidangkan akan dinikmati sebaiknya.Chef sebenarnya berbangga menjadi sebahagian staf yang terlibat ketika itu...gembira melihat makanan yang disediakan begitu disukai dan dihargai.
Untuk itu, kali ini chef ingin kongsikan resepi Daging Bakar Bersos Lada Hitam yang cukup mudah untuk disediakan. Selamat Mencuba.......
Bahan A (Daging)
1 ketul daging lembu (seelok-eloknya Striploin)
2 sudu besar serbuk cili/paprika
1 sudu besar lada hitam (dikisar kasar)
Garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk melumur
Bahan B (Sos Lada Hitam)
2 - 3 sudu besar serbuk sos perang (demiglace)
1 biji bawang besar (dicincang halus)
4 - 5 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 sudu besar lada hitam (dikisar kasar)
2 liter air
Garam secukup rasa
Sedikit majerin
Sedikit roux (bahan pemekat)
Cara Menyediakannya
1. Campurkan kesemua bahan A lalu digaulkan ke atas daging tersebut.
2. Perapkan selama 30 minit dan bakar dilakukan ketukar selama 1 jam pada suhu 180C.
3. Keluarkan daging dan hiris mengikut ketebalan yang anda suka.
4. Untuk menyediakan sosnya, didihkan air terlebih dahulu sebelum dimasukkan serbuk sos perang sedikit demi sedikit sambil dipukul dengan 'wire whisk'.
5. Kecilkan api dan biarkan ia mendidih perlahan agar sosnya sebati.
6. Didalam kuali yang lain, tumis bawang besar, bawang putih dengan sedikit majerin hingga naik baunya.
7. Masukkan lada hitam yang dikisar kasar lalu dituangkan sos perang tadi.
8. Perasakan dengan garam secukupnya dan biarkan ia mendidih selama 20 minit.
9. Untuk memekatkannya, masukkan sedikit 'roux' dan dikacau sebati dengan 'wire whisk'.
10. Tuangkan sos lada hitam ke atas daging lalu dihidangkan panas-panas.
P/S: Roux adalah campuran butter yang dicairkan dan digaulkan dengan tepung gandum. Kuantiti bahan ini perlulah sama...cthnya 100 g butter, tepung yang digunakan perlulah 100 g.
Seronok jadi chef ye... tapi memang meletihkan, bekas anak murid saya ramai yang terlibat dalam bidang kulinari, praktikal di hotel2, sesekali terjumpa semasa mereka praktikal...hadoiii kesiannya, sibuk!
ReplyDelete