Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Wednesday, June 16, 2010

Asam Pedas Ikan Nyok-Nyok


Bahan-Bahan
3 ketul Isi Ikan Nyok-Nyok (yang telah dipotong kecil)
4 sudu besar Cili giling
4 biji Bawang merah (dikisar)
3 ulas Bawang putih (dikisar)
30 gm Belacan (disangai)
1 kuntum Bunga kantan (dibelah empat)
1 batang serai (diketuk)
2 biji kacang bendi (dipotong kecil)
40 gm Daun kesum
500 ml Air asam jawa
Secukup rasa Garam dan Gula

Cara Menyediakannya

Bahan seperti bawang merah, bawang putih dan belacan dikisar bersama terlebih dahulu.
Panaskan periuk lalu tumis bahan kisar serta cili giling dan biarkan ia hingga pecah minyak.
Masukkan air asam, daun kesum, bunga kantan dan serai lalu dibiarkan mendidih.
Masukkan isi ikan dan perasakan dengan garam dan gula.
Hiaslah asam pedas mengikut kreativiti masing-masing sebelum menghidangkannya.

Tips

Ikan dimasukkan dipenghujung proses memasak untuk mengelakkan ianya daripada hancur.

Labu Masak Lemak


Bahan-Bahan
1 biji Labu bersaiz sederhana (dipotong kecil)
5 biji bawang merah (ditumbuk)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
50 gm ikan bilis (ditumbuk)
Sedikit daun kunyit (dihiris/dikoyak)
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 biji cili merah (dihiris nipis)
Secukup rasa Garam

Cara Menyediakan


Campurkan kesemua bahan ke dalam periuk lalu dimasak hingga labu menjadi lembut.
Perasakan dengan garam secukupnya.

Tips

Masak di atas api sederhana besar untuk mengelakkan santannya pecah.

Monday, June 14, 2010

Istana Diraja Brunei - Suatu Kenangan Menarik Untuk Diperkatakan


Berdiri dihadapan meja hidangan utama Sultan Brunei

Hai, apa khabar blogger semua. Tak dilupakan juga kepada anda, pengikut setia blog studio masakan Chef Hussin. Semoga semuanya sihat-sihat belaka setelah mencuba segala resepi yang telah chef berikan. Harap percubaan anda menjadi serta menyukai resepi yang diberikan itu.

Untuk coretan kali ini, chef ingin berkongsi dengan anda segala pengalaman pahit dan manis sewaktu berada di kediaman manusia terkaya di dunia iaitu kediaman Sultan Brunei.

Pernah ada orang bertanyakan kepada chef soalan-soalan mengarut, apa pertalian chef dengan Sultan Brunei, adakah chef kerabat Diraja Brunei, ada apa-apa ke di Brunei. Lucu pun ada, rasa macam perli pun ada.

Apa pun soalan yang diajukan, chef hanya tersenyum sambil fikiran melayang ke negara Brunei yang sememangnya meninggalkan pelbagai kenangan. Sebenarnya, chef diundang ke sana sebagai Hyatt Support Staff dan bertindak sebagai Chef De Partie.

Segalanya bermula apabila chef diberi peluang semasa perkahwinan kekanda Putera Mahkota sekitar tahun 1992. Pertama kali di sana, terasa diri begitu kerdil selain bekerja bersama-sama dengan chef dari Thailand, India, Australia dan juga Malaysia.

Pelbagai ragam selain kepakaran dipertonjolkan oleh mereka dalam meraih pengiktirafan dari pihak Hyatt. Apa pun yang dipertonjolkan, ianya adalah untuk kebaikan bersama dalam memastikan perkahwinan tersebut berjaya.

Untuk pengetahuan anda, pihak Hyatt Borneo adalah pihak yang telah dipertanggungjawabkan oleh istana dalam segala urusan hospitaliti termasuk makan dan minum. Kepercayaan yang diberikan ini sebenarnya telah berlalu berdekad lamanya sampai ke saat ini.

Pihak Hyatt Borneolah, pihak yang memberi kepercayaan kepada chef setiap kali agenda nasional berlangsung di negara Brunei terutama sekali yang melibatkan istana. Segala urusan pergi dan balik selain tempat tinggal diuruskan oleh mereka. Bak kata orang semuanya 'free', hanya bawa diri dan beg pakaian saja. Gaji yang dibayar juga agak lumayan.

Pertama kali chef ke luar negara dan itulah juga pertama kali chef menaiki kapal terbang. Seronok tak terkira selain rasa bangga menyelubungi diri. Berita gembira ini telah chef ceritakan pada mak. Nak tahu apa yang terjadi.....habis satu kampung mak chef hebohkan disebabkan bangga anaknya dapat berkhidmat di istana raja.

Kerja di istana semasa adanya 'event' besar sememangnya sibuk semacam. Apa tidaknya, lenguh dan kejang selain melecet dibuatnya akibat bekerja. Kawan chef tumbang di dapur setelah empat hari bekerja disebabkan kepenatan. Terpaksalah minta tolong seorang 'wak' dari Indonesia yang turut bekerja untuk mengurutnya pada malam hari.

Kalau bakar ayam, bertan-tan ayam perlu disediakan. Maka prosesnya pun berjalanlah dari pagi hingga ke tengah malam. Itu baru satu hidangan belum lagi berbelas hidangan yang perlu disiapkan tepat pada masanya.

Chef juga diberi tanggungjawab dalam menyediakan makanan harian bagi putera puteri sultan mengikut menu yang telah ditetapkan. Ini terpaksa dilakukan setiap hari. Apa yang penting ianya perlu menepati citarasa yang dikehendaki oleh mereka. Contohnya kalau, putera sultan sukakan menu yang berkuah maka menu yang berkuahlah yang perlu disediakan.

Selain putera puteri, chef juga pernah menyediakan makanan untuk pegawai-pegawai khas sultan seperti tukang gunting rambut dan pemandu. Nak buatkan cerita, menu-menu yang berlainan perlu disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Terkadang-kadang, ada je 'request' baru yang datang secara tiba-tiba yang perlu disiapkan. Ini yang membuatkan chef terpaksa memasang gear 5 selain tak cukup tangan untuk menyediakan makanan yang diminta. Maklumlah, memasak ini perlukan masa. Bukannya 'tup tup' semuanya dah ada di depan mata.

Apapun, chef cuba siapkan secepat mungkin dengan pertolongan chef peribadi sultan. Chef ini yang memberi info tentang apa yang disukai dan apa yang tak disukai.

Untuk pengetahuan semua, chef sepatutnya berada di Brunei dari 9 - 26 hb Julai 2010 dalam menjayakan 'event' Hari Keputeraan Sultan Brunei. Tapi apakan daya, kaki chef belum pulih sepenuh akibat dari pembedahan lutut yang dilakukan awal Mei lalu. Takpelah....bukan rezeki chef kali ini.

Rasanya setakat ini sajalah chef dapat berkongsi tentang Brunei. Cerita-cerita selanjutnya tentang Brunei akan Chef berkongsi dalam post-post akan datang. Jenguk-jenguklah blog chef dari masa ke semasa ye.

Sambal Udang Petai & Belimbing Buluh

Bahan-bahan

500 gm Udang sederhana besar (dibersihkan)
60 gm Petai
4 biji Belimbing buluh (dibelah dua)
4 biji Bawang merah (dikisar)
4 ulas Bawang putih (dikisar)
2 sudu besar Cili giling
1 sudu besar Sos Cili
Sedikit Air asam
Secukup rasa Garam dan gula

Cara Menyediakannya

Panaskan minyak lalu tumis bawang merah, bawang putih dan cili giling hingga pecah minyak.
Masukkan sos cili dan air asam sebelum diperasakan dengan garam dan gula.
Masukkan petai dan belimbing buluh lalu dibiarkan seketika.
Akhir sekali, masukkan udang lalu digaul sebati.
Hiaslah sambal sebelum menghidangkannya.

Tips

Udang tidak perlu dimasak untuk masa yang lama dalam mengelakkannnya daripada menjadi liat dan 'bergetah'.

Sosek-Sosek Dari Dapur Chef

Inginkan menu yang ringkas dan mudah disediakan! Sekiranya anda menggemari menu berasaskan udang, cubalah menu sambal udang ini dirumah. Pastinya anda akan menyukainya selain tidak memenatkan tangan.

Masa yang diambil untuk menyediakannya hanya sekitar 15 - 20 minit jikalau ianya dibuat dari A - Z. Tapi sekiranya bahan-bahannya telah tersedia lebih awal (hari sebelumnya), mungkin anda hanya memerlukan sekitar 10 minit saja.

Hidangan yang telah siap hendaklah dihiasi terlebih dahulu sebelum menghidang. Hiaslah seringkas mungkin dan pastikan ianya tidak melibatkan kos yang mahal. Apa yang chef dapat katakan, hiasan yang dilakukan ini pastinya dapat menambat hati suami dan anak-anak untuk menjamu masakan yang anda sediakan.

Nasihat chef, selain ilmu menghiaskan diri seperti meletakkan 'foundation', berbedak dan berlipstik selain bermaskara, ilmu menghias makanan juga harus dipelajari. Hehe...suami bukan saja melihat kecantikan luaran diri anda tapi dapat juga melihat dalaman anda menerusi hidangan yang disediakan.

Selamat Mencuba......

P/S: Ringkas dan menarik dilihat dijadikan asas menghias makanan.

Cuci-cuci Mulut Dengan Buah


Makan buah perlulah dijadikan hidangan dimeja setiap kali anda menjamu selera. Kebaikan buah-buahan tak perlulah chef mengomel disini, pasti anda telah mengetahuinya. Bak kata Nabil: lu fikirlah sendiri...hehe jangan marah.

Apa yang dikesali, kebaikan buah-buahan tetap tidak diendahkan dan didapati pengambilannya kurang dititikberatkan. Ada kajian yang dilakukan di Malaysia mendapati pengambilan buah-buahan adalah kurang daripada 1 pengambilan. Ini tidak bertepatan dengan apa yang disarankan oleh WHO iaitu sekurang-kurangnya 5 hidangan pengambilan dilakukan pada setiap hari.

Maka tidak hairanlah, pelbagai penyakit timbul dan kesannya begitu memeritkan pesakit yang menghidapinya. Salah satu sebabnya kerana tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kuantiti yang mencukupi. Apatah lagi, hendak mencapai sekurang-kurangnya 5 hidangan pengambilan sehari.

Chef nak tanya anda? Pernah tak anda mengalami masalah susah untuk buang air besar disebabkan masalah sembelit. Haha jangan tipu....anda pasti mengalaminya bukan. Sedar atau tidak, sembelit terjadi disebabkan kekurangan bahan serat serta air dalam badan. Maka tidak hairanlah, anda susah untuk 'buang ketulan' tersebut disebabkan ianya terlalu keras.

Inilah juga antara faktor yang mendorong kepada terjadinya buasir. Usus besar anda akan berdarah disebabkan terluka dinding-dindingnya semasa 'ketulan keras' keluar. Aikk...chef macam doktorlah pula. Apapun, nasihat chef kepada anda, makan buah-buahan selain sayur-sayuran untuk kesihatan anda.

Pastikan anak-anak anda diajar selain disuruh untuk memakan buah-buahan dan sayur-sayuran. Apa yang ditakuti, pelbagai jenis makanan diambil pada masa kini yang mana rata-ratanya kurang berkhasiat selain boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Kalau diimbau pada masa lalu, melihat kepada kudrat ayah dan ibu yang rata-ratanya bekerja di sawah, ladang dan ada yang bekerja sebagai nelayan. Tubuh mereka begitu kuat selain jarang terkena penyakit.

Kesihatan yang dimiliki oleh mereka sebenarnya diperolehi daripada makanan yang mereka ambil terutama sekali daripada buah-buahan dan sayur-sayuran. Segala jenis pucuk paku selain ulam juga disental mentah-mentah oleh mereka.

Tapi situasi itu telah banyak berubah kini. Sekarang ini, nak suruh budak-budak makan ulam...tak pandang malah tak disentuh langsunglah gamaknya. Apa yang mereka suka adalah makanan 'junkfood' selain meminum minuman bergas.

Dalam melatih anak-anak dan ahli keluarga untuk memakan buah-buahan dan sayur-sayuran, ianya perlu bermula dari ibubapa itu sendiri. Sentiasa sediakan buah-buahan dan sayur-sayuran di atas meja selain diamalkan dahulu oleh ibubapa sebelum disuruh mereka mengamalkannya. Ceritakan kebaikannya kepada mereka.

Yang pasti teladan baik ini akan diikuti oleh anak-anak. Bak kata pepatah: bapa borek, anak pun rintik...tak gitu.

Apapun jangan lupa makan buah....masalah sembelit dan lain-lain dapat dielakkan. Tak percaya, cubalah.

Sunday, June 13, 2010

Sambal Belacan


Bahan-bahan
10 biji Cili merah
3 biji Cili padi
40 gm Belacan (disangai)
Sedikit air asam jawa
Garam secukup rasa
1 biji limau kasturi

Cara Menyediakannya
Campurkan kesemua bahan di dalam lesung lalu ditumbuk hingga lumat.
Perasakan secukupnya dengan garam semasa ditumbuk.
Hidangkan sambal belacan tersebut bersama limau diatasnya.

Tips

Sambal belacan ini tidak perlu dimasak, cukuplah sekadar mencampurkan dan seterusnya ditumbuk atau dikisar.


Sosek-Sosek Dari Dapur Chef

Kesedapan sambal belacan memang tidak dapat dinafikan lagi. Emmmm sedap sambil peluh jantan mengalir deras dari dahi sesekali menitik membasahi tisu ditangan. Inilah penangan sambal belacan yang sememangnya mempunyai 'powernya' tersendiri. Sesuatu makanan yang dihidangkan, tak sah kalau tak ada sambal belacan disisi.

Pastinya menarik kalau membicarakan tentang sambal belacan ini. Sambal belacan sememangnya mempunyai ramai penggemarnya, baik yang tua hinggalah yang muda.

Maka tidak hairanlah, kanak-kanak seawal usia 5 tahun juga telah diajar makan sambal belacan. Ianya digemari dan digilai seakan-akan ketagihan terhadapnya tidak dapat dibendung lagi.

Sebarang hidangan yang dihidangkan tanpa sambal dikatakan hilang serinya selain kurang enak dimakan. Bagi penggemarnya, ianya satu kemestian dan perlu disediakan bersama hidangan lain pada setiap kali makan.

Bagi diri chef, sambal belacan bukanlah satu kemestian dan selalunya diambil pada masa tertentu sahaja. Bukannya apa, chef tidak begitu gemar memakan makanan yang pedas yang boleh menyebabkan pedih di ulu hati.

Chef agak cerewet memilih sambal dan hanya mengambil sambal yang mempunyai lebih rasa masam dan manis berbanding sambal yang mengandungi cili semata-mata. Satu yang chef tidak begitu gemar adalah rasa sambal belacan yang tidak konsisten yang biasa dihidangkan di warung atau restoran. Hari ini lain, esok lain pulak rasa yang dihasilkan.

Untuk pengetahuan semua, chef bukanlah penggemar fanatiknya. Namun kalau ianya menepati citarasa,pasti chef akan menjadi pelanggan setia restoran atau warung tersebut.

Inilah yang membuatkan chef selalu mengunjungi sebuah warung usang yang terletak di tepi sungai di Permatang Pauh. Kekuatan produk seperti inilah yang perlu ditonjolkan untuk menarik peminat.

Tapi jangan lupa kesedapan makanan sebenarnya agak subjektif. Bagi mereka yang sukakan rasa pedas, pedas bagi mereka adalah sedap. Ada yang dilihat suka mengambil atau memakan cili padi mentah-mentah. Siap dicolek pula dengan sambal belacan. Tak faham betul chef dengan orang sebegini. Yang pasti, itu adalah citarasa masing-masing. Apapun, ambillah ia dalam kuantiti yang sederhana.

Sambal belacan sememangnya mudah disediakan. Malah ada syarikat yang telah mengkomersialkan sambal belacan ini buat penggemarnya. Kalau dilihat pada penyediaannya, terdapat juga sambal belacan yang dimasak terlebih dahulu sebelum dimakan.

Apapun cara penyediannya, rasa enak sambal belacan sebenarnya terletak pada kekuatan belacan yang digunakan. Rasa dan bau 'busuknya' memainkan peranan dalam menaikkan selera makan selain kepedasan cili yang sememangnya menajamkan lagi rasanya.

Kuantiti belacan yang digunakan setelah ianya disangai menjadi senjata dalam menghasilkan sambal yang sedap. Ada juga yang memasukkan air asam dan limau selain gula dalam menyeimbangkan rasanya.

Betik Muda Rebus


Bahan-bahan

1 biji Betik Muda(dipotong kecil)
3 biji Cili Padi(diketuk)
1 helai Daun Kunyit (dihiris/dikoyakkan)
2 biji Bawang Merah (dihiris nipis)
1 liter Air (untuk merebus)
Garam secukup rasa

Cara Menyediakannya

Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk lalu direbus hingga betik masak dan lembut.
Tutupkan api setelah betik lembut.
Sebelum menghidang, hiaslah ia mengikut kreativiti masing-masing.

Tips

Betik muda rebus ini sesuai dihidangkan bersama nasi sebagai bahan 'pencolek' sambal belacan. Ianya mudah disediakan selain amat berkhasiat dalam menyumbang nutrien yang diperlukan oleh badan.

Saturday, June 12, 2010

Masak Apa Untuk Dimakan?


Masak apa? Nak makan apa hari ini? Ini diantara persoalan yang sering bermain di fikiran kita. Persoalan ini jugalah sering merunsingkan ibu-ibu dan akak-akak selain buntu memikirkan menu apa yang patut disediakan pada waktu itu.

Habis semua buku resepi yang ada dalam koleksi simpanan dibelek-beleknya selain ditenung untuk beberapa lama. Namun begitu, ianya masih tidak dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Dalam memperkatakan apa yang hendak dimasak, keinginan diri selain keluarga perlu dititikberatkan. Yang penting, menu kegemaran anak dan suami perlu diutamakan dahulu sebelum melihat kepada keinginan diri.

Kenapa chef berkata begitu? Kalau diri sendiri suka, belum tentu anak beranak turut menyukainya. Alih-alih apa yang dimasak dengan susah payah tidak dimakan selain dibuang begitu saja.


Keupayaan diri dalam menyediakan masakan tersebut juga menjadi faktor kedua yang perlu dititikberatkan. Bukan apa! bukan semua diantara kita mempunyai kemahiran memasak. Namun, kemahiran memasak bukanlah masalah besar dan ianya boleh dipelajari. Asalkan ada kemahuan pasti ada jalan.

Yang penting, berdampinglah dengan dapur untuk menimba pengalaman dan lakukanlah percubaan demi percubaan dalam menghasilkan hidangan yang disukai. Jangan mudah kecewa terhadap 'result' yang dihasilkan.

Bagaimana pula dengan perancangan menu? Sesuatu menu yang ingin disediakan mestilah dirancang seawal yang mungkin agar segala proses penyediaannya menjadi mudah. Anda tidak begitu penat sekiranya semuanya telah tersedia untuk dimasak.

Setelah menu dirancang berdasar kepada faktor diatas, barulah bahan memasak dibeli dan disimpan untuk kegunaan kelak. Beli barang yang diperlukan sahaja untuk mengelakkan sebarang pembaziran. Kuantitinya terpulang berdasarkan 'pax' iaitu bilangan orang yang akan menikmatinya.

Maka tidak hairanlah, kebanyakan chef profesional di hotel besar dapat menyediakan makanan pada masa yang ditetapkan walaupun kuantitinya agak besar iaitu beribu 'pax'. Mereka berupaya mengendalikan beberapa 'function' besar dalam satu masa walaupun menu yang dihidangkan adalah berlainan.

Ini dapat dilihat semasa chef berada di negara Brunei dalam menyediakan makanan untuk 100ribu orang. Selama 3 hari berturut-turut 'function' ini berlangsung di Istana Diraja Brunei. Selain dihadiri orang kenamaan, rakyat jelatanya turut dijamu dengan pelbagai jenis hidangan.

Sibuknya kerja penyediaan, tak perlulah chef ceritakan disini. Memang memenatkan. Namun disebabkan perancangan yang betul, acara yang berlangsung berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Kunci kepada kejayaan ini sebenarnya terletak pada perancangan menu yang betul selain pengagihan tugas yang begitu fleksibel. Kerjasama yang ditunjukkan sesama staf juga merupakan antara faktor dalam melicinkan segala yang dirancang.

Bagi anda, tumpukan kepada apa yang hendak disediakan. Rancanglah sebaik mungkin sebelum segala usaha dicurahkan untuk menghasilkan hidangan yang dikehendaki.

Buatlah aktiviti yang mengambil masa dahulu seperti mengopek, menghiris, mengisar dan lain-lain seawal mungkin. Jangan tunggu hingga saat untuk memasak. Persediaan inilah yang memenatkan kita, namun memasak menjadi mudah disebabkan semuanya telah tersedia. Masa yang diambil untuk memasak, taklah lama mana pun.

Selain itu, mainlah dengan garam dan gula. Tambah atau kurangnya bahan ini memberi implikasi terhadap rasa sesuatu makanan. Disebabkan inilah chef tidak mengambil (mengikut) bulat-bulat segala resepi yang diberikan dalam sesuatu buku resepi kecuali resepi yang ingin disiapkan itu adalah resepi 'pastry'.

Ada pembaca yang mengadu resepi yang dihasilkan tidak menjadi. Tipulah, itulah...inilah, tak habis-habis 'complain'. Masakan tidak menjadi, kesalahan pasti dilemparkan bulat-bulat kepada penulis buku resepi. Disebabkan itu, kebanyakan penulis buku resepi akan memastikan resepi yang diberikan adalah resepi yang telah diuji terlebih dahulu.

Sebagai pembaca anda seharusnya mempunyai asas memasak. Ianya perlu diketahui dan dipelajari sebelum memasak. Barulah anda dapat melakukan pengubahsuaian dengan menambah atau mengurangkan sesuatu bahan masakan. Sebarang pengubahsuaian yang dilakukan, pastinya ada implikasi terhadap perubahan rasa sesuatu masakan yang dihasilkan.

Namun begitu, kesedapan sesuatu masakan disebabkan 'air tangan' seseorang juga tidak boleh dinafikan. Segala yang dilakukannya pasti menghasilkan masakan yang sedap. Yang pasti, seseorang itu telah bersusah payah terlebih dahulu sebelum dianugerahkan dengan anugerah ini. Pengalaman telah mematangkannya serta meningkatkan skil dalam menghasilkan makanan yang 'sedap'.

Akhir kata, jangan lupa untuk memulakan sesuatu masakan dengan Bismillah selain disulami dengan Subhanallah, Alhamdulillah, Walaillahaillallah, Allahuakbar. Pastinya makanan yang dihasilkan akan meninggalkan kesan murni pada hati orang yang memakannya.

Friday, June 11, 2010

Menghasilkan Buku Masakan

Dalam menghasilkan buku masakan, bermacam-macam perkara bermain di fikiran selain kerisauan yang menyelubungi sanubari. Kepenatan fizikal dan mental amat terasa selain mencabar diri untuk merealisasikan buku sulung.

Syukur alhamdulillah.....lega rasanya segalanya telah berjaya disiapkan. Bukan satu tapi tiga buah buku telah berjaya dihasilkan. Buku sulung berjudul Diet sihat dan mudah - salad buah dan sayur, Buku kedua Diet sihat dan mudah - pembuka selera dan Buku ketiga Diet sihat dan mudah - sarapan pagi dan minum petang. Namun tajuknya tertakluk kepada perubahan yang akan dilakukan oleh penerbit.

Sebanyak 47 buah resepi dimuatkan dalam setiap buah buku. Penampilan yang ringkas selain sentuhan moden dititikberatkan dalam menaikkan seri hidangan yang dihasilkan. 'Prop' atau peralatan moden digunakan agar menu lebih menonjol selain meninggalkan impak di hati pembaca untuk mencubanya.

Pada hakikatnya, menghasilkan buku masakan bukan suatu kerja yang mudah dan memerlukan pengorbanan yang tinggi untuk merealisasikannya. Namun segalanya berjaya disudahkan dengan sebaik mungkin.

Yang pasti, menunya ringkas selain mudah disediakan. Tak perlulah akak2, abang2 dan makcik2 runsing dalam memikirkan menu apa yang hendak dimasak. Bahan-bahan yang mudah didapati dimasukkan dalam menu agar tiada yang pening dalam mencari barang-barang tersebut. Tentu lega bukan.....

InsyaAllah dalam masa terdekat ini buku tersebut akan berada di pasaran. Mungkin dalam bulan Jun, kalau tak pun pada bulan Julai. Dalam masa menunggu ini, beberapa buah buku lagi akan cuba dihasilkan bermula dari menghasilkan resepi.

Untuk itu, terimalah buah tangan dari saya khas untuk anda. Semoga sokongan anda menjadi pendorong bagi diri saya untuk terus berkarya menghasilkan resepi-resepi bernas selain sentuhan yang bersahaja.

Percubaan Pertama Dalam Dunia Iklan



Percubaan pertamaku dalam bidang lakonan di dalam iklan tv yang pada mula sekadar ingin mencuba kelainan. Namun saya begitu teruja dengan cabaran baru ini dan sememangnya ianya begitu menyeronokkan.

Keyakinan diri untuk mencuba selain bantuan serta tunjuk ajar dari Pengarah Iklan (En. Erman) dimanfaatkan sebaik mungkin. Sentuhan serta pengarahan yang begitu berdedikasi telah menghasilkan iklan yang bermutu tinggi. Malah ianya berjaya menarik minat penonton agar memberi perhatian terhadap isu yang dilakonkan.

Memandu ambulan yang 'real' ini begitu menakutkan saya pada mulanya, namun berasa selesa setelah kerap memandunya semasa pengambaran. Kelajuan sebenar ditagih dalam menonjolkan situasi sebenar semasa berlakunya kecemasan.

Sesekali ketakutan terlintas di akal fikiran semasa memandu laju di tengah-tengah lebuhraya persekutuan. Selain perlu berhati-hati agar tidak melanggar kenderaan di depan, saya juga perlu memastikan agar kamera yang 'terlekat' pada pintu tidak rosak akibat terlanggar kenderaan di sisi.

'Shot' diambil dari pelbagai sudut untuk menghidupkan jalan cerita serta memberi kesan pada penonton. Krew terpaksa bertungkus lumus menyediakan segala prop yang patut agar dapat menyelesaikannya dalam masa yang ditetapkan.

Bagi saya, ianya benar-benar meninggalkan impak yang begitu besar selain diharap dapat memartabatkan profesion pemandu ambulan yang sememangnya berkorban nyawa demi menyelamatkan nyawa orang lain.

Seperkara lagi kalau ingin berlakon, sifat malu haruslah dibuang jauh. Sifat malu inilah akan mencacatkan lakonan selain menambah ketakutan dalam diri.

Syabas diucapkan kepada Institut Integriti Malaysia kerana membiayai segala kos pembikinan selain kerjasama yang dihulurkan oleh Filem Negara Malaysia. Tidak dilupakan, En Erman, Faizul dan Khairul kerana memberi kepercayaan dalam melakonkan watak yang diberikan. Thanks.

Seni Memasak Haruslah Dipelajari


Memasak adalah satu seni malah ianya lebih merupakan satu kerjaya profesional yang semakin hari semakin mendapat sambutan. Seni memasak tidak hanya tertumpu kepada cara penyediaannya saja tetapi mengabungkan pelbagai aspek lain seperti aspek sains dalam makanan, penggayaan makanan selain asas penyediaan makanan. Namun begitu asas memasak adalah penting dan perlu ditekankan dalam sesuatu penyediaan makanan.

Apabila memperkatakan tentang masakan, pasti ramai suka membicarakan tentangnya selain berkongsi idea sesama sendiri. Sosek-sosek pasti kedengaran dalam mengomel hidangan yang disediakan. Klung kleng klung kleng !!! bunyi periuk kedengaran selain asap menusuk hidung menandakan dapur berasap.

Yang pasti, perkataan 'Chef' tidak lekang di mulut dan disebut berulang kali menandakan profesion ini telah mula mendapat tempat. Di fikiran pasti terlintas kelibat seorang lelaki bertopi tinggi yang sedang menyediakan hidangan enak untuk dihidangkan.


Namun, 'chef' ini perlulah bermula dari diri anda. Setiap orang yang dilahirkan perlu menjadi 'chef'. Tak kisahlah walaupun sekadar menyediakan maggi goreng atau pun maggi sup. 'Jiwa' memasak akan tercipta walaupun ianya tidak diundang. Namun, ianya perlu disemai, dibajai sebelum bergelar Chef yang berjaya.

Dekatkanlah diri selain berjinak-jinak dengan dapur untuk merasai pengalamannya. Pisau di dapur ibarat batang pena yang digunakan dalam urusan karang mengarang. Begitu jugalah ianya bertindak sebagai alat penting dalam menyelesaikan segala urusan dapur. Apabila ianya dipegang, rasa takut mula menghilang selain rakus dalam memotong apa saja yang melintang di depan mata. Hidangan yang menarik dapat disediakan berkat usaha yang dicurahkan.

Memasak menjadi mudah sekiranya segala penyediaannya dirancang dan disediakan lebih awal. Orang Perancis menyebutnya sebagai 'Mise en place" ertinya "put in a place" dalam bahasa Jawa London. Kesemua barangan diletakkan di satu tempat dalam memudahkan urusan memasak. Maksud lain ialah penyediaan barangan sebelum memasak.

Berilah peluang kepada diri anda sekurang-kurang 1 atau 2 kali dalam seminggu dalam menyediakan makanan. Kalau tidak pun, tolonglah isteri dan anak dalam menyediakan masakan. Suasana harmoni akan tercipta selain ianya menjadi kenangan untuk dikongsi bersama.

Nasihat chef untuk anda.....hati orang tersayang dapat ditawan melalui hidangan menarik yang anda hasilkan. Cubalah...yang pasti anda boleh melakukannya.