Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Sunday, September 25, 2011

Coklat Oh Coklat !!!

Assalamualaikum semua....

Lip lap lip lap....ketemu semula. Maaflah k kerana dah lama tidak ke udara.

Syukur, semalam satu lagi perkara baru telah chef berjaya laksanakan iaitu proses VO (Voice Over). Lebih tepat chef katakan ianya adalah proses di mana suara dimasukkan kedalam visual yang telah pun dirakam terlebih dahulu untuk rancangan Spice Routes Adabi.

Semalam hanya disiapkan VO untuk episod 1. Untuk itu, chef bertolak pagi dari Penang ke Bandar Utama P.J dan setelah selesai saja, chef bergerak balik ke Penang. Pukul 2 pagi semalam baru sampai.....memang penat rasanya tapi puas rasanya. Maklumlah ilmu baru yang chef pelajari ini tak dapat kat mana-mana. Untuk itu, ucapan terima kasih yang tak terhingga chef ucapkan pada Abg zailan dan Idrus yang menjadi antara tulang belakang bagi rancangan ini.

Baiklah.....untuk ruangan kali ini chef sebenarnya ingin berkongsi dengan anda satu artikel yang chef karangkan sendiri tentang coklat.

Selain itu, chef kongsikan juga resepi mudah yang melibatkan penggunaan coklat.

Yang penting, khasiat yang terkandung di dalam coklat bolehlah dimanfaatkan bersama walaupun terdapat pelbagai kritikan ataupun pandangan negatif tentang pengambilannya.

Untuk itu......teruskan membaca.....

Coklat sememangnya diminati oleh pelbagai peringkat usia terutama sekali kanak-kanak dan tidak boleh dipisahkan daripada jiwa mereka. Keenakan rasa serta kelembutan teksturnya seperti “cair di mulut” menerangkan segalanya yang mana tidak dapat dirungkai melalui kata-kata.

Anak berhenti menangis setelah disogok dengan coklat dan gula-gula manakala hati pasangan kekasih juga ‘dicuri’ menggunakan coklat. Bak kata, mesej melalui pemberian coklat ini mudah difahami maksudnya dan menjadi begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat kini.

Kanak-kanaklah merupakan golongan terbesar yang begitu meminati makanan ini adalah disebabkan rasa manisnya. Kecenderungan ibu bapa memberikan hadiah berupa coklat sebagai penghargaan juga telah menarik minat mereka terhadap coklat dan menjadi suatu tabiat.

Dalam membicarakan tentang coklat, izinkan chef berkongsi dengan anda satu kenangan manis sewaktu menyertai pertandingan inovasi peringkat kebangsaan yang diadakan di KLCC tak lama dulu. Dengan coklatlah, chef telah berjaya memenangi pingat emas.

Idea yang tercetus adalah menggunapakai bahan buangan yang berupa hampas tumbuhan yang sememangnya tinggi khasiatnya dari segi kandungan serat diet dalam menghasilkan produk tersebut.

Coklat sebagai bahan ‘premium’ dari segi kualitinya telah chef gunakan dalam memberi impak agar ianya mudah diterima oleh orang ramai. Gabungan bahan ujikaji dan coklat telah menghasilkan satu produk yang cukup enak dimakan dan sesuai dijadikan sebagai snek tenaga selain baik untuk kesihatan.

Hampas bolehlah dikategorikan sebagai bahan yang tidak bernilai. Pastinya ramai yang akan mengelak daripada memakannya. Namun begitu, penggunaan coklat telah merubah penerimaan orang. Inilah penangan coklat terhadap jiwa manusia yang sememangnya menggemari coklat.

Dalam bidang kulinari, coklat banyak digunakan dalam menghasilkan pencuci mulut atau “desert”, roti dan biskut. Namun, pendapat yang mengaitkan coklat hanya sesuai untuk pencuci mulut saja telah mula berubah.

Pada masa kini, coklat juga telah digunakan dalam hidangan utama yang berasaskan daging dan ini dilakukan dalam mempelbagaikan rasa masakan. Penerimaan terhadap coklat telah memungkinkan ianya digunakan secara meluas dalam apa jua jenis hidangan.

Pelbagai jenis coklat boleh anda perolehi di pasaran dan setiap satunya mempunyai sifat-sifat tertentu. Antaranya ialah coklat gentian, coklat courverture, coklat susu, coklat gelap, coklat putih dan coklat dietatik. Coklat dengan pelbagai perisa dan warna seperti strawberi, pandan, kiwi dan sebagainya juga boleh didapati.

Chef pasti tentunya anda menggemari coklat disebabkan rasanya dan tidak lebih dari itu. Pernahkah anda menggambil coklat disebabkan khasiat yang terkandung di dalamnya? Kita juga biasa mendengar pelbagai pandangan negatif yang dilontarkan gara-gara memakan coklat.

Masalah kesihatan seperti jerawat, kegemukan, hyperaktif, obesiti, karies gigi dan sebagainya biasa kita dengari. Namun begitu, perlu diingat bahan coklat sebenarnya tidak mendatangkan sebarang masalah seperti yang diwar-warkan itu.

Peratusan gula yang diadun bersama coklat dalam memaniskan produk itulah yang telah menyebabkan segala permasalahan daripada berlaku.

Coklat sememangnya kaya dengan pelbagai nutrien yang berfaedah bagi tubuh manusia. Ianya menjadi penyumbang tenaga kepada badan dan turut terlibat dalam pembaikan tisu dan tumbesaran seseorang individu.

Selain itu, kehadiran asid lemak tak tepu berantai panjang (PUFA) dalam lemak koko seperti asid arachidoneik (C20:1) selain asid stearik (18:0) juga didapati berupaya mengawal dan meneutralkan paras kolesterol darah daripada meningkat.

Untuk itu, dalam ruangan kali ini chef ingin berkongsi dengan anda dua lagi resepi yang mudah disediakan yang melibatkan penggunaan coklat.

Cubalah resepi Kek ‘Brownies’ Coklat dan ‘Banana Split’ Bersos Coklat sebagai hidangan yang boleh anda sediakan dalam menceriakan seisi keluarga.
Akhir kata dari chef, kurangkan gula dan makanlah coklat untuk kesihatan.

Wallahuallam....wassalam


‘Banana Split’ Bersos Coklat

Bahan-Bahan
2 sudu besar Ais Krim (pelbagai perasa)
1 biji Pisang (dihiris nipis)
30 gm Kismis
30 gm Kacang Masin (ditumbuk kasar)
20 gm Coklat ‘Rice’ pelbagai warna
1 biji Ceri Maracino
Daun Pudina (untuk hiasan)
Sos Coklat
Payung Mini (untuk hiasan)

Cara Menyediakannya
1. Di dalam sebuah bekas, masukkan ais krim dan pisang yang telah dihiris nipis terlebih dahulu.
2. Taburkan kacang, kismis dan coklat ‘rice’.
3. Tuangkan sos coklat keatas ais krim.
4. Hiaskan ais krim dengan ceri, daun pudina dan paying mini.


Kek ‘Brownies’ Coklat
Bahan-Bahan
150 gm Majerin
2 sudu besar Serbuk Koko
100 gm Gula Perang
2 biji Telur
100 gm Tepung Gandum
50 gm Kacang Walnut (dikisar kasar)

Cara Menyediakannya
1. Campurkan majerin dan gula lalu dipukul agar sebati.
2. Masukkan telur dan pukul ia hingga menjadi kembang.
3. Tuangkan tepung dan serbuk koko lalu dikacau agar bahan menjadi sebati.
4. Akhir sekali gaulkan kacang walnut yang dikisar kasar bersama adunan tadi.
5. Bakar adunan di dalam ketuhar selama 30 minit pada suhu 180°C.
6. Setelah masak, keluarkan adunan, potong dan hidangkan ia mengikut kreativiti masing-masing.

Tips
1. Saiz adunan yang tebal yang hendak dibakar akan memakan masa yang lebih lama berbanding dengan saiz yang nipis.

Sunday, September 11, 2011

Menjelang Spice Route Adabi Musim Ke-4

Assalamualaikum & salam sejahtera semua.

Apa khabar. Rasanya masih belum terlambat untuk chef ucapkan Salam Aidilfitri selain Salam Kemerdekaan.


Alhamdulillah....satu lagi cabaran dalam rancangan ini telah pun disudahkan. Selama seminggu chef berkampung di Taylor University untuk menyudahkan tugasan masakan untuk segmen Dapur 2 minit.

Pada Ahad atau lebih tepat pada pagi Isnin lepas chef telah bertolak ke K.L. Pukul 4.30pagi chef keluar rumah di Penang dan sampai di sana jam 10 pagi. Masa pagi chef gunakan untuk mengelakkan trafik jem yang berlaku di lebuhraya berikutan ramai yang pulang ke kota selepas menyambut hari raya.

Mengantuk chef dibuat kerana terlalu penat memandu. Untuk itu, sebanyak empat kali chef berhenti untuk tidur. Apapun mujurlah chef tak terlelap yang boleh menyebabkan chef terlewat ke lokasi shooting. Kebiasaannya chef mengambil 10 - 15 minit untuk melelapkan mata.

Lokasi shooting kali ini adalah di studio masakan Universiti Taylor. Nak sampai ke sini pun agak memeningkan chef. Beberapa kali chef tersesat mencari lokasi ini. Dahlah gps yang chef bawa pada waktu itu pula buat hal, buat-buat bengong pulak.

Program pada pagi itu, belum lagi masak. Hanya diadakan perbincangan selain menguruskan kelengkapan dapur yang diperlukan untuk esok hari. Selain itu, mujurlah kebanyakan bahan memasak telah pun chef bawa dari rumah chef. Yang belum dibeli hanyalah barangan basah seperti daging, ayam, udang selain sayur-sayuran.

Satu masalah yang chef hadapi ialah tiadanya peti sejuk di hotel tempat chef menginap. Barangan basah yang dibeli pada malam hari seperti daging terpaksalah chef letakkan dalam sinki bilik mandi dan ditutupi dengan ketulan kiub ais yang banyak. Kalau tak, alamatnya busuklah daging tu.

Apapun segalanya dapat diuruskan dengan sebaik mungkin. Bak kata orang lama, segala masalah pasti ada penyelesaian. Selainnya, chef serahkan pada Allah.

Sebenarnya chef turun ke K.L ini untuk menyudahkan satu lagi tugasan yang menjadi sebahagian dari program Spice Route iaitu Segmen Dapur 2 Minit. Sebanyak 11 masakan telah pun chef siapkan untuk 11 episod manakala 2 masakan pula disediakan oleh chef Adabi.

Dalam segmen ini chef cuba menyediakan menu-menu yang mudah disediakan dengan menggunakan produk Adabi. Tak dinafikan, produk Adabi memang berkualiti, bersih selain memudahkan segala proses masakan.

Makanan yang dimasak pula memang menjadi dan rasanya memang "asli" tanpa rasa bahan pengawet. Apa yang chef ketahui, tiada bahan pengawet yang digunakan dalam segala produk Adabi.

Satu lagi yang chef nak kongsikan dengan anda ialah tentang Kicap Adabi. Tak lama lagi kicap dengan pek wajah baru akan berada di pasaran. Menariknya tentang kicap ini ialah tentang penghasilan kicap yang menggunakan RO water iaitu air bersih yang dirawat selain diperkayakan dengan vitamin A & C.
Apa yang chef boleh katakan, produk Adabi memang bermutu dan bersih. Proses R&D yang dijalankan telah menghasilkan produk bermutu selain dapat menepati citarasa orang ramai.

Pemilihan produk yang tepat pastinya menguntungkan diri selain mendapat hasil yang diingini. Keputusan memilih adalah hak anda sendiri. Disebabkan chef telah pun menggunakan produk Adabi, chef syorkan kepada anda agar mencuba produk Adabi dalam apa jua masakan anda. Kalau tak caya, cubalah. Dah cuba, baru tau....haha.

Sebelum chef akhiri catatan buat kali ini, jangan lupa ya untuk saksikan Spice Route Adabi musim ke-4 bermula 7hb Oktober 2011, setiap Jumaat jam 7.30 malam hanya di TV3.

Wallahuallam......