Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Sunday, June 16, 2013

Paha Ayam Bakar

Assalamualaikum......

Apa khabar semua.

Kali ini chef teringin nak sediakan menu berasaskan ayam. Jalan-jalan kat pasaraya semalam, ternampak paha ayam yang masih segar bugar. Apa lagi, chef capai plastik dan masukkan beberapa ketul paha ayam ini. Ayam ini kalau diperap dengan serbuk kunyit dan kari, pastu goreng, tentu sodap....tapi taknaklah selalu sangat makan makanan yang bergoreng.

Ramuan yang sama chef gunakan tapi untuk kali ini nak dibakarlah pula. Chef gunakan ketuhar pembakar. kalau nak dibakar ala-ala BBQ pun boleh. Terpulang pada cara masing-masing.

Chef hidangkan ayam ini dengan sos "Thai Sweet Sour Sauce" atau dipanggil Sos Masam Manis Thai. Sos ini ada persamaan dengan kuah asam pedas tapi tak bolehlah terlalu pedas. Chef ubah rasanya agar rasanya lebih manis dan masam. Tapi jangan pula "tertumpah gula", tak berapa sedap nanti kalau terlalu manis.



Chef letakkan resepinya disini....kalau rasa nak cuba....bolehlah dicuba. Makan panas-panas ya bersama sayuran dan kentang "wedges" goreng. Apapun....Selamat Mencuba!!!!!!.

Bahan-Bahan

Bahan A -Bahan Perapan

Beberapa ketul paha ayam - dibersikan dan dikelar
2 sudu besar serbuk kunyit
1/2 labu bawang putih
5 biji bawang merah
1 inci halia
1 - 2 keping gula Melaka
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa

Bahan B - Sos
4 sudu besar cili giling
1/2 labu bawang putih - dikisar
5 -6 biji bawang merah - dikisar
1 keping belacan - disangai, dikisar
1 kuntum bunga kantan - dibelah dua
4 tangkai daun kesum
2 cawan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Tepung jagung - untuk memekat
Minyak untuk menumis

Cara Menyediakannya

1. Kisar kesemua bahan A dan tuangkan keatas ayam. Perapkan seketika.
2. Selepas itu, bakar paha ayam pada suhu 180C selama 20 - 25 minit atau hingga masak .
3. Untuk sosnya, panaskan kuali/pan lalu ditumis kesemua bahan kisar dan cili giling.
4. Setelah pecah minyak, tuangkan air asam jawa.
5. Masukkan juga bunga kantan dan daun kesum lalu dibiarkan mendidih sebentar.
6. Perasakan dengan garam dan gula.
7. Pekatkan ia dengan tepung jagung.
8. Untuk menghidangkan, tuangkan sos ke atas ayam dan hidangkanlah bersama kentang dan sayuran.

Tips
1. Kalau nak pedas, lebihkan cili gilingnya (ikut citarasa masing-masing).





















Saturday, June 15, 2013

Sotong Tempura Goreng .... sukakannya?

Assalamualaikum....

Kalau sebelum ini, chef kongsikan dengan anda Udang Goreng Berbijan. Haaa untuk kali ini pula cuba yang ini...Sotong Tempura Goreng. Pasti anda menyukainya....cubalah dulu, baru komen menu pembuka selera ini.

Apa itu tempura? Ianya tidak lain tidak bukan sejenis tepung yang biasa digunakan dalam penyediaan makanan bergoreng rakyat Jepun. Tekstur serta rasa tepung setelah digoreng itulah yang menyebabkan ramai orang menyukainya.

Chef sebenarnya memang menyukai rasa tepung ini. Tambah-tambah kalau ianya digunakan untuk menyediakan makanan laut. Pehhhh memang terbaik. Kalau tidak ada tepung ini, buatlah bancuhan tepung sendiri seperti buat cucur tu. Tapi teksturnya pasti sedikit berbeza. Apa yang penting, perasakan ia secukupnya mengikut kehendak lidah masing-masing.

Baiklah....Chef kongsikan resepinya disini. Cubalah...jangan malu-malu ya. Kalau sedap komen disini. Hehe....

Bahan-bahan

3 ekor sotong - dibersihkan, dipotong bulat
1/2 bungkus tepung tempura
1 cawan air + kiub ais
1 sudu kecil serbuk cili paprika
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Lidi buluh - untuk dicucuk
Minyak - untuk mengggoreng

Cara Menyediakannya
1. Sotong diperapkan dengan garam, lada putih dan serbuk cili paprika. Perapkan seketika.
2. Untuk menyediakan bancuhan tepung tempura, masukkan air beserta kiub ais lalu dipukul sebati. Rehatkan ia didalam peti sejuk.
3. Ambil sotong tadi dan cucukkan dengan lidi buluh.
4. Panaskan minyak dan celup sotong ke dalam bancuhan tepung tadi lalu digoreng hingga masak.
5. Hidangkanlah panas-panas bersama sos kegemaran anda.

Tips
1. Untuk mendapatkan tekstur yang baik, bancuhan tepung perlu sentiasa disimpan sejuk sebelum menggunakannya.
2. Pastikan hanya sedikit garam atau serbuk perasa digunakan untuk memerap. Ini kerana tepung tempura dah cukup garam.





Friday, June 14, 2013

Pembuka selera untuk dicuba....

Assalamualaikum.......

Untuk kali ini, chef nak kongsikan dengan anda sejenis resepi pembuka selera yang berasaskan udang. Kepada pengemar makanan laut....ini adalah menu yang patut anda cuba. Ringkas dan agak mudah untuk disediakan.

Bahan yang diperlukan juga taklah banyak...mudah didapati. Elok benarlah salin resepi ini. Manalah tahu,  tiba-tiba cik abang membawa pulang udang. Maklumlah hasil dari memancing udang seharian di laut....takpun ianya dibeli dari pasar berdekatan.

Kebiasaannya udang akan dijadikan sambal. Mungkin juga sekadar digoreng untuk diratah begitu saja. Apa kata, untuk kali ini anda tukar selera. Sediakan udang mengikut cara chef.

Baiklah.....menu ini chef namakan "Udang Goreng Berbijan" dihidangkan bersama Sos Cili Thai.  Kebiasaannya chef akan memakan udang bersama sos cili thai ini. Apapun terpulang pada citarasa masing-masing.

Semoga anda mencuba ya.......

Bahan-Bahan
500 gm Udang Sederhana Besar (dibersihkan)
1/2 paket Tepung Goreng Ayam
3 biji telur - dipukul
sedikit bijan hitam dan putih
Garam dan serbuk lada putih secukupnya
Minyak - untuk menggoreng
Lidi buluh

Cara Menyediakannya
1. Udang diperapkan dengan garam dan serbuk lada putih.
2. Cucukkan udang dengan lidi buluh.
3. Celup udang tadi ke dalam tepung, telur dan ditaburkan sedikit bijan putih dan hitam.
4. Goreng udang hingga kuning keemasan lalu ditoskan minyaknya.
5. Hidangkanlah ia dengan sos cili Thai.

Tips
1. Jangan tabur bijan terlalu banyak, nanti pahit.
2. Bijan juga boleh digantikan dengan serbuk roti.