Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Wednesday, July 21, 2010

Penggayaan Makanan - Antara Cabang Kulinari Yang Semakin Popular

Salam sejahtera kepada anda yang masih setia bersama blog ini. Untuk ruangan kali ini, chef ingin mengalihkan perhatian anda semua dengan menyentuh kepada satu lagi topik yang sememangnya menarik untuk dikongsikan bersama. Apatah lagi ianya semakin diminati selain popular kebelakangan ini.

Mungkin anda pernah mendengarnya ataupun pernah mengalami kesannya tanpa disedari. Anda sebenarnya didorong untuk mencuba sesuatu makanan atau minuman disebabkan kekuatan penampilan gambar makanan yang ditonjolkan di papan menu restoran selain menu di tangan.

Melihat kepada gambar di dalam menu saja, menyebabkan anda terliur. Pastinya nafsu melonjak selain ingin mencubanya. Inilah penangan 'food stylist' kepada jiwa dalam mendorong anda untuk mencubanya selain meningkatkan jualan serta keuntungan restoran.

'Food stylist' atau penggayaan makanan merupakan satu lagi cabang kulinari yang boleh diberi perhatian serius dalam mengembangkan industri makanan selain menyediakan ruang untuk anda menghasilkan pendapatan lumayan.

Memang tidak dapat dinafikan, pelbagai faktor mendorong orang ramai untuk mengunjungi sesuatu premis makanan ataupun membeli sesuatu produk makanan. Namun begitu, impak 'food stylist' terhadap menu ataupun pembungkus makanan tidak boleh diketepikan langsung.

Naluri manusia sememangnya berbeza, walau bagaimanapun pasti mereka akan menyukai sesuatu yang menarik. Gambar yang menarik pasti mendorong sesiapa saja untuk mencuba. Ianya bolehlah diibaratkan sebagai 'umpan' untuk menjerat mangsanya. Kesedapan makanan adalah perkara kedua. Apabila umpan sudah mengena ditambah pula dengan rasa yang sedap, kesetiaan pelanggan akan tercipta.

Minat kepada 'gadget' seperti kamera DSLR selain asas dalam pengendalian komputer perlu ada dalam merealisasikan apa yang dibincangkan. Secara tidak langsung anda menjadi seorang yang begitu kreatif selain berjaya memiliki sebahagian daripada ilmu dan kemahiran yang selalunya ada pada seseorang jurugambar profesional.

Namun begitu, ianya dipelajari bukanlah untuk menukarkan profesion anda dari seorang chef kepada seorang jurugambar. Bolehlah dikatakan ianya lebih kepada ilmu yang boleh anda manfaatkan dalam menghasilkan wang tambahan. Itu pun kalau kena pada gaya dan tempatnya.

Untuk pengetahuan anda, rata-rata chef mempunyai kamera dipoket semasa bekerja. Paling tidak pun kamera digital selain kamera 'hand phone' digunakan untuk mengambil gambar makanan yang dihasilkan untuk dijadikan bahan rujukan.

Perkara sebegini selalu chef lihat semasa bekerja di kebanyakan hotel besar. Selain itu, ianya juga boleh dilihat semasa berlangsungnya sesuatu pertandingan masakan. Kebanyakan chef datang ke situ bukan hanya dengan tangan kosong. Yang pasti kamera akan sentiasa berada dalam genggaman untuk merakam segala detik serta makanan yang menarik perhatiannya.

Kenapa tidak perkara yang biasa dilakukan ini digunakan dalam menambah sumber pendapatan anda. Daripada sekadar suka-suka untuk simpanan, ianya boleh menghasilkan 'duit' sekiranya digunakan pada tempat yang sepatutnya.

Umumnya, bidang ini telah lama dipraktikkan di luar negara namun di negara kita ianya masih lagi dalam proses pengenalan. Tidak ramai yang terlibat secara langsung kecuali 'photographer' yang mengenakan caj yang agak tinggi untuk sesuatu gambar yang dirakam.

Setahu chef, ada 'photographer profesional' mengenakan bayaran sebanyak RM500 hanya untuk satu 'shot' gambar yang ingin diletakkan pada pembungkus makanan. Inilah harga yang diletakkan dan kebanyakan kilang sanggup membayarnya.

Bila berkata tentang bisnes, sememangnya mereka memahami kesan gambar kepada jiwa manusia selain melariskan jualan dalam meningkatkan keuntungan syarikat. Ini yang berlaku dalam industri makanan kita, ditambah pula dengan pelbagai produk baru mula memasuki pasaran.

Pada masa kini, kecenderungan positif dapat dilihat dalam diri kebanyakan chef yang melibatkan diri dalam cabang ini. Penglibatan mereka didapati meningkat dari masa ke semasa dan peningkatan ini adalah kesan langsung dari pengenalan kursus yang berkaitan di kebanyakan universiti. Antara yang terawal yang menawarkan adalah UiTM bagi program Sarjana Mudanya.

Bagi anda yang ingin membuat duit, perkara pertama yang perlu anda ada adalah ilmu dan skil penggayaan makanan. Ianya lebih kepada sentuhan anda pada makanan yang menaikkan seri makanan yang dihidangkan. 'Creative touch' pada sesuatu 'plate presentation' adalah dua elemen yang cukup penting.

Perkara kedua, bersangkut paut dengan minat pada kamera DSLR. Asas pengendalian kamera DSLR dan perisian komputer perlu ada dalam menghasilkan gambar yang berkualiti.

Setelah makanan digayakan, kini tiba masanya untuk ianya dirakam. Teknik fotografi digunakan agar ianya kelihatan begitu menakjubkan selain menarik minat orang yang melihatnya. Ditambah pula dengan kerja-kerja 'post ad' software seperti Adobe Photoshop dalam mengedit gambar agar lebih menarik.

Dah ada ilmu, barulah cuba untuk menghasilkan wang. Berilah servis dengan menghasilkan gambar yang menarik mengikut konsep yang dikehendaki oleh pelanggan anda. Konsep gambar perlu ada sebelum sesuatu gambar diambil.

Tak kiralah apa jua konsep yang diminta, gambar yang dihasilkan mestilah benar-benar 'stylo'. Yang penting, pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja anda.

Peringkat awalan, bolehlah anda cuba untuk memberi servis kepada restoran-restoran baru yang akan dibuka. Restoran lama juga boleh dicuba sekiranya ada yang ingin 'rebranding' perniagaan mereka. Lepas-lepas itu, barulah cuba untuk masuk kilang-kilang terutama yang berstatus 'SME'.

Gambar dibawah adalah lebih kepada 'plate presentation'. Namun ada elemen-elemen 'food stylist' yang diselitkan. Rasanya sesuai untuk restoran yang menjual laksa. Tak gitu...hehe. Gambar langkah demi langkah chef berikan dibawah untuk anda ikuti sebelum sesuatu makanan disiapkan.







Wednesday, July 14, 2010

Selamat Datang

Studio Masakan Chef Hussin mengalu-alukan penyertaan pengikut baru:

1. Adlina
2. Naughty
3. Amohaz

Terima kasih kerana sudi menjadi pengikut blog ini. Saya hargai serta mengalu-alukan sebarang komen serta pandangan anda untuk memantapkan blog ini.

Sunday, July 11, 2010

Kesudian anda amat saya hargai

Rasanya tidak terlambat untuk chef mengalu-alukan kedatangan anda dalam blog ini.
1. Azaj
2. Nur Aqilah
3. Puteri Leia
4. Zalifah
5. Ikmal arif
6. J
7. Awie
8. Nur Zubaidah

Terima kasih kepada semua pengikut blog chef ini. Kesudian anda untuk menjadi pengikut amat saya hargai. Sebarang komen atau cadangan, bolehlah diajukan kepada chef. InsyaAllah, segalanya akan cuba dijawab dalam masa terdekat.

Saturday, July 10, 2010

Part 3 Istana Diraja Brunei - Kenangan Menarik Untuk Dikongsi

Salah satu kenangan yang tidak boleh chef lupakan adalah sewaktu ditugaskan untuk menjaga 'event' yang dihadiri oleh kerabat diraja Brunei terutama yang melibatkan Permaisuri(isteri sultan) selama beberapa malam. Sempat jugalah chef dapat melihat dari dekat Permaisuri serta isteri kedua sultan Brunei, Azrinaz Mazhar Hakim.

Memeriahkan lagi event itu, penyanyi terkenal dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei telah diundang khas untuk mengalunkan suara-suara merdu mereka. Walaupun chef ditugas disitu, bilik khas untuk Permaisuri serta kerabat terdekat tidak boleh chef masuki. Disebabkan ianya bercermin, dapatlah juga chef mengintai dari luar sementara melayan kerabat-kerabat lain.

Seramai 5 ribu orang menghadiri event ini yang mana rata-ratanya adalah untuk orang perempuan. Chef boleh katakan ianya sebagai 'ladies night'. Namun begitu, ada jugalah suami dan anak yang turut serta.

Chef simpulkan event ini sebagai event 'makan-makan' yang diadakan secara buffet di luar bilik bercermin tadi. Sememangnya ia lebih merupakan satu 'banquet hall' yang terbuka selain dikawal ketat oleh polis istana.

Dari apa yang chef dengar, Permaisuri sememangnya meminati nyanyian Nasser Wahab. Apa saja event yang melibatkan istana, pasti kelibat Nasser Wahab turut kelihatan di negara yang sememangnya kaya dengan hasil minyaknya itu.

Apabila nyanyian didendangkan, orang perempuan pun bangun lalu menari seiring dengan alunan muzik yang dialunkan. Permaisuri juga turut terhibur tetapi tidak turut serta dalam tarian. Hanya sekadar menepuk-nepuk tangan ke paha tanda suka.

Pernah sekali chef terserempak dengan Iwan Dangdut. Bagi orang muda tentu tidak mengenalinya. Maklumlah penyanyi ini hanya dikenali pada era 90an dan jarang sekali dapat melihat kelibatnya pada masa kini. Sempat jugalah chef berbual-bual dengannya tetapi perbualan chef dengannya hanya berkisarkan tentang makanan yang chef sajikan pada hari itu.

Tugas chef hanyalah memastikan makanan mencukupi untuk event tersebut dan kesemua makanan itu dihidangkan secara bufet. Penat chef dibuatnya selama mana chef ditugaskan disitu. Maklumlah, bekas makanan licin tak sampai lima minit chef letakkan makanan. Pergi ambil yang baru, tengok bekas makanan yang lama dah kosong. Berulang-kalilah chef terpaksa 'refill' makanan itu. Sampai satu tahap, chef diserbu sewaktu membawa makanan. Belum sempat letak di bufet line, dah kena serbu.

Ada satu ketika, makanan yang disediakan oleh dapur telah disudahkan dalam masa yang begitu singkat. Masa event masih lagi panjang. Terpaksalah chef hubungi dapur utama agar dapat mengeluarkan apa saja makanan yang ada. Terkontang-kantinglah chef di dapur untuk menyiapkan makanan pada saat akhir. Inilah penangan dan boleh dikatakan sebagai kenangan yang chef alami sewaktu tugasan tersebut.

Walaupun penat, namun chef seronok di atas 'appreciation' yang diberikan oleh kebanyakan kerabat yang hadir. Ini mengambarkan mereka seronok dan hargai terhadap apa yang diberikan.

Sememangnya rakyat Brunei menyanjung tinggi segalanya yang melibatkan istana. Tambahan pula dijemput untuk menghadiri upacara yang melibatkan istana. Ini chef dapat lihat semasa perkahwinan Kekanda Putera Mahkota iaitu kakak kepada bakal sultan Brunei kelak.

Perkahwinan ini telah dilangsungkan secara gilang gemilang. Semua jalan-jalan terpampang gambar pengantin selain ucapan-ucapan selamat dari agensi kerajaan dan swasta.

Kalau tak silap chef sebelum sampainya acara kemuncak iaitu persandingan diraja, pelbagai acara lain telah dijalankan selama 7 atau 10 malam. Maka tiap-tiap malam ada saja acara yang berlangsung. Maaf sebab tak ingat malam-malam yang terlibat.

Ada satu gelagat yang chef benar-benar terkejut apabila berlaku di depan mata sewaktu hari kemuncak selepas selesai saja jamuan perkahwinan. Hairan dan terkejut dibuatnya apabila melihat hadirin terutama sekali wanita membawa beg plastik untuk membungkus makanan lebih.

Ada seorang wanita mengeluarkan beg plastik yang diletakkan dalam colinya. Terkejut 'beruk' chef dibuatnya. Yang lebih membingungkan chef, mereka semua ini berpangkat dan mempunyai kedudukan. Bolehlah diibaratkan sebagai datin ataupun puan sri kalau di Malaysia.

Kebinggungan chef terlerai setelah chef mendapat jawapan terhadap apa yang berlaku. Rupa-rupanya makanan yang dibawa dari istana mempunyai 'sentimental value'. Sebab itulah mereka sanggup membungkus dan membawa balik makanan lebihan selain diberikan kepada jiran-jiran. Selain menunjukkan status, ianya lebih kepada rasa bangga kerana dijemput sebagai tetamu Sultan.

Di Brunei jugalah, pertama kali chef melihat kereta Rolls Royce yang dinaiki oleh Presiden Amerika Syarikat, Mr Bill Clinton. Kenderaan ini telah diterbangkan khas dari U.S selain ianya kalis peluru. Satu yang chef tak boleh lupakan adalah panjangnya kereta ini. Percaya atau tidak, panjangnya adalah lebih kurang 8 biji kereta Waja yang dicantumkan.

Kenderaan yang chef naiki untuk ke tempat kerja telah diarahkan ke tepi sewaktu Mr Bill menggunakan jalan yang sama. Apa yang chef nampak, orang-orang Mr Bill yang lebih-lebih. Dengan kasarnya telah mengarahkan kami ke tepi dan turut mengancam dengan mengacukan senjata mereka. Biasalah orang yang dalam ketakutan, macam itulah reaksinya...itu yang terlintas difikiran chef.

Bercerita tentang 'escort' ini, pernah sekali kumpulan chef juga telah diiringi oleh polis peronda Brunei. Ini berlaku sewaktu makanan dihantar ke 'PWTC' brunei sewaktu berlangsungnya APEC 2000.

Sebenarnya, kami beserta makanan dilindungi sebegitu rupa adalah untuk mengelakkan sebarang sabotaj terhadap makanan yang akan dimakan oleh ketua-ketua negara. Maklumlah apa saja boleh berlaku, mungkin makanan diracuni.Kami dikawal ketat untuk mengelakkan sebarang insiden. Unit pengesan bom juga telah melakukan 'random inspection' selain kami turut diperiksa.

Sewaktu di sana, chef telah didatangi oleh pakar makanan khas kepada Medaliene Albright (maaf mungkin salah ejaannya) yang bertindak sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Beliau agak cerewet dalam menentukan apa yang boleh dimakan dan apa yang tidak boleh dimakan oleh Medaliene. Beliau telah mengarahkan agar makanan laut dikeluarkan dari menu yang akan dihidangkan kepada beliau.

Sesungguhnya brunei menyimpan pelbagai kenangan manis. Sebenarnya chef hanya ingin berkongsi dengan anda kenangan menarik sahaja. Kenangan buruk..... biarlah chef saja yang simpan untuk dijadikan sebagai ingatan di kala usia semakin meningkat.

Sampai disini saja untuk kali ini dan semoga berjumpa lagi di post akan datang. Akhir kata, sambutlah salam ikhlas dari chef untuk anda semua.

Monday, July 5, 2010

Satay Ayam Dan Kuah Kacang



Bahan-Bahan
1 kg dada dan isi ayam

Bahan Perap
10 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1 ulas bawang besar
3 batang serai
5 cm halia
1 sudu besar jintan manis (ditumbuk kasar)
1/2 sudu besar jintan putih (ditumbuk kasar)
1/2 sudu besar biji ketumbar (ditumbuk halus)
3 sudu besar serbuk kunyit

Bahan Perasa
2 sudu besar madu
250 gm gula

Cara Menyediakannya
Isi ayam dipotong kiub (jangan dibuang lemaknya)
Campurkan bahan perap dan perasa lalu digaulkan dengan isi ayam.
Perapkan ia semalaman di dalam peti sejuk.
Cucuk isi ayam dengan lidi lalu dibakar garing.
Hidangkanlah ia bersama kuah kacang, timun, bawang serta nasi impit.

Kuah Kacang

Bahan-Bahan
1 kg kacang tanah (disangai)
4 sudu besar cili giling
3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
2 keping asam keping
1 batang serai (diketuk)
Garam dan gula secukup rasa

Cara Menyediakannya

Tumbuk kasar atau halus kacang yang telah disangai.
Rebus sebentar kacang yang telah ditumbuk tadi.
Tumis bawang merah, bawang besar, bawang putih dan cili giling hingga naik baunya.
Masukkan kacang, garam dan gula lalu digaul hingga sebati.
Masukkan asam keping dan serai lalu dimasak hingga sedikit pekat.
Hidangkan ia bersama satay dan nasi impit.

Sunday, July 4, 2010

Pajeri Nenas

Bahan-Bahan
1 biji nenas (dipotong kecil)
3 biji bawang merah (ditumbuk)
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
2 cm halia (ditumbuk)
4 sudu besar udang kering (disangai, ditumbuk)
4 sudu besar serbuk kari daging (dijadikan pes)
50 ml santan kelapa
3 sudu besar kerisik
2 batang kayu manis
3 biji bunga cengkih
3 kuntum bunga lawang
Beberapa helai daun kari
Garam dan gula secukup rasa

Step 1 - Tumbuk bawang merah, bawang putih, halia dan udang kering yang telah disangai
Step 2 - Jangan lupa untuk merebus nenas untuk seketika
Step 3 - Tumis bahan-bahan tumbuk, daun kari serta rempah kering
Step 4 - Masukkan serbuk kari dan tumis hingga pecah minyak
Step 5 - Setelah memasukkan santan, kerisik dan nenas serta diperasakan dengan garam dan gula.....Inilah hasilnya.

Friday, July 2, 2010

Part 2 Istana Diraja Brunei - Kenangan Menarik Untuk Dikongsi

Pertama kali menjejakkan kaki di Brunei terasa bagaikan segala impian telah tercapai. Perjalanan yang memakan masa 2 jam 15 minit terasa begitu singkat. Mungkin disebabkan mata terlalu asyik memandang awan serta laut yang terbentang luas, sesekali memandang kepada paramugari yang sibuk melakukan rutin harian.

Sebaik saja menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Hassanal Bolkiah, Chef dan kawan-kawan telah disambut dengan mesranya oleh staf dari Hyatt Borneo. Kami telah dibawa ke suatu lokasi dengan menaiki bas berhawa dingin.

Chef masih lagi ingat ketika sampai di 'airport', azan Maghrib sedang berkumandang. Menjadi kehairanan kerana jam menunjukkan hampir pukul 6 petang. Pukul 6, keadaan sudah menjadi gelap dengan lampu-lampu terpasang dikiri dan kanan jalan.

Taklimat diadakan selain pas masuk istana diberikan. Wang pendahuluan untuk sara hidup sebanyak 100 Dollar Brunei juga diberikan. Menariknya, chef ditempatkan di hotel selama mana berada di Brunei.

Kini Chef akan memasuki Istana Brunei yang sememangnya sungguh indah untuk diperkatakan. Untuk pengetahuan semua, terdapat beberapa buah istana selain rumah tetamu yang juga berstatus 'istana' yang dimiliki oleh Sultan. Istana paling besar adalah Istana Nurul Iman, diikuti Istana Nurul Izzah dan juga Istana Edinburgh.

Rumah-rumah tetamu pula terletak berhampiran Istana Edinburgh. Semasa Brunei menjadi tuan rumah APEC 2000, rumah tetamu inilah yang telah digunakan oleh pemimpin-pemimpin pelbagai negara. Bukan satu tetapi berpuluh yang ada untuk digunakan.

Chef masih lagi ingat bagaimana kawalan ketat diberikan terhadap rumah tetamu yang didiami oleh PM Rusia iaitu Mr Putin. Habis segala penjuru dinding ditebuknya untuk dipasang kamera litar oleh stafnya. Takut sungguh rupanya Mr Putin ketika berada di Asia Tenggara. Tapi kalau nak cerita pasal takut, takut lagi Mr Bill Clinton yang sentiasa di kawal rapi. Apa yang chef perasan, Dr Mahathir relax je tanpa kawalan yang tidak begitu ketat.

Sultan Pahang antara sultan yang turut mendiami salah satu rumah tetamu ini semasa perkahwinan diraja selain pemimpin dari Malaysia seperti Datuk Seri Rafidah Aziz. Chef juga pernah ternampak Mr Gus Dur yang turut menghuni salah sebuah rumah tetamu itu.

Sultan Pahang pernah memberikan BDollar 500 terhadap salah seorang kawan chef yang ditugaskan untuk menyediakan 'breakfast' sultan. Rezeki terpijak namanya. Bukannya apa, makanan yang disediakan di situ hanya perlu dipanaskan saja. Ini kerana segala makanan telah pun disiapkan di dapur Istana Darul Iman lalu dihantar kesemua istana lain.

Sebenarnya chef ditugaskan di Istana Darul Iman dan bertindak sebagai Chef De Partie. Masa mula-mula dulu, chef hanyalah menyandang 'post' Demi Chef disebabkan masih baru. Maklumlah, orang pun masih tak kenal kita lagi. Tapi alhamdulillah disebabkan 'good repo' yang dibina, maka kepercayaan demi kepercayaan diberikan dengan mengundang chef lagi dan lagi ke Brunei.

Kawalan keselamatan memang ketat semasa memasuki istana sultan. Macam tak percaya yang chef kini berada dalam kawasan istana. Dapur istana tempat chef bekerja pula terletak di level paling bawah di bawah istana. Satu 'level' itu diperuntukan untuk dapur.Bayangkan betapa luasnya dapur selain terdapat 4 'wing' yang berlainan. Wing atau bahagian ini digunakan bagi menjamu rakyat jelata seperti mana sewaktu jamuan hari raya.

100 ribu orang dijamu oleh sultan dalam masa tiga hari bermula hari raya pertama. Manakala persediaan untuk menyediakan kuantiti ini telah berlangsung awal 2 minggu. Bertan-tan ayam, daging, udang kara, rusa dan lain-lain dibawa masuk selain perlu disudahkan 'mise en place'nya sebelum dimasak.

Menariknya, beberapa orang chef istana termasuk chef ditugaskan dalam menyiapkan segala menu yang dikhususkan. Maka terpaksalah melakukan kerahan tenaga dengan mendapatkan bantuan dari 'partimers' yang terdiri dari remaja Brunei yang mengambil jurusan kulinari di maktab / universiti di Brunei.

Satu perkara yang chef tak boleh lupakan, tangga selain loker menjadi tempat chef dan kawan melelap mata akibat kepenatan. Kebiasaannya tanggalah tempat yang mudah diakses dalam melabuhkan badan yang kepenatan, hanya beralaskan kotak kertas yang dibentang luas.

Peralatan dapur di dapur istana memang yang terkini. Sampaikan nak basuh beras pun tak payah pakai tangan, semuanya disudahkan menggunakan 'mesin basuh beras'. Ini nama yang chef berikan untuk mesin tersebut.

Maka berkilo-kilolah nasi dari nasi putih hinggalah nasi briyani dimasak setiap hari dalam masa yang agak singkat. Oven pembakar yang sememang banyak kuantitinya, terasa tidak mencukupi apabila berlangsungnya sesuatu acara besar. Disebabkan itulah sesuatu menu yang perlu dibakar atau di stim, terpaksa dilakukan dari pagi hingga ke malam. Kadang-kadang terpaksa pula berebut oven dengan dapur pastry yang turut menggunakan oven yang sama untuk menyediakan kuih Melayu.

Sudu dan garpu di istana sememangnya disalut emas. Namun awas, setiap satunya mempunyai cip yang tertanam dalam mengelakkan ianya dicuri. Pernah ada seorang chef dari India terpaksa dihantar pulang gara-gara membawa pulang sepasang sudu dan garpu dari istana.

Dengar cerita sudu dan garpu yang diambil itu hendak dijadikan sebagai 'souvenir' untuk dibawa balik ke India. Kesalahan ini telah menyebabkan beliau dihantar balik ke India dalam masa 24 jam. Yang pasti, selain cip yang tersorok, banyak juga kamera litar yang disembunyikan untuk memantau keadaan.

Selain itu, ada satu perkara lucu berlaku semasa ditempatkan di satu kawasan perumahan bertingkat. Kalau tak silap sewaktu berlangsungnya persidangan APEC. Kali ini chef tak duduk di hotel kerana kebanyakan hotel penuh dengan tetamu asing menyebabkan kami ditempatkan di rumah flet yang berhampiran.

Bukan saja chef dan kawan ditempatkan disitu, malah chef dari India yang berketurunan Singh juga turut menetap di situ. Mujurlah chef dan kawan mendapat sebuah rumah yang hanya memuatkan kami sahaja kecuali seorang yang terpaksa menumpang dengan mereka.

Lucunya, singh akan menghamparkan kain serban mereka yang agak panjang itu di ruang tamu setelah ianya dibasuh. Apalagi, berbaulah satu rumah disebabkan bau kain serban yang sememangnya mempunyai pelbagai bau. "Apa dah singh, kain sarban pun mahu kasi cucikah" kata kawanku sambil meminta izin untuk menumpang di rumah chef. Nak tak nak, terpaksalah tidur di ruang tamu. Peristiwa lucu ini sampai sekarang chef masih ingat.

*&6%^$6$##9))(&^%$#&&*Rw%&*9kGtD............

Maaf ya. Tergendala kerana kepenatan dan terpaksa disambung lagi dalam post akan datang.......Jangan marah. Terima kasih di atas kesudian untuk meluangkan masa.

Sup Daging Rusa



Bahan-bahan
500 gm daging rusa (dihiris nipis)
3 ulas bawang putih (diketuk)
1 biji lobak merah (dipotong kiub)
1 biji bawang besar (dibelah empat)
2 biji kentang (dipotong kiub)
1 batang seleri (dipotong kiub)
3 biji cili padi (diketuk)
30 gm daun sup
2 liter air
1 ketul sup bunjut
1 batang kayu manis
40 gm suhun
2 biji limau (diperah jusnya)
Garam secukup rasa

Cara Menyediakannya

Didihkan air lalu dimasukkan daging. Rebus daging dengan api sederhana besar.
Apabila daging sedikit lembut, masukkan bahan-bahan lain.
Masak hingga sayur menjadi lembut.
Perasakan dengan garam serta masukkan jus limau.
Hidangkanlah sup setelah ianya dihias mengikut citarasa masing-masing.

Tips

Daging perlu direbus menggunakan api yang sederhana besar agar dagingnya tidak menjadi liat.