Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Friday, December 2, 2011

Deepfried Tiger Prawn with Garlic Soy Sauce

Assalamualaikum...

Aummmmmmm.....haha macam Harimau Malaya mengaumlah pulak. Maklumlah semangat pasukan bolasepak menang tempoh hari masih dirasai sampai ke hari ini.

Sebenarnya ianya ada kaitan dengan post kali ini. Menu pada kali ini, chef akan menggunakan Udang Harimau...aummmmm. Chef ingin berkongsi satu resepi yang cukup mudah disediakan bagi yang menggemari makanan laut terutama sekali udang harimau ini.

Untuk itu, elok benarlah anda mencuba resepi ini. Kalau dialih bahasa, ianya berbunyi Udang Harimau Goreng Bersos Soya Bawang Putih.
Resepi ini sebenarnya diolah dari resepi masakan Cina. Masa yang diambil untuk menyediakannya juga tak lah lama....boleh settle dalam masa kurang dari 30 minit.

Sebenarnya ini merupakan salah satu menu yang chef ambil dari Chinese set menu yang diajar kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari tempoh hari.

Perkara paling penting, pastikan masakan yang disediakan tidak terlalu masin. Maklumlah, masakan yang disediakan tempoh hari dah termasin sikit. Ada pelajar chef ni kuat makan masin gamaknya.....apapun rasanya memang sedap.

Apa kata tanpa membuang masa chef letakkan resepi masakan ini untuk anda salin...pastu mencubanya.

Bahan-bahan

6-8 ekor udang harimau (dibelah tengahnya)
2-3 sudu besar tepung gandum
1 sudu kecil tepung jagung
1 biji telur
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Minyak untuk menggoreng
6-8 lidi buluh

Bahan B (sosnya)
4-5 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 sudu kecil sos tiram
1 sudu besar kicap lemak manis
Sedikit air/stok ayam
Sedikit bancuhan tepung jagung (untuk memekat)
Minyak untuk menumis

Cara Menyediakannya

Bersihkan udang dan belah memanjang belakangnya.
Taburkan bahan seperti tepung, telur, garam dan serbuk lada putih ke atas udang lalu digaul sebati.
Cucukkan lidi dari ekor hingga ke kepala udang lalu digoreng garing kuning keemasan. Keluarkan lidi setelah digoreng dan ketepikannya.
Untuk membuat sosnya, tumis bawang putih dan masukkan sos tiram bersama kicap.
Masukkan sedikit air lalu dididihkan sebentar.
Pekatkan sos dengan bancuhan tepung jagung sekiranya ia tidak pekat.
Tuangkan sos ke atas udang tadi lalu dihidangkan panas-panas.

Tips

Lidi dicucuk untuk memastikan udang berada dalam keadaan lurus.
Sedikit minyak bijan boleh dimasukkan sekiranya anda meminati rasanya.