Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Saturday, October 27, 2012

Apa resepi hari ini......

Selamat hari raya aidil adha. Semoga kita mendapat keberkatan dari apa yang kita korbankan selama ini demi agama suci kita, Islam.

Apabila berkata tentang hari istimewa ini, chef sebenarnya ingin kongsikan resepi yang telah chef sediakan untuk kenduri kesyukuran dalam merai ibu, kak ipar dan abang tersayang yang akan berangkat ke tanah suci. Alhamdulillah majlis yang pada mula tidak dirancang disebabkan sibuk dengan tugas seharian, akhirnya dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin.

Mungkin itulah namamya "takdir", keinginan ibu dalam mendapat ketenteraman hati sebelum menjadi tetamu Allah.....akhirnya termakbul. Maklumlah ini kali pertama ibu akan ke Mekah dan mungkin kali terakhir juga. Hasil titik peluh ibu menyimpan duit hasil dari menoreh suatu masa dulu, akhirnya digunakan untuk menghadap Ilahi.

Keinginan hati ibu tiada siapa yang mengerti. Walaupun ibu tak luahkan namun sebagai anak chef dapat merasainya. Orang lain meraikan keberangkatan ibu dan bapa dengan mengadakan kenduri kesyukuran sebagai azimat agar hati tenteram menghadapi pelbagai ujian disana nanti.

Untuk itu, chef telah meminta ibu untuk menjemput kenalan ibu serta jiran-jiran. Nak dibuat cerita, memang ramai yang datang pada malam tu. Makanan yang dimasak pun dalam 70 orang. Mujurlah makanan terutama nasi yang dimasak, cukup cukup mengikut bilangan orang yang datang. Mungkin "berkat" namanya tu. Tiada pembaziran langsung.

Chef dan isteri telah menyediakan masakan ringkas.....ayam masak kicap, gulai udang dan kentang, pulut kuning bersama kari ayam, tumisan ikan masin bercili, tumisan sayur kobis, sambal belacan dan nasi putih je.

Apa lagi pada pagi tu terpaksalah turun pasar untuk membeli barang-barang yang dikehendaki untuk dibuat persediaan. Selepas asar, barulah proses menggoreng dan memasak dilakukan. Walaupun dapur kecil je iaitu dapur 2 penunu digunakan, masakan dapat disudahkan sebelum maghrib.

Apa yang chef perhati, ibu berasa sungguh gembira dan bersyukur segalanya selesai dengan baik. Walaupun majlis tidak dihadiri oleh adik-adik disebabkan sibuk dengan tugas hakiki, namun kehadiran abang sedikit sebanyak memeriahkan lagi majlis. Maklumlah majlis ini dibuat untuk merai mereka juga.

Apapun, sekarang ibu dan abang sedang mengerjakan haji di tanah suci Mekah. Mereka telah pun dipilih menjadi tetamu Allah. Kita bila lagi....usaha haruslah dimulakan dari sekarang selain doa perlulah dipanjatkan selalu agar kita dipilih sama. Paling penting, pasang niat sungguh-sungguh.

Untuk kali ini, chef kongsikan resepi ayam masak kicap versi chef yang boleh anda cuba. Salah dan silap harap diampun. Selamat Hari Raya Aidil Adha.

Bahan-bahan
5 ekor ayam - dibersihkan dan diperapkan dengan garam dan kunyit
4 biji Bawang putih - dihiris halus
10 biji Bawang merah - dihiris halus
5 biji Bawang Bombay - dipotong bulat
4 batang Halia -dihiris halus
2 genggam Cili kering - dikisar
10 biji Cili Hijau - dipotong dua
10 biji Cili Merah - dipotong dua
5 batang Kulit Kayu Manis
10 biji Bunga Lawang
10 biji Buah Pelaga
6 - 7 biji tomato (dibelah 4)
1 botol Kicap Lemak Manis (botol besar jenama Adabi/Kipas Udang)
1 botl Sos Tiram (botol kecil)

Cara Menyediakannya
1. Ayam digoreng separuh masak dan ketepikannya.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah, cili kering, halia, kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan bawang bombay sehingga layu.
3. Masukkan sos tiram dan kicap lalu dimasukkan ayam.
4. Masukkan tomato, cili merah dan cili hijau lalu ditutup api.
5. Hidangkan ia selepas ditaburkan dengan sedikit bawang goreng dan daun ketumbar/daun bawang.

Tips
1. Kalau nak pedas, masukkan hirisan cili padi.

SELAMAT MENCUBA............................................