Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Tuesday, August 24, 2010

Makan Apa Bagi Bersahur?

Salam sejahtera kepada semua pembaca.

Sedar tidak sedar, sudah dua minggu umat Islam berpuasa. Bagaimanakah ibadat puasa anda setakat ini?

Syukur alhamdulillah, anda dapat melaluinya dengan penuh kesabaran walaupun pelbagai dugaan datang tanpa disedari.

Untuk tulisan kali ini, chef masih lagi ingin membicarakan tentang makan. Siapa yang tidak suka makan?

Bagi diri chef, ‘makan’ merupakan satu perkara atau perbuatan yang sungguh menyeronokkan. Mana tidaknya, apabila perut kenyang pasti kita suka hati.

Chef biasanya akan ‘jalan-jalan cari makan’ dan banyak tempat baru chef kunjungi untuk merasai nikmat makan ini. Ianya sungguh mengasyikkan selain dapat merasai suasana persekitaran semasa menjamu selera.

Seperti yang kita sedia maklum, makan merupakan satu perbuatan yang biasa kita lakukan untuk memenuhi kehendak tubuh dalam melangsungkan hidup ini. Selagi kita hidup selagi itulah perbuatan ini dilakukan. Maka tidak hairanlah ada sesetengah bijak pandai mengatakan “kita adalah daripada apa yang kita makan”.

Apabila memperkatakan tentang makan, ia merupakan satu perkara yang cukup ‘subjektif’ untuk difahami. Ditambah pula kalau ianya melibatkan kehendak dan citarasa orang ramai.

Sesungguhnya makan adalah keperluan namun kehendak seseorang terhadap makan adalah berbeza sama sekali.

Setiap orang ada citarasa masing-masing dan kehendak mereka juga berlainan dengan yang lain. Ditambah pula dengan pelbagai faktor seperti umur, jantina, bangsa, pendapatan, tahap kesihatan dan lain-lain yang membezakan keinginan seseorang itu.

Disebabkan itu kita dapat lihat pada hari ini wujudnya kepelbagaian dalam makanan dalam memenuhi citarasa dan kehendak setiap individu.

Ada orang suka memakan makanan yang pedas. Bagi dirinya, makanan pedas adalah sedap. Kebiasaannya orang seperti ini suka memakan cili padi secara mentah dalam kuantiti yang banyak seperti amalan memakan ‘ulam’.

Samalah juga bagi orang yang suka memakan makanan yang masam, masin dan manis. Masing-masing mempunyai ‘definasi’ kesedapannya tersendiri.

Untuk itu, eloklah juga rasanya kalau kita dapat membicarakan tentang apa untuk dimakan. Lebih-lebih lagi ketika bersahur.

Bersahur merupakan salah satu amalan yang diamalkan oleh Rasullullah s.a.w setelah wahyu diturunkan dalam membezakan amalan puasa orang Islam dengan amalan puasa golongan ahli kitab iaitu orang-orang Yahudi Nasrani.

Sesungguhnya amalan bersahur mempunyai keistimewaannya tersendiri dan saling berkait rapat dengan amalan puasa kita. Kita disarankan agar melaksanakan amalan ini walaupun hanya dengan seteguk air untuk memperolehi keberkatannya.

Dengan bersahur, tubuh akan mendapat tenaga yang diperlukan dalam menempuhi puasa di siang hari. Diri tidak mudah penat selain terasa lapar di pertengahan jalan sebelum azan Maghrib berkumandang.

Kalau tentang makan semasa berbuka, pastinya ramai di antara kita tidak menghadapi masalah dalam memikirkan makanan apa yang ingin dimakan. Maklumlah banyak gerai-gerai makanan dibuka di pasar Ramadan yang dapat memenuhi citarasa anda semasa berbuka.

Bagi ibu-ibu yang suka memasak, mereka juga mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakannya makanan yang diingini untuk berbuka.

Namun begitu, apabila berkata tentang bersahur pastinya ramai di antara anda ‘buntu’ dalam memikirkan makanan yang ingin disediakan untuk dimakan. Maka tidak hairanlah, lebihan makanan semasa berbuka akan disimpan, dipanaskan dan dimakan semasa bersahur.

Pada waktu ini jugalah, ada di antara kita terasa ‘berat’ untuk bangun dari tidur selain perut masih tidak selesa untuk menerima makanan ‘baru’ disebabkan kekenyangan.

Faktor bangun dari tidur selain ‘masa yang singkat’ juga menyebabkan ibu-ibu tidak sempat berbuat apa-apa, hanya cukup untuk memanaskan lauk yang ada.

Eloklah kiranya chef berkongsi tips masakan sekiranya anda ingin menyediakan makanan untuk bersahur. Makanan ‘segar’ yang anda sediakan pasti akan merangsang ‘mood’ selain nafsu makan ahli keluarga anda.

Sebenarnya memasak itu mudah tapi ada syaratnya. Nak tahu apa syaratnya? ‘Mise-en place’ perlu disiapkan dulu. Inilah rahsia kepada cepatnya sesuatu hidangan dapat disediakan. Maka tidak hairanlah, kebanyakan chef dapat menyediakan pelbagai hidangan serentak dalam masa yang ditetapkan.

‘Mise-en place’ atau penyediaan sebelum memasak seperti memotong, menghiris, mengupas, memerap, mengisar perlu disiapkan awal dan disimpan untuk proses seterusnya. Setelah bahan-bahannya tersedia, barulah masakan ‘segar’ dapat dihasilkan pada waktu yang dikehendaki.

Kuantiti hidangan yang hendak disediakan juga perlu dititikberatkan agar masa memasak dapat disingkatkan selain mengelakkan pembaziran.

Kepada anda, cubalah sediakan menu yang mudah yang hanya melibatkan proses menumis dan menggoreng sahaja. Saranan chef, cukuplah setakat menyediakan satu atau dua hidangan utama yang terdiri daripada daging selain menu sayuran dan sup.

Contoh menu yang boleh dicuba adalah seperti ayam masak kunyit, ayam padprik, sambal udang dan petai, daging masak hijau, ayam goreng berempah, sayur campur dan sebagainya. Apa yang chef boleh katakan, masa yang diambil hanya kurang dari 15 minit.

Hidangan sup seperti sup ayam, sup sayuran, tomyam putih, tomyam merah, pindang dan sebagainya juga boleh anda cuba. Ini kerana masa untuk menyediakannya juga singkat dan hanya melibatkan proses mendidih sahaja.

Menu bubur nasi juga sesuai disediakan sebagai menu alternatif ketika bersahur kerana ianya lebih mudah dihadam selain menyumbang peratusan air yang banyak untuk badan.

Bahan atau ‘filling’ untuk sup nasi boleh dipelbagaikan mengikut citarasa masing-masing dengan memasukkan ikan bilis goreng, isi ayam, hirisan daging, isi ikan, bebola sotong dan sebagainya.

Selain itu, cubalah menyediakan menu ‘goreng-gorengan’ seperti mi goreng, bihun goreng, keow teow goreng, soo hoon goreng, nasi goreng dan sebagainya yang mana ianya lebih mudah disediakan.

Kalau inginkan sesuatu yang cukup ringan, cubalah ‘sandwich’ yang boleh disiapkan lebih awal dan disejukkan di dalam peti sejuk. Sandwich tuna, sardin, telur mayonis, keju adalah di antara sandwich yang boleh dicuba.

Produk sejuk beku seperti samosa, popiah, ‘drumet’ ayam, roti canai dan sebagainya juga boleh disediakan sebagai juadah tambahan kepada juadah yang sedia ada.

Apa saja juadah yang ingin anda sediakan, kesederhanaan dalam penyediaaan perlu diamalkan untuk mengelakkan sebarang pembaziran.

Menu yang diberikan ini hanya sebahagian daripada beratus menu yang boleh anda cuba. Yang penting, perancangan menu perlu ada selain kena pada citarasa anda dan ahli keluarga.

Selamat bersahur dan jumpa lagi.

Chef Hussin

Saturday, August 7, 2010

Ramadan Kembali Lagi

Pejam celik pejam celik....Ramadan yang telah lama berlalu meninggalkan kita, kini kembali semula untuk dihayati. Kesyukuran yang tak terhingga dilafazkan kerana usia dipanjangkan untuk merasai nikmatnya lagi.

Bulan yang penuh keberkatan dan keampunan menjelma buat yang ingin memanfaatkannya. Sesungguhnya terlalu banyak nikmat yang disediakan olehNya demi kesejahteraan hambaNya sebagai bekalan hari kelak.

Dengar saja nak berpuasa, pasti ada yang mengeluh. Mana tidaknya, untuk sebulan perut terpaksa diikat menahan lapar dan dahaga. Air kosong yang jarang diminum pun, terasa amat 'sedap' ketika berpuasa. Puasa dianggap menyusahkan bagi sesetengah golongan yang mempunyai iman yang lemah.

Untuk 'post' kali ini, chef bukannya ingin membincangkan siapa yang tidak berpuasa dan siapa yang berpuasa. Apa yang chef boleh katakan, berpuasa di bulan Ramadan adalah perkara wajib yang telah ditentukan oleh Allah untuk hambaNya yang bergelar Muslim. Siapa yang buat dia dapat manfaatnya, selain pahala yang tak terhingga banyaknya. Tiang agama juga dapat ditegakkan.

Chef sebagai seorang yang akan menyambutnya pasti menunggunya dengan penuh kesabaran selain gembira dapat menempuhinya. Inilah dikatakan hari raya bagi orang Islam. Raya dalam raya....tak gitu!!. Mana tidaknya, selepas sebulan berpuasa kita akan menyambut Hari Raya pula.

Emmm!!! Bagaimana pula dengan persiapan kita dalam menyambut bulan yang mulia ini. Seelok-eloknya segala persiapan hendaklah dirancang awal agar perjalanan puasa kita berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Keperluan dapur seperti beras, bawang, gula, garam, teh, kopi dan sebagainya perlulah dibeli awal.

Maklumlah berpuasa katakan....bermacam-macam dugaan perlu ditempuhi. Dugaan menahan diri daripada makan, minum selain mata juga perlu dijaga agar pahala puasa tidak berkurangan.

Kena pula 'time itu' barang-barang keperluan dapur habis gara-gara tidak dirancang dengan teliti. Nak tak nak, terpaksalah pergi 'shopping' di siang hari. Waktu malam tidak boleh diusik kerana dikhaskan untuk beribadat.

Faham-faham sajalah waktu itu!! yang pasti pelbagai alasan akan diberikan. Badan terasa penatlah ...itulah, inilah. Mata juga terpaksa dijaga dengan pandangan ditundukkan daripada melihat 'amoi-amoi' seksi yang menjadi jurujual sesebuah pasaraya itu. Kalau tak, pasti 'lebuh' segala pahala untuk hari itu.

Amalan menyediakan keperluan ini pada kebiasaannya diamalkan oleh keluarga yang mempunyai ahli yang ramai. Mereka lebih suka menyediakan makanan sendiri dan jarang sekali membeli makanan dari luar. Kalau ada pun setakat membeli kuih muih sebagai tambahan kepada juadah yang sedia ada.

Bagi diri chef, ini lebih menjimatkan selain kualiti dari segi kebersihan makanan dapat dipelihara. Tambahan pula harga barang yang tidak menentu diluar sana sedikit sebanyak pasti mendorong kepada kenaikan harga makanan dan minuman yang dijual.

Berlainan pula bagi sesetengah golongan yang lain. Bulan puasalah bulan di mana keperluan rumah dapat dikurangkan. Maklumlah, makanan dan minuman tidak perlu disediakan. Semua yang dikehendaki, hanya dibeli dari pasar-pasar Ramadan yang sememangnya menyediakan pelbagai pilihan untuk dicuba.

Pada kebiasaannya golongan yang bekerja selain mempunyai seorang dua anak ini, lebih suka membeli makanan dan minuman dari luar. Ini lebih menjimatkan selain tidak perlu risau tentang persiapannya. Hanya sesekali pada hujung minggu, dapur akan berasap dalam menyediakan makanan yang diingini.

Bagi golongan yang memegang status 'bujang', tidak perlulah chef ceritakan dengan panjang lebar. Kalau tak beli nasi bungkus pun, selalunya restoran atau warunglah yang akan menjadi destinasi pilihan untuk mereka berbuka puasa.

Maka tidak hairanlah, restoran-restoran sentiasa penuh sesak walaupun dibulan Ramadan. Yang pasti, senyuman tauke-tauke restoran semakin lebar gara-gara kehadiran pengunjung yang ramai dalam memeriahkan lagi suasana restoran.

Bercerita tentang kemeriahan, 'tak sah' kalau tiada buah kurma disediakan sebagai juadah berbuka. Maka tidak hairanlah, pelbagai iklan buah kurma ditayangkan dalam memeriahkan lagi bulan puasa. Antara yang 'famous' ialah Yusof Taiyoob. Saban hari iklan itu kelihatan bersiaran dan semakin rancak dari hari ke hari menjelang tibanya bulan berkat ini.

Di merata tempat boleh dilihat kurma dijual dengan banyaknya dalam menghidupkan suasana Ramadan. Bagi chef, kurma perkara yang wajib untuk diambil semasa berbuka. Kalau tidak ada kurma, seakan-akan ada benda yang tidak 'complete'. Chef mengambilnya kerana keberkatan selain khasiatnya.

Ada sekali ketika chef berjalan-jalan di salah sebuah pasar raya di Seberang Jaya, pandangan chef terarah kepada satu replika patung yang sememangnya menarik minat chef untuk mendekatinya.

"Besarnya patung unta ini" kata chef dalam hati selain kagum dengan promosi yang dijalankan oleh pasaraya tersebut. Patung unta diletakkan sebagai 'centerpiece' untuk memikat hati muslimin dan muslimat agar membeli buah kurma yang ditawarkan.

Bahang kehangatan bulan puasa begitu terasa gara-gara suasana yang ditimbulkan. Bahang Aidilfitri juga turut diselitkan pada ketika itu walaupun bulan puasa masih jauh untuk ditempuhi.

Apa yang pasti, keseronokan berpuasa dihangatkan lagi dengan pelbagai juadah yang disediakan di kebanyakan pasar Ramadan. Selain menjadi sumber rezeki bagi peniaga, ianya juga memberi pelbagai pilihan untuk orang ramai mencubanya.

Menu-menu seperti nasi lemak ayam berempah, nasi tomato, ikan bakar, apam balik, laksa, ayam percik, susu soya pasti menjadi pilihan dan menghiasi kebanyakan gerai jualan. Selain daripada itu, makanan yang jarang ditemui juga boleh diperolehi di bulan ini.

Walauapapun yang anda lakukan, chef menyarankan agar nur Ramadan dipelihara. Kesederhanaan dalam berbelanja iaitu dalam soal menjamu selera perlu ada batasannya agar tidak lari dari objektif kita berpuasa. Kalau perut terlalu kenyang, pasti ianya akan mengundang masalah tatkala hendak mendirikan solat terawih.

Pada kebiasaannya, chef hanya berbuka puasa dengan buah kurma selain disulam dengan beberapa jenis kuih muih seperti kuih karipap, kuih lapis dan disudahi dengan air soya.

Ini dilakukan dalam mengurangkan tekanan pada perut. Perut yang turut 'berpuasa' sepanjang hari, tidak boleh dibebankan dengan makanan yang banyak. Pasti bebanan serta tekanan yang diberikan mendatangkan masalah pada perut. Maka tidak hairanlah kalau perut sakit dan memulas-mulas ketika solat terawih didirikan.

Seperkara lagi yang ingin chef sentuh di sini adalah tentang kemeriahan 'moreh' yang diadakan di masjid atau surau. Kalau di kampung, suasananya lebih meriah berbanding di bandar.

Semasa chef masih kecil, chef lebih suka berbuka puasa di surau kampung. Maklumlah pelbagai hidangan lauk pauk dapat dirasa dan ianya tidak terhenti di situ saja. Selesai saja solat terawih ada pula makanan lain yang akan dijamu. Kembung perut dibuatnya dengan rezeki yang melimpah ruah ini.

Proses penggiliran dalam penyediaan makanan iaitu secara sukarela diamalkan oleh ahli kariah kampung dan dibantu oleh ahli kariah taman yang berjiranan. Yang pasti menu berlainan dihidangkan.

Apapun menu yang dihidangkan, menu seperti ayam masak merah, sambal tumis ikan bilis, pajeri nenas, sambal belacan, ikan masin, ikan pekasam selain jelatah menjadi pilihan chef. Terliur chef dibuatnya apabila teringatkan makanan ini.

Kemeriahan yang chef rasai semasa kecil, dilihat semakin hari semakin menghilang gara-gara kesibukan manusia dengan urusan dunia semata-mata. Kemeriahan ini dapat dikembalikan sekiranya setiap orang daripada kita dapat meluangkan masa untuk memasyurkan rumah Allah selain terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan.

Amalan gotong royong yang diamalkan sebelum bermulanya sesuatu Ramadan adalah antara contoh terbaik yang diamalkan dari dulu lagi dalam memperaratkan silaturahim antara ahli kariah.

Sesuatu yang bermula pasti akan berakhir. Kedatangannya membawa rahmat bagi yang ingin memanfaatkan. Rugilah kalau kesempatan yang terluang ini tidak digunakan sebaik mungkin.

Akhir kata, sambutlah Ramadan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan.

Selamat Berpuasa.

Chef Hussin

Tuesday, August 3, 2010

Semangat PTS Tambat Hati Chef Hussin

Kepada yang ingin ikuti tajuk di atas, janganlah segan silu melayari portal www.pts.com.my

Direct link:
http://pts.com.my/index.php/berita/semangat-pts-tambat-hati-chef-hussin/

Membangun Bersama PTS Dalam Menghasilkan Buku-buku Masakan

Salam sejahtera kepada anda semua.

Bersua kembali setelah lama chef menghilangkan diri tanpa sebarang berita (post) yang dapat dihasilkan untuk paparan anda semua. Alhamdulillah, selesai sudah sebuah lagi buku masakan PTS.

Walaupun terpaksa bergelumangan dengan segala kepayahan selain diri terasa begitu penat, akhirnya terlaksana juga impian chef untuk menyiapkan buku masakan yang memuatkan 47 resepi ini.

Menghasilkan buku-buku masakan PTS memang agak mencabar. Tak macam buku-buku masakan lain. Maklumlah setiap resepi perlu dimuatkan gambar 'step by step' ataupun langkah demi langkah proses memasak. Disebabkan itulah proses menyiapkan sesuatu resepi memakan masa yang agak lama selain mencabar emosi dan fizikal.

Namun disebalik segala kepayahan itu ada hikmahnya. Kebaikannya adalah kepada pembaca. Ini kerana PTS memang menekankan kualiti agar pembaca tidak tertipu. Segala langkah yang diberikan adalah sebagai panduan bagi yang baru 'terjun' ke dunia masakan ataupun yang telah lama berkecimpung dalam dunia glamor ini.

Yang pasti, pembaca boleh menghasilkan masakan sama seperti di dalam gambar sekiranya mengikuti segala langkah selain tips yang diberikan dalam sesuatu buku masakan PTS itu.

Yang penting, pembaca perlulah pandai 'bermain' dengan garam dan gula di penghujung proses masakan untuk menghasilkan masakan yang 'sedap'. Apabila berkata tentang kesedapan sesuatu masakan, ianya adalah subjektif.

Mana tidaknya, makanan pedas dikatakan sedap bagi orang yang gemar makan pedas. Begitu juga, makanan yang masin, masam dan manis. Namun begitu, keperluan garam dan gula yang hendak dimasukkan mestilah berdasarkan keperluan atau kehendak masing-masing.

Masalah masakan tidak menjadi pasti tidak akan timbul sekiranya anda membeli buku-buku PTS. Ini kerana setiap langkah yang diberikan pasti akan membantu anda selain ianya mudah diikuti. Tak percaya....cubalah.