Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Tuesday, November 15, 2011

Ikan Kerapu Goreng Masam Manis

Untuk kali ini, chef ingin berkongsi masakan yang cukup mudah untuk disediakan oleh anda. Resepi Ikan Kerapu Goreng Masam Manis ini boleh anda cuba pada bila-bila masa. Bahan utamanya ialah Ikan Kerapu.

Kalau tiada Ikan Kerapu, hidangan ini masih boleh anda sediakan dengan menggunakan ikan lain ataupun sebarang jenis makanan laut seperti udang, sotong, ketam, lala dan sebagainya.

Yang penting penyediaan sosnya kerana ini yang akan menentukan kesedapan masakan. Apa yang boleh anda lakukan ialah goreng dahulu ikan dan seterusnya tuangkan sos keatasnya. Cara ini nampak lebih mudah bagi chef. Resepinya boleh anda rujuk dibawah post ini.

Sebenarnya menu ini telah chef sediakan untuk kelas masakan. Tema bagi minggu tersebut adalah menu masakan cina. Maka chef telah menyediakan menu seperti popia sayuran goreng, egg drop & corn kernel soup, kungpao chicken with cashewnut, deep-fried king prawn with garlic soy sauce, braised ginger beef, deep-fried garoupa with sweet sour sauce (menu ini), Chinese fried rice dan mixed vegetables.

Nak dibuat cerita, ikan kerapu yang chef terima agak besar hampir 3kg seekor. Pada mulanya chef ingin belah ikan itu ditengah menggunakan teknik "butterfly cut". Maksudkannya kepala dan ekor tidak dipisahkan dari badan dan seterusnya dicelup kedalam tepung lalu digoreng garing.

Disebabkan saiznya agak besar, terpaksalah chef pisahkan kepala dan ekor dan digoreng asing dengan isinya. Hasilnya....bolehlah anda lihat pada gambar yang chef sertakan ini.

Untuk itu, bolehlah anda mencubanya. Inilah resepinya.....

Bahan A

1 ekor ikan kerapu (potong mengikut kesesuaian anda)
1 paket tepung goreng ayam (nak jimat....buat bancuhan tepung sendiri)
1 biji telur
Garam secukup rasa

Bahan B (Sosnya)

4 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 biji bawang besar (dipotong kiub)
1/2 biji lada benggala (dipotong kiub)
8 kiub nenas (dalam tin)
2 sudu makan sos tomato
5 sudu makan sos cili
Sedikit jus buah-buahan (nenas, oren - optional)
1 sudu makan tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)
Garam, serbuk lada putih dan gula secukup rasa

Cara menyediakannya

1. Sediakan bancuhan tepung dengan mencampurkan kesemua bahan A lalu dipukul sebati.
2. Panaskan minyak, celupkan ikan dan goreng ikan kerapu hingga kuning keemasan.
3. Untuk menyediakan sosnya, tumis sebentar bawang putih beserta bawang besar.
4. Masukkan lada benggala, nenas serta sos cili dan tomato.
5. Masukkan juga jus buah jika ada.
6. Biarkan kuah sedikit mendidih lalu dimasukkan bancuhan tepung jagung lalu dikacau sebati.
7. Perasakan secukupnya dengan garam, serbuk lada putih dan gula.
8. Untuk menghidangkannya, tuangkan sos keatas ikan yang telah digoreng tadi.
9. Hias dan hidangkannya.

Selamat mencuba.......

1 comment: