Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Saturday, October 2, 2010

Kemeriahan Aidilfitri Masih Terasa

Kemeriahan sambutan aidilfitri masih lagi terasa walaupun telah dua minggu lebih kemuncaknya berlalu. Tidak meriah sekiranya tiada majlis rumah terbuka diadakan. Amalan kunjung mengunjungi yang diamalkan sekian lama ini pastinya memperkukuhkan lagi tali persaudaraan sesama saudara serta sahabat handai.

Rasanya tidak terlambat kalau chef mengucapkan “Salam Aidilfitri” buat semua. Chef pasti, anda masih lagi dalam  suasana raya walaupun sibuk dengan kerja harian. Maklumlah raya disambut sebulan lamanya. Maka tidak hairanlah sampai ke saat akhir, amalan rumah terbuka aidilfitri ini boleh dilihat diadakan di merata tempat dan dikunjungi oleh pelbagai lapisan bangsa.

Kanak-kanaklah golongan yang paling seronok bila tibanya waktu raya. Mana tidaknya, poket yang kosong sebelum ini berisi dengan pelbagai ‘not’ kertas biru dan merah. Jika diimbau masa kecil dulu, tiada satu rumah dikampung tidak chef kunjungi. Semuanya chef redah, gara-gara untuk mendapatkan ‘habuan’ raya ini.

Dalam mengadakan rumah terbuka, eloklah kiranya kita melihat kepada beberapa perkara penting yang boleh dijadikan sebagai panduan atau pun ‘tips’. Ini penting dalam mengelakkan sebarang pembaziran serta tidak tersasar daripada perancangan asal anda.

Kemampuan atau ‘budget’ anda dalam melaksanakannya boleh menjadi penentu kepada kemeriahannya.  Maklumlah harga barangan keperluan seperti daging, ayam, kelapa, gula dan lain-lain pada masa kini tidak menentu selain melambung apabila tibanya sesuatu musim perayaan.

Tetapkan sasaran awal pengunjung beserta ahli keluarga mereka yang akan mengunjungi rumah anda dalam bentuk senarai atau ‘list’ agar tidak anda terlupa. Ianya sama seperti apa yang anda lakukan sekiranya merancang mengadakan sesuatu perkahwinan.

Rancanglah menu yang ingin disediakan berdasarkan kemampuan anda. Sekiranya anda mengambilkira faktor masa selain kesenangan, mendapatkan perkhidmatan katering adalah jalan penyelesaian.  

Menu yang berkonsepkan hidangan Melayu haruslah dipilih untuk menimbulkan ‘mood’ raya. Lemang, ketupat, nasi impit dan rendang merupakan menu wajib yang perlu disediakan. Hidangan mi goreng, lontong dan nasi seperti nasi tomato serta lauknya juga boleh disediakan dalam mempelbagaikan hidangan. Hidangan satay, abc dan cendol juga boleh difikirkan sekiranya anda mempunyai ‘budget’ yang lebih.

Sekiranya berlaku sesuatu perkara di luar jangkaan seperti kekurangan makanan, menu ekspres bolehlah disediakan dalam menyelamatkan keadaan. Bihun goreng, drumet, samosa, popiah goreng selain keropok lekor antara makanan ekspres pilihan yang boleh anda sediakan. 

Makanan ekspres ini sebenarnya tidak terhad kepada makanan yang chef sebutkan tadi. Terdapat pelbagai jenis makanan yang boleh anda fikirkan tetapi yang pasti makanan itu mestilah mudah dan cepat disediakan.

Seperkara lagi, kehendak golongan kanak-kanak juga tidak boleh diabaikan begitu saja. Ini kerana penyertaan mereka memeriahkan lagi suasana rumah terbuka. Makanan seperti drumet, nuget, sosej, jejari ikan selain manisan pastinya menjadi pilihan anak anda. Biskut dan bubur juga boleh disediakan. 

Pada kebiasaannya selepas raya, ramai di antara anda mula sibuk dengan majlis pertunangan dan perkahwinan. Maklumlah bunga di taman akan disunting oleh kumbang yang menjadi pilihan hati. Molek benar kiranya rumah terbuka hari raya diadakan serentak dengan majlis kenduri kendara ini.

Selain nasi minyak dan lauk pauk yang biasa disediakan untuk kenduri kahwin, jangan lupa untuk memasukkan lemang dan ketupat selain rendang sebagai menu tambahan. Sekurang-kurangnya sentuhan raya diketengahkan dalam majlis perkahwinan itu. 

Sebarang komen atau pandangan anda amat chef alu-alukan. Anda juga boleh melayari portal dibawah:
www.pts.com.my

No comments:

Post a Comment