Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Saturday, July 10, 2010

Part 3 Istana Diraja Brunei - Kenangan Menarik Untuk Dikongsi

Salah satu kenangan yang tidak boleh chef lupakan adalah sewaktu ditugaskan untuk menjaga 'event' yang dihadiri oleh kerabat diraja Brunei terutama yang melibatkan Permaisuri(isteri sultan) selama beberapa malam. Sempat jugalah chef dapat melihat dari dekat Permaisuri serta isteri kedua sultan Brunei, Azrinaz Mazhar Hakim.

Memeriahkan lagi event itu, penyanyi terkenal dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei telah diundang khas untuk mengalunkan suara-suara merdu mereka. Walaupun chef ditugas disitu, bilik khas untuk Permaisuri serta kerabat terdekat tidak boleh chef masuki. Disebabkan ianya bercermin, dapatlah juga chef mengintai dari luar sementara melayan kerabat-kerabat lain.

Seramai 5 ribu orang menghadiri event ini yang mana rata-ratanya adalah untuk orang perempuan. Chef boleh katakan ianya sebagai 'ladies night'. Namun begitu, ada jugalah suami dan anak yang turut serta.

Chef simpulkan event ini sebagai event 'makan-makan' yang diadakan secara buffet di luar bilik bercermin tadi. Sememangnya ia lebih merupakan satu 'banquet hall' yang terbuka selain dikawal ketat oleh polis istana.

Dari apa yang chef dengar, Permaisuri sememangnya meminati nyanyian Nasser Wahab. Apa saja event yang melibatkan istana, pasti kelibat Nasser Wahab turut kelihatan di negara yang sememangnya kaya dengan hasil minyaknya itu.

Apabila nyanyian didendangkan, orang perempuan pun bangun lalu menari seiring dengan alunan muzik yang dialunkan. Permaisuri juga turut terhibur tetapi tidak turut serta dalam tarian. Hanya sekadar menepuk-nepuk tangan ke paha tanda suka.

Pernah sekali chef terserempak dengan Iwan Dangdut. Bagi orang muda tentu tidak mengenalinya. Maklumlah penyanyi ini hanya dikenali pada era 90an dan jarang sekali dapat melihat kelibatnya pada masa kini. Sempat jugalah chef berbual-bual dengannya tetapi perbualan chef dengannya hanya berkisarkan tentang makanan yang chef sajikan pada hari itu.

Tugas chef hanyalah memastikan makanan mencukupi untuk event tersebut dan kesemua makanan itu dihidangkan secara bufet. Penat chef dibuatnya selama mana chef ditugaskan disitu. Maklumlah, bekas makanan licin tak sampai lima minit chef letakkan makanan. Pergi ambil yang baru, tengok bekas makanan yang lama dah kosong. Berulang-kalilah chef terpaksa 'refill' makanan itu. Sampai satu tahap, chef diserbu sewaktu membawa makanan. Belum sempat letak di bufet line, dah kena serbu.

Ada satu ketika, makanan yang disediakan oleh dapur telah disudahkan dalam masa yang begitu singkat. Masa event masih lagi panjang. Terpaksalah chef hubungi dapur utama agar dapat mengeluarkan apa saja makanan yang ada. Terkontang-kantinglah chef di dapur untuk menyiapkan makanan pada saat akhir. Inilah penangan dan boleh dikatakan sebagai kenangan yang chef alami sewaktu tugasan tersebut.

Walaupun penat, namun chef seronok di atas 'appreciation' yang diberikan oleh kebanyakan kerabat yang hadir. Ini mengambarkan mereka seronok dan hargai terhadap apa yang diberikan.

Sememangnya rakyat Brunei menyanjung tinggi segalanya yang melibatkan istana. Tambahan pula dijemput untuk menghadiri upacara yang melibatkan istana. Ini chef dapat lihat semasa perkahwinan Kekanda Putera Mahkota iaitu kakak kepada bakal sultan Brunei kelak.

Perkahwinan ini telah dilangsungkan secara gilang gemilang. Semua jalan-jalan terpampang gambar pengantin selain ucapan-ucapan selamat dari agensi kerajaan dan swasta.

Kalau tak silap chef sebelum sampainya acara kemuncak iaitu persandingan diraja, pelbagai acara lain telah dijalankan selama 7 atau 10 malam. Maka tiap-tiap malam ada saja acara yang berlangsung. Maaf sebab tak ingat malam-malam yang terlibat.

Ada satu gelagat yang chef benar-benar terkejut apabila berlaku di depan mata sewaktu hari kemuncak selepas selesai saja jamuan perkahwinan. Hairan dan terkejut dibuatnya apabila melihat hadirin terutama sekali wanita membawa beg plastik untuk membungkus makanan lebih.

Ada seorang wanita mengeluarkan beg plastik yang diletakkan dalam colinya. Terkejut 'beruk' chef dibuatnya. Yang lebih membingungkan chef, mereka semua ini berpangkat dan mempunyai kedudukan. Bolehlah diibaratkan sebagai datin ataupun puan sri kalau di Malaysia.

Kebinggungan chef terlerai setelah chef mendapat jawapan terhadap apa yang berlaku. Rupa-rupanya makanan yang dibawa dari istana mempunyai 'sentimental value'. Sebab itulah mereka sanggup membungkus dan membawa balik makanan lebihan selain diberikan kepada jiran-jiran. Selain menunjukkan status, ianya lebih kepada rasa bangga kerana dijemput sebagai tetamu Sultan.

Di Brunei jugalah, pertama kali chef melihat kereta Rolls Royce yang dinaiki oleh Presiden Amerika Syarikat, Mr Bill Clinton. Kenderaan ini telah diterbangkan khas dari U.S selain ianya kalis peluru. Satu yang chef tak boleh lupakan adalah panjangnya kereta ini. Percaya atau tidak, panjangnya adalah lebih kurang 8 biji kereta Waja yang dicantumkan.

Kenderaan yang chef naiki untuk ke tempat kerja telah diarahkan ke tepi sewaktu Mr Bill menggunakan jalan yang sama. Apa yang chef nampak, orang-orang Mr Bill yang lebih-lebih. Dengan kasarnya telah mengarahkan kami ke tepi dan turut mengancam dengan mengacukan senjata mereka. Biasalah orang yang dalam ketakutan, macam itulah reaksinya...itu yang terlintas difikiran chef.

Bercerita tentang 'escort' ini, pernah sekali kumpulan chef juga telah diiringi oleh polis peronda Brunei. Ini berlaku sewaktu makanan dihantar ke 'PWTC' brunei sewaktu berlangsungnya APEC 2000.

Sebenarnya, kami beserta makanan dilindungi sebegitu rupa adalah untuk mengelakkan sebarang sabotaj terhadap makanan yang akan dimakan oleh ketua-ketua negara. Maklumlah apa saja boleh berlaku, mungkin makanan diracuni.Kami dikawal ketat untuk mengelakkan sebarang insiden. Unit pengesan bom juga telah melakukan 'random inspection' selain kami turut diperiksa.

Sewaktu di sana, chef telah didatangi oleh pakar makanan khas kepada Medaliene Albright (maaf mungkin salah ejaannya) yang bertindak sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Beliau agak cerewet dalam menentukan apa yang boleh dimakan dan apa yang tidak boleh dimakan oleh Medaliene. Beliau telah mengarahkan agar makanan laut dikeluarkan dari menu yang akan dihidangkan kepada beliau.

Sesungguhnya brunei menyimpan pelbagai kenangan manis. Sebenarnya chef hanya ingin berkongsi dengan anda kenangan menarik sahaja. Kenangan buruk..... biarlah chef saja yang simpan untuk dijadikan sebagai ingatan di kala usia semakin meningkat.

Sampai disini saja untuk kali ini dan semoga berjumpa lagi di post akan datang. Akhir kata, sambutlah salam ikhlas dari chef untuk anda semua.

No comments:

Post a Comment