Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Sunday, September 11, 2011

Menjelang Spice Route Adabi Musim Ke-4

Assalamualaikum & salam sejahtera semua.

Apa khabar. Rasanya masih belum terlambat untuk chef ucapkan Salam Aidilfitri selain Salam Kemerdekaan.


Alhamdulillah....satu lagi cabaran dalam rancangan ini telah pun disudahkan. Selama seminggu chef berkampung di Taylor University untuk menyudahkan tugasan masakan untuk segmen Dapur 2 minit.

Pada Ahad atau lebih tepat pada pagi Isnin lepas chef telah bertolak ke K.L. Pukul 4.30pagi chef keluar rumah di Penang dan sampai di sana jam 10 pagi. Masa pagi chef gunakan untuk mengelakkan trafik jem yang berlaku di lebuhraya berikutan ramai yang pulang ke kota selepas menyambut hari raya.

Mengantuk chef dibuat kerana terlalu penat memandu. Untuk itu, sebanyak empat kali chef berhenti untuk tidur. Apapun mujurlah chef tak terlelap yang boleh menyebabkan chef terlewat ke lokasi shooting. Kebiasaannya chef mengambil 10 - 15 minit untuk melelapkan mata.

Lokasi shooting kali ini adalah di studio masakan Universiti Taylor. Nak sampai ke sini pun agak memeningkan chef. Beberapa kali chef tersesat mencari lokasi ini. Dahlah gps yang chef bawa pada waktu itu pula buat hal, buat-buat bengong pulak.

Program pada pagi itu, belum lagi masak. Hanya diadakan perbincangan selain menguruskan kelengkapan dapur yang diperlukan untuk esok hari. Selain itu, mujurlah kebanyakan bahan memasak telah pun chef bawa dari rumah chef. Yang belum dibeli hanyalah barangan basah seperti daging, ayam, udang selain sayur-sayuran.

Satu masalah yang chef hadapi ialah tiadanya peti sejuk di hotel tempat chef menginap. Barangan basah yang dibeli pada malam hari seperti daging terpaksalah chef letakkan dalam sinki bilik mandi dan ditutupi dengan ketulan kiub ais yang banyak. Kalau tak, alamatnya busuklah daging tu.

Apapun segalanya dapat diuruskan dengan sebaik mungkin. Bak kata orang lama, segala masalah pasti ada penyelesaian. Selainnya, chef serahkan pada Allah.

Sebenarnya chef turun ke K.L ini untuk menyudahkan satu lagi tugasan yang menjadi sebahagian dari program Spice Route iaitu Segmen Dapur 2 Minit. Sebanyak 11 masakan telah pun chef siapkan untuk 11 episod manakala 2 masakan pula disediakan oleh chef Adabi.

Dalam segmen ini chef cuba menyediakan menu-menu yang mudah disediakan dengan menggunakan produk Adabi. Tak dinafikan, produk Adabi memang berkualiti, bersih selain memudahkan segala proses masakan.

Makanan yang dimasak pula memang menjadi dan rasanya memang "asli" tanpa rasa bahan pengawet. Apa yang chef ketahui, tiada bahan pengawet yang digunakan dalam segala produk Adabi.

Satu lagi yang chef nak kongsikan dengan anda ialah tentang Kicap Adabi. Tak lama lagi kicap dengan pek wajah baru akan berada di pasaran. Menariknya tentang kicap ini ialah tentang penghasilan kicap yang menggunakan RO water iaitu air bersih yang dirawat selain diperkayakan dengan vitamin A & C.
Apa yang chef boleh katakan, produk Adabi memang bermutu dan bersih. Proses R&D yang dijalankan telah menghasilkan produk bermutu selain dapat menepati citarasa orang ramai.

Pemilihan produk yang tepat pastinya menguntungkan diri selain mendapat hasil yang diingini. Keputusan memilih adalah hak anda sendiri. Disebabkan chef telah pun menggunakan produk Adabi, chef syorkan kepada anda agar mencuba produk Adabi dalam apa jua masakan anda. Kalau tak caya, cubalah. Dah cuba, baru tau....haha.

Sebelum chef akhiri catatan buat kali ini, jangan lupa ya untuk saksikan Spice Route Adabi musim ke-4 bermula 7hb Oktober 2011, setiap Jumaat jam 7.30 malam hanya di TV3.

Wallahuallam......

Saturday, July 16, 2011

Kini Berada Di Indonesia

Assalamualaikum....

Bertemu lagi pada kesempatan yang ada ini. Pertama sekali, maaf kerana chef menghilangkan diri dan senyap sunyi untuk masa yang agak lama.

Memang tak dinafikan, pengambaraan yang dijalankan ini benar2 menguji ketahanan diri...fizikal dan mental selain hati dan perasaan.

Yang paling terasa adalah yang melibatkan hati dan perasaan dengan pelbagai dugaan yang mengiringi perjalanan chef di negara asing.

Syukur alhamdulillah, segalanya dapat diatasi selain berserah kepada Ilahi.

Allah buka pintu hati chef untuk melihat kebesaranNya. InsyaAllah, segalanya akan chef ambil dan amalkan dalam perjalanan hidup chef ini yang entah sampai bila.

Di Indonesia, kesukaran hidup yang melanda warganya benar-benar menginsafkan diri untuk mensyukuri apa yang ada pada kita. Rata-rata rakyatnya berada dalam tahap kemiskinan yang amat dahsyat ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Yang kaya...terlalu kaya manakala yang miskin itulah yang mereka alami.

Namun satu perkara yang chef kagumi adalah soal iman yang mereka jaga bagaikan menggenggam bara, biar sampai menjadi arang. Walaupun mereka susah, agama tetap dipelihara, dibajai dan disemai.

Rumah-rumah Allah hidup pada tiap-tiap waktu dengan puluhan warganya mendirikan solat pada awal waktu. Anak-anak diasuh dengan pendidikan agama yang sempurna.

Maka tidak hairanlah, terdapat banyak pesantren dipelusuk kampung dalam mengeluarkan hafiz hafizah selain daie daie Allah di muka bumi ini.

Namun begitu, tidak dinafikan masih terdapat ramai yang ambil isu agama sebagai perkara yang mudah. Dalam ramai yang menjaga agama, ada juga yang meruntuhkan iman mereka.

Benar kata nabi yang maksudnya lebih kurang begini bunyinya bahawa agama datang dalam keadaan yatim dan akhirnya pergi dalam keadaan yatim. Sedih kalau perkara ini terjadi dalam kehidupan kita.

"100 tahun kita tidak ada di dunia ini dan 100 tahun akan datang juga kita dah tiada di dunia ini". Renung-renungkanlah ayat ini yang terarah kepada destinasi yang akan kita tujui.

Untuk itu, iman dan amal sempurna pada Allah saja yang dapat menolong kita untuk berjaya di akhirat kelak. Solat adalah pertanyaan pertama yang akan disoal, tertolak solat maka tertolaklah bahagian-bahagian yang lain. ini kerana solat adalah perintah Allah yang wajib kita untuk tunaikan.

Baiklah, rasanya cukuplah luahan hati chef yang chef rasai sepanjang chef berada di negara orang. Salah dan silap, harap diampun. Semoga kita beroleh rahmat dan petunjuk dariNya agar menjadi seorang yang disukaiNya.

InsyaAllah pada kesempatan lain, kita akan berjumpa lagi. Sambutlah salam ikhlas dari chef untuk anda yang Allah sayangi.

Sekian....

Saturday, June 4, 2011

Khabar Dari Turki

Assalamualaikum.....


Apa khabar semua.
Maaf kerana telah lama chef tidak ke udara untuk meninggalkan sebarang post disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan.

Syukur alhamdulillah, sudah 2 minggu lamanya chef berada di Turki.
Pelbagai kenangan serta suka dan duka telah chef tempuhi. Masa di Turki terasa bagaikan bergerak laju walaupun siangnya memang panjang.

Pada peringkat awal berada di Turki memang mendatangkan masalah pada Chef. Masalah yang chef maksudkan ialah masalah makan. Ianya bukan disebabkan tiadanya makanan halal tapi masalah penyesuaian makanan orang Turki yang lebih gemarkan memakan makanan berdaging seperti daging kambing dan sebagainya.

Mujurlah beras mudah didapati di Turki selain pes Adabi yang dibawa bersama untuk dimasak di bilik hotel setiap kali selepas setiap tugasan diselesaikan.

Tiap-tiap hari chef dan team chef akan makan nasi berlaukkan ayam yang dimasak dengan pelbagai rasa seperti masak kicap, masak kari, masak kunyit, bersambal tumis dan sebagainya.

Selepas dua minggu berlalu, barulah terasa jemu dengan nasi. Dah dua hari chef makan menu kambing bersama roti dan dihidangkan dengan pelbagai jeruk seperti buah zaitun, cili padi, cili hijau, tomato dan sebagainya.

Pada awal ketibaan chef ke Turki, cuacanya agak sejuk. Namun disaat ini cuacanya telah beralih kepada cuaca sedikit panas. Yang paling chef tidak tahan ialah sewaktu pengambaran di Harran di mana cuacanya terlalu panas. Kulit chef dan team semuanya dah mula gelap akibat dari kesan panas di bandar tersebut.

Bercakap tentang bandar Harran, ia sebenarnya terletak bersempadan dengan negara Syria. Ianya terkenal disebabkan rumah kecubung atau dikenali sebagai "Behive House". Penduduk disini masih lagi mendiami rumah-rumah sebegini yang diperbuat daripada tanah dan tanah liat. Kadang-kadang dindingnya ditempek dengan tahi keldai atau lembu. Penduduk yang mendiami kawasan ini adalah daripada puak Kurdish Turki.

Seperkara lagi yang chef tidak dapat lupakan ialah sewaktu menziarahi masjid Nabi Ibrahim a.s di Sanliurfa. Ianya merupakan tempat dimana nabi pernah dibakar oleh Raja Namrut yang zalim.
Menariknya, mata air terjadi selepas nabi tercampak bersama api ditempat tersebut. Dan sehingga ke hari ini, airnya masih mengalir lalu membentuk tasik.

Syukur alhamdulillah, chef berpeluang bersolat dan sujud di masjid nabi selain dapat merasa air mata air tersebut. Yang menyedihkan, ramai orang Islam yang datang hanya sekadar mengambil gambar sahaja. Keberkatan yang terhidang didepan mata tidak dimanfaatkan dengan bersolat dan sujud di Masjid Nabi.

Turki......memang sebuah negara yang unik. Terdapat pelbagai tarikan yang boleh dimanfaatkan semasa melancong. Namun begitu, chef bergerak bersama team ke tempat-tempat yang pelancong sendiri tak pernah lalui. Itu yang membuatkan perjalanan chef dalam rancangan ini menjadi lebih menarik.

InsyaAllah, pada Oktober ini rancangan Spice Route musim ke-4 akan ke udara. Eloklah....anda sendiri yang saksikan perjalanan chef di negara Turki ini. Nak cerita mungkin tak sepenuhnya seperti apa yang dirakamkan.

Untuk itu, jangan lupa bersama chef dalam Spice Route musim ke-4 yang dibawakan khas untuk anda oleh Adabi dan TV3.

Sekian....salam dari Turki

Saturday, May 14, 2011

Noisette Kambing Gril Bersama Sos Rosemary

Assalamualaikum dan apa khabar semua.
Haha...baru ada masa free. Dapatlah juga menguploadkan gambar resepi ini.
Untuk kali ini, apa kata kita cuba masakan barat pulak yang berasaskan kambing.

Untuk menyediakan hidangan ini, apa yang penting anda perlu tahu untuk memisahkan loinnya daripada tulang rusuk kambing. Rusuk kambing atau dipanggil lamb rack ni boleh anda beli di kebanyakan pasaraya. Rusuk ini jugalah yang digunakan untuk menyediakan kebanyakan menu lamb chop.

Pada kebiasaannya rusuk atau lamb rack ini akan dipotong kepada bahagian2 kecil yang dipangil sebagai lamb chop. Ini yang akan mereka perap dan seterusnya bakar atau gril.

Tapi untuk menyediakan lamb noisette, ianya agak berlainan. Nak dipisahkan tulangnya dengan isi bukanlah suatu perkara yang susah. Kalau anda tengok caranya, pasti anda boleh melakukannya. Tapi untuk masa sekarang, yang penting buatlah ikut cara anda untuk memisahkan tulang dengan isi.

Selepas itu, isi akan digulang bersama dengan lemaknya. Sebenarnya lemaknya masih melekat pada isinya. So, tak perlulah anda risau tentangnya. Yang penting anda gulungnya dan ikatkan dengan tali putih atau dikenali dengan butcher string. Saya menggunakan tali ini disebabkan ianya tidak mudah terbakar walaupun pada suhu yang tinggi. So, jangan guna tali plastik atau ropia tau.

So, proses seterusnya bolehlah anda ikut cara menyediakan hidangan ini. Selamat mencuba...dan jumpa lagi. Buat anda semua, doakan untuk chef agar segalanya selamat selama berada di negara asing.

Sekian.......

P/S: Dua buah buku chef telah pun berada di pasaran. Salad dan buah, satu lagi pembuka selera. Bolehlah dapatkan dengan segera. Yang penting, anda mencubanya k.


Bahan-bahan
1 ketul rusuk kambing (diambil loin beserta kulitnya)
1 gulung tali putih (butcher string)

Bahan Perap
1 sudu makan sos cili paprika
Garam dan serbuk lada putih secukupnya
Sedikit minyak untuk melumur

Sos Rosemary
1 sudu makan serbuk demiglace segera
1 biji bawang besar (dicincang halus)
3 ulas bawang putih (dicincang kasar)
Sedikit rosmary segar atau kering
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Air secukupnya

Cara Menyediakannya
1. Loin dipisahkan daripada rusuknya lalu diikat dengan tali putih.
2. Lumurkan bahan perap ke atas loin dan gril ia sehingga masak di atas kuali 'non stick'. Ketepikannya.
3. Untuk menyediakan sosnya, bancuh serbuk demiglace dengan sedikit air.
4. Tumis bawang putih, bawang besar dan rosemary sebelum dituangkan bancuhan demiglace tadi.
5. Didihkan sosnya dan perasakan dengan bahan perasa secukupnya.
6. Pekatkan sos dengan roux (campuran majerin yang dicairkan diatas api dan digaulkan dengan tepung gandum).
7. Hidangkan loin kambing bersama sos rosemary, juga apa jua jenis sayuran dan kentang.