Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Saturday, April 2, 2011

Makanlah sayur-sayuran untuk kesihatan

Apa khabar semua.

Bertemu kembali setelah lama menghilang. Hari ini chef ingin bercoleteh tentang suatu perkara yang bolehlah dikatakan penting iaitu memakan sayur.

Dalam memperkatakan tentang memakan sayur-sayuran, pastinya ramai yang akan memberi reaksi serta jawapan positif tentang pengambilannya. Ramai yang menyokong dan menyatakan memakan sayur-sayuran adalah baik untuk kesihatan.

Namun begitu, pengambilan sayur-sayuran sering diabaikan begitu sahaja. Walhal, seseorang itu mengetahui kebaikannya dalam menyalurkan segala nutrien yang diperlukan oleh tubuh seperti serat, vitamin, mineral dan bahan antioksida.

Maka tidak hairanlah kalau orang ‘lama’ seperti ibu bapa kita yang masih kuat, segak selain tampak ‘muda’ jika dibandingkan dengan usia mereka yang telah pun lanjut. Apakah petua atau rahsia yang membuatkan mereka sentiasa ‘awet muda’ dan bertenaga.

Ianya bukanlah menjadi suatu rahsia lagi dan ia adalah kesan langsung dari pengambilan sayur-sayuran yang diamalkan sewaktu usia muda. Kebiasaannya, memakan ulam-ulaman secara mentah telah menjadi amalan seharian dan menjadi satu kemestian semasa memakan.

Falsafah Barat pernah mengatakan “ kita adalah hasil daripada apa yang kita makan”. Chef berpendapat falsafah ini ada benarnya dan menceritakan segalanya.

Tambahan pula, pelbagai masalah kesihatan yang melanda kini memperkukuhkan lagi andaian tersebut dan ianya adalah kesan langsung dari pengambilan makanan yang tidak betul.

Masalah kesihatan seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya sering terjadi dan ianya turut mengancam jutaan nyawa manusia di seluruh dunia.

Apa yang chef faham seperti yang disarankan oleh WHO, seseorang itu perlu mengambil 5 hidangan sehari gabungan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Lebih menyedihkan kebaikan sayur-sayuran sering diabaikan begitu sahaja walaupun saranan demi saranan telah dikeluarkan dalam mengingatkan tentang kebaikan pengambilannya.

Namun begitu, rata-rata ‘orang sekarang’ lebih meminati makanan yang tinggi kandungan gula, garam dan juga lemak.

Pada pendapat chef, minat terhadap sesuatu perkara haruslah dipupuk dari kecil lagi. Untuk itu, pengambilan sayur-sayuran bolehlah didedahkan kepada kanak-kanak seawal usia 3 tahun.

Percaya atau tidak, kebaikannya dapat dilihat seiring dengan usia anak yang meningkat naik.

Jika dilihat kepada situasi kini, golongan remajalah golongan yang cukup ‘liat’ untuk memakan sayur-sayuran. Golongan ini jugalah sering mengadu masalah sembelit selain najis berdarah akibat kurangnya pengambilan sayur-sayuran dalam menyalurkan serat yang mencukupi.

Dalam menarik minat mereka kepada sayur-sayuran, beberapa cara boleh anda cuba praktikkan. Antaranya ialah kaedah memasak yang betul selain perhatian kepada bentuk potongan, jenis dan saiz sayur-sayuran perlulah dititikberatkan.

Kaedah ‘stir-fry’ iaitu menumis sayuran dengan minyak yang sedikit boleh dicuba selain ianya perlu dimasak hampir pada waktu makan. Kepanasan sayuran selain bau harum ramuan yang digunakan pastinya akan menaikkan lagi ‘nafsu makan’ mereka.

Seperkara lagi yang perlu anda ingat, pastikan sayuran yang disediakan mempunyai perasa yang secukupnya. Perasa yang chef maksudnya di sini tidak terhad kepada garam, gula dan serbuk lada sahaja.

Ianya lebih kepada gabungan bahan yang digunakan semasa proses menumis seperti kicap, sos tiram, bawang putih, bawang merah, sebarang jenis sos dan sebagainya.

Penyediaan sayur-sayuran dalam hidangan Barat yang menggunakan kaedah ‘saute’ iaitu tumis juga boleh anda cuba. Ianya hampir sama dengan kaedah ‘stir-fry’ namun sayuran yang hendak ditumis terlebih dahulu dimasak melalui proses ‘blanching’ atau penceluran.

Ini dilakukan untuk mengekalkan nutriennya selain menaikkan lagi seri sayur darisegi warnanya yang tampak lebih menarik.

Mempelbagaikan jenis sayur-sayuran dan tidak terhad kepada sesuatu jenis sayur-sayuran sahaja antara kunci dalam menarik minat seseorang itu. Pemilihan sayur-sayuran yang sama seboleh-bolehnya dielakkan agar tidak merencat ‘nafsu makan’ anak anda.

Sentuhan menarik dari segi persembahan hidangan juga perlu dititikberatkan. Hiasan ringkas seperti bunga cili, hirisan karot dan bawang, bunga ros dari kulit tomato dan sebagainya boleh digunakan sebagai tarikan kepada anak anda untuk mencubanya.

Untuk itu, dalam memberikan kelainan dari segi penyediaan sayur-sayuran selain rasa, resepi ‘Sayur Campur Cina’ dan ‘Tumisan Taugeh & Udang’ yang chef sertakan ini bolehlah anda cuba.

Selamat mencuba…………….

Sayur Campur A La Cina

Bahan-bahan
- 200 gm kobis cina (dipotong kecil)
- 100 gm bunga kobis (dipotong kecil)
- 100 gm brokoli (dipotong kecil)
- 1 batang karot (dipotong kecil)
- 50 gm kacang snow pea
- 4 batang putik jagung (dibelah dua)
- 1 biji lada benggala (dipotong kecil)
- 6 biji cendawan butang (dibelah empat)
- 3 ulas bawang putih (dicincang halus)
- 2 cm halia (dihiris memanjang)
- 3 sudu besar sos tiram
- 1 sudu kecil minyak bijan
- Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
- Minyak untuk menumis

Cara Membuat
1. Tumis bawang putih dan halia sebelum dengan sedikit minyak hingga sedikit layu.
2. Masukkan sos tiram dan sayur lalu ditumis hingga masak.
3. Tuangkan minyak bijan dan perasakan dengan garam dan serbuk lada putih.
4. Hiaslah hidangan sebelum menghidangkannya.

Tips
1. Sayuran yang keras perlu ditumis dulu sebelum memasukkan sayuran lembut seperti kobis cina.
2. Penggunaan tepung jagung boleh dilakukan sekiranya air yang banyak terhasil semasa proses memasak.


Tumisan Taugeh & Udang

Bahan-bahan
- 200 gm udang sederhana besar (dibersihkan)
- 80 gm taugeh (dibersihkan)
- 80 gm karot (dihiris memanjang)
- 20 gm daun ketumbar (dicincang kasar)
- 20 gm daun bawang (dipotong kecil)
- 2 ulas bawang putih (dihiris nipis)
- 3 biji bawang merah (dihiris nipis)
- 1 sudu besar sos tiram
- Garam & serbuk lada putih secukup rasa
- Sedikit minyak untuk menumis

Cara Membuat
1. Panaskan minyak lalu tumis bawang merah dan bawang putih.
2. Masukkan udang, taugeh, karot, daun ketumbar dan daun bawang lalu ditumis hingga masak.
3. Masukkan sos tiram lalu diperasakan dengan garam secukupnya.
4. Hiaslah hidangan anda mengikut kreativiti masing-masing.

Tips
1. Ayam dan daging juga sesuai digunakan sekiranya anda tidak menggemari makanan laut.

No comments:

Post a Comment