Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku
Akal mengarahkan agar makanan dicari.
Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.
Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.
Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.
Saturday, June 12, 2010
Masak Apa Untuk Dimakan?
Masak apa? Nak makan apa hari ini? Ini diantara persoalan yang sering bermain di fikiran kita. Persoalan ini jugalah sering merunsingkan ibu-ibu dan akak-akak selain buntu memikirkan menu apa yang patut disediakan pada waktu itu.
Habis semua buku resepi yang ada dalam koleksi simpanan dibelek-beleknya selain ditenung untuk beberapa lama. Namun begitu, ianya masih tidak dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Dalam memperkatakan apa yang hendak dimasak, keinginan diri selain keluarga perlu dititikberatkan. Yang penting, menu kegemaran anak dan suami perlu diutamakan dahulu sebelum melihat kepada keinginan diri.
Kenapa chef berkata begitu? Kalau diri sendiri suka, belum tentu anak beranak turut menyukainya. Alih-alih apa yang dimasak dengan susah payah tidak dimakan selain dibuang begitu saja.
Keupayaan diri dalam menyediakan masakan tersebut juga menjadi faktor kedua yang perlu dititikberatkan. Bukan apa! bukan semua diantara kita mempunyai kemahiran memasak. Namun, kemahiran memasak bukanlah masalah besar dan ianya boleh dipelajari. Asalkan ada kemahuan pasti ada jalan.
Yang penting, berdampinglah dengan dapur untuk menimba pengalaman dan lakukanlah percubaan demi percubaan dalam menghasilkan hidangan yang disukai. Jangan mudah kecewa terhadap 'result' yang dihasilkan.
Bagaimana pula dengan perancangan menu? Sesuatu menu yang ingin disediakan mestilah dirancang seawal yang mungkin agar segala proses penyediaannya menjadi mudah. Anda tidak begitu penat sekiranya semuanya telah tersedia untuk dimasak.
Setelah menu dirancang berdasar kepada faktor diatas, barulah bahan memasak dibeli dan disimpan untuk kegunaan kelak. Beli barang yang diperlukan sahaja untuk mengelakkan sebarang pembaziran. Kuantitinya terpulang berdasarkan 'pax' iaitu bilangan orang yang akan menikmatinya.
Maka tidak hairanlah, kebanyakan chef profesional di hotel besar dapat menyediakan makanan pada masa yang ditetapkan walaupun kuantitinya agak besar iaitu beribu 'pax'. Mereka berupaya mengendalikan beberapa 'function' besar dalam satu masa walaupun menu yang dihidangkan adalah berlainan.
Ini dapat dilihat semasa chef berada di negara Brunei dalam menyediakan makanan untuk 100ribu orang. Selama 3 hari berturut-turut 'function' ini berlangsung di Istana Diraja Brunei. Selain dihadiri orang kenamaan, rakyat jelatanya turut dijamu dengan pelbagai jenis hidangan.
Sibuknya kerja penyediaan, tak perlulah chef ceritakan disini. Memang memenatkan. Namun disebabkan perancangan yang betul, acara yang berlangsung berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
Kunci kepada kejayaan ini sebenarnya terletak pada perancangan menu yang betul selain pengagihan tugas yang begitu fleksibel. Kerjasama yang ditunjukkan sesama staf juga merupakan antara faktor dalam melicinkan segala yang dirancang.
Bagi anda, tumpukan kepada apa yang hendak disediakan. Rancanglah sebaik mungkin sebelum segala usaha dicurahkan untuk menghasilkan hidangan yang dikehendaki.
Buatlah aktiviti yang mengambil masa dahulu seperti mengopek, menghiris, mengisar dan lain-lain seawal mungkin. Jangan tunggu hingga saat untuk memasak. Persediaan inilah yang memenatkan kita, namun memasak menjadi mudah disebabkan semuanya telah tersedia. Masa yang diambil untuk memasak, taklah lama mana pun.
Selain itu, mainlah dengan garam dan gula. Tambah atau kurangnya bahan ini memberi implikasi terhadap rasa sesuatu makanan. Disebabkan inilah chef tidak mengambil (mengikut) bulat-bulat segala resepi yang diberikan dalam sesuatu buku resepi kecuali resepi yang ingin disiapkan itu adalah resepi 'pastry'.
Ada pembaca yang mengadu resepi yang dihasilkan tidak menjadi. Tipulah, itulah...inilah, tak habis-habis 'complain'. Masakan tidak menjadi, kesalahan pasti dilemparkan bulat-bulat kepada penulis buku resepi. Disebabkan itu, kebanyakan penulis buku resepi akan memastikan resepi yang diberikan adalah resepi yang telah diuji terlebih dahulu.
Sebagai pembaca anda seharusnya mempunyai asas memasak. Ianya perlu diketahui dan dipelajari sebelum memasak. Barulah anda dapat melakukan pengubahsuaian dengan menambah atau mengurangkan sesuatu bahan masakan. Sebarang pengubahsuaian yang dilakukan, pastinya ada implikasi terhadap perubahan rasa sesuatu masakan yang dihasilkan.
Namun begitu, kesedapan sesuatu masakan disebabkan 'air tangan' seseorang juga tidak boleh dinafikan. Segala yang dilakukannya pasti menghasilkan masakan yang sedap. Yang pasti, seseorang itu telah bersusah payah terlebih dahulu sebelum dianugerahkan dengan anugerah ini. Pengalaman telah mematangkannya serta meningkatkan skil dalam menghasilkan makanan yang 'sedap'.
Akhir kata, jangan lupa untuk memulakan sesuatu masakan dengan Bismillah selain disulami dengan Subhanallah, Alhamdulillah, Walaillahaillallah, Allahuakbar. Pastinya makanan yang dihasilkan akan meninggalkan kesan murni pada hati orang yang memakannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment