Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Thursday, May 30, 2013

Salad Aneka Buah-buahan

Assalamualaikum.....

Anda suka makan buah-buahan?. Suka atau idak....buah-buahan memang kena ambil. Maklumlah hidup ini tak lengkap kalau tak makan buah. Selain rasanya yang sedap dengan pelbagai rasa...ianya juga penyumbang utama nutrien untuk badan dalam menjalankan aktiviti tubuh.

Memakan buah-buahan juga salah satu amalan yang diamalkan oleh Rasullullah s.a.w. Baginda begitu memberati pengambilan buah-buahan. Selalunya baginda akan memakan buah-buahan yang dipetik pada awal musim disebabkan kandungan nutriennya selain gulanya yang masih 'fresh'.

Selalunya buah-buahan di akhir musim akan mengeluarkan air dan kadang-kadang ianya agak lembik. Itu tandanya buah tersebut dah terlalu ranum.

Untuk kali ini, chef ingin kongsikan dengan anda sejenis salad buah. Disebabkan chef menggunakan beberapa jenis buah....maka chef letakkan namanya sebagai Salad aneka buah. Tak susah manapun buat salad ini. Ambil dan campurkan kesemua buah tersebut. Namun untuk tujuan 'plating', chef susun ia agar nampak lebih menarik. Anda pula bolehlah campur dan gaulkan kesemuanya bahan tersebut. Tak ikut cara chef pun takpe.

So, chef kongsikan resepinya disini.......selamat mencubaaa......

Bahan-bahan

Buah tembikai (dipotong kiub/bulat)
Buah epal (dipotong kiub)
Buah anggur (dibelah dua)
Buah mandarin (dalam tin)
Buah mata kucing (dalam tin)
Buah lychee (dalam tin)
Sebarang jenis buah lain

Sos Koktel
1 cawan mayonis
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sis tomato
2 - 3 sudu besar perahan jus oren

Cara Menyediakannya
1. Untuk sos, campurkan kesemua bahan lalu dipukul dengan 'wire whisk'.
2. Di dalam sebuah bekas, masukkan buah-buahan kecuali buah mandarin lalu dicampurkan dengan sos.
3. Kacau sebati dan sejukkan salad sebelum dihidangkan.
4. Semasa menghidang, barulah dimasukkan buah mandarin.

P/S: 1. Buah mandarin mudah hancur apabila dikacau.
       2. Warna sos mestilah tidak terlalu merah dan tidak terlalu putih.






Monday, May 27, 2013

Roti John Mini.......Mudah disediakan, Sedap dimakan

Assalamualaikum semua.....

Untuk kali ini, chef terpanggil untuk menunjukkan kepada anda satu lagi resepi mudah. Sesuai bebenor disajikan dan dimakan seisi keluarga.

Kanak-kanaklah yang paling suka menu macam ini. Kalau disediakan, pastikan anda kena buat lebih. Kalau setakat 2 - 3 biji, memang tak cukup. Selalunya lebih dari 3 biji, baru puas menikmatinya. Maklumlah, saiznya pun agak kecil.....sekali ngap, dah masuk perut...tak gitu.

Roti John....roti yang biasa anda dengar. Tapi kenapa 'John" bukannya Ahmad ke atau Halim. Entahlah siapa yang menciptakan menu ini. Apa yang pasti, ianya memang digemari oleh ramai orang....tambah-tambah lagi, bila tibanya bulan Ramadan.





Untuk itu, eloklah anda mencubanya sekarang. Pasti anda menyukainya. Baiklah, chef kongsikan resepinya. Cubalah ye.......

Bahan-bahannya

Sebungkus roti "soft roll"
4 - 5 biji telur
1/2 bungkus daging/ayam kisar
1 tangkai daung bawang - dihiris nipis
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Salad lettuce
Hirisan timun - dihiris nipis
Tomato - dihiris nipis
Sos Cili
Mayonis

Cara Menyediakannya

1. Soft roll dibelah dua terlebih dahulu.
2. Telur, ayam/daging kisar, daun bawang, garam dan serbuk lada putih dicampurkan dan dipukul bersama agar sebati.
3. Setelah itu, celupkan roti tersebut dalam bancuhan telur tadi. Biarkan selama 30 saat.
4. Panaskan kuali/pan dan letakkan roti tadi. Angakat setelah telur beserta dagingnya masak.
5. Cara menyediakan roti john mini ini, sapukan mayonis pada roti tadi.
6. Letakkan salad lettuce, timun dan tomato. Tuangkan sedikit sos cili bersama-sama dengan mayonis keatas sayuran tadi.
7. Hidangkanlah ia segera semasa ianya masih panas.

P/S: Kalau menggunakan roti yang panjang, bancuhan telur tadi hendaklah dituang diatas kuali/pan sebelum diletakkan roti diatasnya.In Shaa Allah....telur tersebut pasti melekat pada roti tadi.



Saturday, May 25, 2013

Fish N Chips versi Chef Hussin...............................

Assalamualaikum......

Untuk kali ini, chef telah berkesempatan untuk menyediakan sejenis lagi menu berasaskan makanan laut. Cer teka....apa dia? Haha...tak cite pun....tentu anda dah tahu. Mana idaknya, dah terpampang kat atas tu.

Untuk kali ini, kita "try" buat menu makanan barat pula. Ada berani? Haha tentu ramai yang berani nak mencuba...tak gitu...

Sebenarnya menu fish n chips ini bukanlah satu menu yang susah sangat untuk disediakan. Hanya perlu tahu cara yang betul untuk menyediakannya. Kalau nak ubah resepinya pun....silakan. Tak salah mencuba resepi masing-masing mengikut citarasa masing.

Selepas tengok resepi chef ini....cepat-cepatlah pi beli bahan-bahan yang diperlukan. Bolehlah disiapkan segera untuk dijamu seisi keluarga. Seeloknya dihidangkan panas-panas. Kalau dah sejuk, tak berapa sedap sebab dah ada yang lemau.


Ada dua cara untuk menyediakannya. Kalau menggunakan bancuhan tepung, eloklah gunakan tepung tempura. Rasa tepung ini saja...dah membangkitkan nafsu makan. Tapi kalau susah-susah sangat, gunakan je tepung gandum biasa. Jadi juga....

Cara kedua...salut kesemua makanan laut menggunakan serbuk roti. Haaa serbuk roti ni bolehlah anda perolehi di kebanyakan kedai pastry. In Shaa Allah ada. Seelok-eloknya, gunakanlah yang berwarna putih. Warnanya akan lebih cantik apabila digoreng.

Yang paling mustahak sekali dalam penyediaan menu ini, jangan goreng terlalu lama. Sebabnya isi makanan laut mudah masak dalam masa yang begitu singkat. Takut-takut ada yang liat.....

Baiklah....saya sertakan resepi Fish N Chips untuk anda cuba.....
Chow Chi Chaw....selamat mencuba.

Bahan-bahannya

Bahan A
Udang (dibersihkan, kalau nak cucuk dengan lidi pun boleh)
Sotong (dipotong bulat)
Ikan Dori/Merah (dipotong kecil/filet)
Kentang Goreng
Serbuk Cili (Paprika)
1/2 paket tepung tempura
Air secukupnya (seeloknya disejukkan)
Garam dan serbuk lada secukup rasa
Minyak untuk menggorengnya


Bahan B - Koleslaw
1/4 bahagian sayur kobis (dihiris nipis)
1 batang lobak merah (dihiris nipis/julienne)
Sedikit cuka makan
3 - 4 sudu makan gula putih
Mayonis secukupnya

Bahan C -Sos Tartare
1/2 biji bawang besar (dicincang kasar)
1 biji telur rebus (dicincang kasar)
1 biji jeruk gherkin (dicincang kasar)
1 sudu makan jeruk capers (dicincang kasar)
Sedikit daun pasli (dicincang halus)
Mayonis secukupnya

Cara Menyediakannya
1. Udang, ikan dan sotong diperap sebentar setelah digaulkan dengan garam, serbuk cili dan serbuk lada putih.
2. Sediakan bancuhan tepung dengan mencampurkan tepung tempura dan air ais. Kacau ia hingga sebati.
3. Untuk menyediakan koleslaw, sayur kobis dan lobak merah dicampurkan dengan cuka makan dan gula.
4. Perapkan selama 20 - 30 minit sebelum diperah keluar air cuka tadi.
5. Setelah itu, barulah dimasukkan mayonis lalu digaul sebati.
6. Untuk sosnya, campurkan kesemua bahan lalu digaul sebati.
7. Untuk mengoreng makanan laut yang diperap tadi, celupkan ia kedalam bancuhan tepung tempura dan goreng ia kuning keemasan.  Toskan minyaknya.
8. Kentang goreng juga digoreng lalu ditaburkan dengan sedikit garam.
9. Hiaslah hidangan dengan daun pasli atau pudina selain hirisan buah lemon sebelum dihidangkan.

P/S: 1. Kobis direndam dalam cuka untuk melembutkan serat kobis.
        2. Tepung tempura tidak perlu dimasukkan garam selain perlu disejukkan agar mendapatkan tekstur
            tepung yang menarik.












Thursday, May 23, 2013

Mee Tulang Rawan........Saya suka....anda bagaimana!!!!

Assalamualaikum....

Pada artikel lepas, chef kongsikan dengan anda menu berasaskan mee. Untuk kali ini juga, chef akan kongsikan satu lagi menu berasaskan mee iaitu Mee Tulang Rawan.

Menu ini rasanya taklah susah mana. Hanya masukkan kesemua bahan dan rebus sampai isi pada tulang menjadi lembut. Dipendekkan cerita, campak-campak je kesemua bahan yang dikehendaki ke dalam kuali lalu rebus sampai masak. ianya lebih kepada mee suplah katakan. Haaaa....mudah bukan.

Tapi untuk menu ini, chef "adjust" sikit agar rasanya lebih berempah. Untuk itu, bahan-bahan seperti Perencah Sup Adabi diperlukan. Beli je perencah sup Adabi ini, jangan pening-peningkan kepala tu.
Baiklah.....chef tak ingin buang masa anda. Tengoklah sendiri resepinya. Kalau berminat, bolehlah cuba.

P/S: Diana Delimaz.....ini resepinya. Bolehlah dicuba dan kongsikan kepada pengemar mee khususnya pembeli Mee Kuning Delimaz. Selamat mencuba........

Bahan-Bahan
1 paket Mee Kuning (dicelurkan sekejap)

Sup Tulang Rawan
5 - 6 ketul tulang rawan
5 biji bawang merah - dikisar halus
5 ulas bawang putih - dikisar halus
2 sm halia - dikisar halus
4 - 5 sudu besar Perencah Sup Adabi
1 bungkus sup bunjut Adabi
3 - 4 keping asam keping
3 - 4 biji cili padi - diketuk
1 biji lobak merah - potong dadu
1 biji kentang - potong dadu
2 biji tomato - dibelah 4
Sedikit daun sup - dihiris nipis
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Sedikit serbuk stok ayam

Bahan Hiasan
Sedikit bawang goreng
Sedikit daun bawang - dihiris nipis
Cili merah - dihiris nipis
Taugeh

Cara menyediakannya
1. Untuk sup, masukkan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang merah dan halia hingga naik bau.
2. Masukkan serbuk perencah sup dan sup bunjut lalu ditumis sebentar.
3. Masukkan air lalu dimasukkan asam keping, cili padi dan daun sup lalu direneh sup tersebut.
4. Masukkan pula lobak merah, kentang dan tomato ke dalam sup.
5. Perasakan dengan garam, serbuk lada putih dan serbuk stok ayam. 
6. Untuk menghidangkannya, letakkan mee kuning lalu dituangkan sup beserta tulang. 
7. Hiaskan dengan bawang goreng, daun bawang, taugeh dan cili merah.

Tips
1. Kalau nak sup yang pekat, masukkan serbuk kentang atau serbuk kacang kuda.                                                                                                                                                                               














Monday, May 13, 2013

Hidangan Mee Untuk anda cuba.....

Assalamualaikum.....

Apa khabar semua.

Bangunnya je tidur pagi tadi, chef teringin nak makan sesuatu. Teringat kat ketam yang terdapat dalam fridge chef. Sempat beli ketam ini semalam. Bahan lain? Tak jadi masalah...semuanya dah ada dalam simpanan chef. Hanya selongkar je peti sejuk tu. Yang paling penting sekali, si "ketam" nya. Tapi sayang sekali, hanya ketam saiz kecil je yang dapat chef sambar kat pasar. Mungkin bulan tak penuh kot....hehe. Sebab tu semuanya bersaiz kecil. Ketam saiz kecil sebenarnya lebih manis....itu pendapat chef. Tak kisahlah...ketam besar ke atau kecil...asalkan ketam.

Terlanjur bercakap tentang ketam, untuk kali ini chef telah sediakan mee kuah ketam dan mee goreng mamak. Dua menu berasaskan mee ini, chef telah gunakan sejenis mee....iaitu Mee Delimaz. Sempat chef beli mee ini di Mydin tempohari. Sekadar ingin mencuba dan melihat kekenyalan mee tersebut, maklumlah mee buatan bumiputera. Chef sekadar ingin melihat perbezaan mee ini dengan mee keluaran bangsa lain yang memonopoli pasaran sekarang. Hasilnya memang terbaik.....memang kenyal dan tidak mudah putus.


Yang menariknya tentang mee ini, ianya produk Muslim. Dipendekkan cerita, ianya halal dan chef yakin ianya disediakan dengan cara yang paling bersih. Bagi diri chef, lebih baik chef gunakan produk yang halal. Dah tentu suci dan sihat untuk diamalkan.

Baiklah, untuk anda yang menggemari makanan berasaskan mee, chef kongsikan resepi yang cukup mudah untuk disediakan iaitu mee kuah ketam. Sebenarnya tak banyak bahan yang chef gunakan. Apa yang ada dalam simpanan, itu yang chef perabiskan. Yang penting, ianya untuk tekak sendiri, tak gitu.

Baiklah...kalau ada yang teringin nak mencuba, bolehlah salin resepi dibawah ini. Manalah tahu, anda dan famili anda suka.

Jumpa lagi.......

Bahan-bahan

Bahan A

1 bungkus Mee Kuning Delimaz
3 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
2 sm halia
5 sudu besar cili giling
3 biji kentang - direbus
sedikit udang kering
Garam secukup rasa

Bahan B (Hiasan)

Taugeh, Hirisan Cili Merah, Daun Bawang, Bawang Goreng.

Cara Menyediakannya
1. Rebus ketam hingga masak.
2. Masukkan kentang yang telah direbus dan kisar bersama bawang, bawang putih, halia dan cili giling bersama udang kering. Kisarkan kesemua bahan ini.

3. Masukkan bahan kisar tadi ke dalam air rebusan ketam dan ketam.
4. Masak dan didihkan ia hingga sebati.
5. Perasakan dengan garam.
6. Untuk menghidangkannya, taburkan bahan hiasan keatasnya.

P/S: Kuah dipekatkan menggunakan sedikit tepung gandum atau jagung. Yang ini kena agak-agak, kalau pekat sangat tak berapa syokkkk.

Mudah bukan.....bolehlah dicuba.




Monday, May 6, 2013

Sungguh Meriah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013

Assalamualaikum......

"Sungguh meriah dan sesak" itulah yang boleh chef gambarkan tentang pesta buku ini. Mana tidaknya, nak bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain pun cukup susah. Sampai ada yang berlaga bontot dibuatnya.  Sebenarnya chef nak gambarkan betapa ramai dan meriahnya suasana di PWTC ini.

Setiap tahun, chef wajibkan diri untuk mengunjungi pesta buku ini walaupun ianya terletak jauh dari tempat tinggal chef. Kebiasaannya pihak PTS juga tidak ketinggalan untuk mengadakan acara untuk chef sertai dalam mempromosikan buku masakan chef selain bertemu dengan peminat. Kepada yang sudi membeli, chef turunkan autograph sebagai tanda kenangan selain penghargaan kerana menyokong chef.

Chef juga sempat berjumpa dengan seorang penulis buku iaitu Jerry D Gray iaitu bekas tentera Amerika yang memeluk Islam. Dapat juga autograph beliau pada 3 buah bukunya, Art of Deception, Rasullullah is my doctor dan Deadly Mist.

Untuk PBAKL kali, chef telah beraksi serentak dengan dua orang chef PTS yang tidak asing lagi iaitu Chef Hanieliza dan Chef Fazalina. Ianya dimulakan dengan memperkenalkan chef serta masakan yang dibawa. Maksudnya tiada masak memasak pada hari itu. Ini kerana proses memasak tidak dibenarkan diadakan di dewan itu untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Kemuncak dari event itu adalah sesi merasa hidangan yang telah disediakan awal oleh ketiga-tiga chef. Apa yang dapat chef katakan, rata-ratanya pengunjung menyukai masakan yang disediakan. Sesi autograph juga diadakan selepas itu. Memang ramai yang sudi mencuba seterusnya mendapatkan buku masakan kami. 

Untuk PBAKL 2013 kali ini, 7 buah buku masakan baru telah diperkenalkan dengan tag "Resepi Lengkap Harian" dari hari Isnin hinggalah Ahad. Resepi mengikut hari ini lebih mudah untuk pembaca praktikkan mengikut kesibukan hari. Contohnya resepi yang agak ringkas diketengahkan dalam buku hari Isnin disebabkan ramai yang sibuk pada hari itu. Resepi yang agak berat pula diketengahkan dalam buku hari Sabtu dan Ahad disebabkan ramai yang free pada hari itu dan selalunya mengadakan aktiviti bersama keluarga. Mungkin masak bersama dengan anak-anak.

Keseluruhannya, anda juga boleh mendapatkan kesemua buku ini dan setiap resepi harian tidak terhad dicuba pada hari tersebut saja. Yang penting anda ingin mencubanya. Oleh itu, chef sarankan kepada anda untuk mendapatkan set lengkap buku masakan ini.

Kepada yang memberi sokongan pada PBAKL hari itu, chef ucapkan ribuan terima kasih. Insha Allah dalam masa terdekat ini, chef  akan siapkan beberapa buah buku resepi baru keluaran PTS sebagai buah tangan terbaru untuk anda mencubanya.

Terima kasih......Chef Hussin Khan