Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Saturday, March 30, 2013

Food Styling - Sarapan Pagi.....

Assalamualaikum.....

Untuk kali ini, chef akan kongsikan sedikit sebanyak info tentang "food styling" atau dipanggil sebagai penggayaan atau menghias makanan dan minuman.

Apa yang boleh chef katakan disini, makanan dan minuman yang ingin dihidangkan itu mestilah menarik minat si yang melihat dan terus jatuh cinta untuk mencuba makanan tersebut. Bolehlah diibaratkan seperti "cinta pandang pertama".....terpandang saja, terus jatuh hati.

Itulah penangan "food styling" ini dalam merancakkan sesuatu jualan makanan dan minuman. Untuk chef, rasa adalah perkara kedua. Yang penting, bagaimana nak pancing hati pelanggan agar melangkah masuk ke dalam restoran.

Dah kena pancing, barulah rasa memainkan peranannya. Bahagian ini anda kena fokus 'betul-betul' agar hidangan yang dihidangkan menambat hati pelanggan.

Itu yang dilakukan syarikat-syarikat besar selain restoran-restoran terkemuka dalam merancakkan jualan mereka. Gambar-gambar diambil setelah digayakan oleh food stylist terpampang dimuka iklan, menu card, gambar didinding dsb selain pada pembungkus makanan dan minuman yang dihasilkan oleh kilang pemprosesan makanan.

Apa yang chef tahu, hanya untuk satu shot RM500 dikenakan. kalaulah 10 shot...kiralah sendiri. Namun, apalah sangat kos tersebut jika dibandingkan dengan keuntungan yang berlipat-lepat yang diperolehi oleh mereka. 

Untuk kali ini, chef ingin kongsikan beberapa shot gambar yang sempat chef rakamkan sendiri semasa kelas praktikal food styling pelajar-pelajar Ijazah Seni Kulinari UiTM Pulau Pinang yang dikendalikan oleh Chef Kamarul Hasni (Babas Cubits).

Chef hanya sekadar main-main aje dalam mengambil gambar-gambar ini. Sekadar melihat kebolehan chef...boleh atau idak.
                                                             






Tuesday, March 19, 2013

Jemputan Ke Demonstrasi Masakan


Assalamualaikum....

Kepada semua yang berada di Pulau Pinang ataupun negeri yang berdekatan, chef ingin menjemput anda untuk turut serta dalam demo masakan selama 45 minit - 1 jam sempena Pesta Buku Popular.

Ianya akan diadakan di Sunway Carnival Seberang Jaya pada pukul 3.00 - 4.00 Ahad (24/3/2013). Haha kalau nak dapatkan buku masakan chef dengan harga diskaun serta autograph, jemputlah datang ye.

Chef menanti kedatangan anda disana nanti. Sokongan anda amat diharapkan dalam memeriahkan lagi Pesta buku tersebut.

Jumpa disana.......

Chef Hussin Khan

Wednesday, February 6, 2013

Dunia Kulinari

Assalamualaikum kepada anda semua.

Pejam celik pejam celik, dah bulan Februari 2013. Masa berjalan dengan begitu pantas sekali.
Namun syukur umur masih dipanjangkan untuk melakukan ibadah serta aktiviti dalam mengisi masa yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t.



Pertama sekali, chef ingin memohon beribu kemaafan kepada anda semua kerana "sunyi sepi tanpa khabar dan berita". Maaf sekali lagi untuk itu. InsyaAllah, chef akan cuba luangkan masa untuk terus aktif dan akan pastikan Studio Masakan Chef Hussin tidak berkubur begitu saja. 

Sekiranya tiada khabar berita di blog ini, anda bolehlah dapatkan berita dengan membeli Majalah Aroma. Pada setiap keluaran, ada cerita menarik chef kongsikan dalam majalah tersebut yang mana ianya diterbitkan hanya sekali dalam sebulan.

Banyak cerita menarik boleh anda perolehi dari majalah tersebut tentang dunia kulinari. Blogger-blogger terkenal juga selalunya "lepak" kat sana. Tak caya....pergilah dapatkannya dengan segera.


Satu saja masalahnya....majalah ini selalunya cepat kehabisan walaupun baru berada seminggu di pasaran. Untuk chef, baguslah kalau macam itu. Ianya menunjukkan sokongan peminatnya tanpa berbelah bagi. Chef sebenarnya tumpang gembira je.

Niat chef hanya satu.....berkongsi ilmu selain merancakkan dunia masak memasak ini. Bukan bayaran yang dipinta tapi segalanya dilakukan dengan hati yang ikhlas.


Untuk kali ini, chef kongsikan beberapa gambar kenangan chef semasa chef berada di Turki untuk tatapan anda semua.

Jumpa lagi.......



Tuesday, December 11, 2012

Cuba resepi ini.....Ayam Bakar Bersos Bawang Putih

Assalamualaikum.....

Dikesempatan ini chef ingin mengucapkan semoga anda semua sentiasa sihat walfiat disamping keluarga tersayang.

Apa kata untuk kali ini, chef kongsikan satu lagi resepi yang boleh anda cuba bila ada kelapangan. Ataupun memang anda bercadang atau tercari-cari resepi ayam bakar. Ha.ha Eloklah benar...anda mencuba resepi ini.

Daripada anda makan di restoran makanan yang menghidangkan makanan 'western', apa kata anda yang menyediakan kali ini. Bolehlah makan beramai-ramai bersama keluarga atau sahabar handai.

Baiklah....chef listkan bahan-bahannya dan cara menyediakannya. Selamat mencuba....


Bahan-bahan

Bahan Perapan
1 ekor ayam (dibersihkan)
1 sudu besar serbuk cili paprika
1 sudu kecil rempah thyme
Garam dan serbuk lada sulah secukup rasa
Sedikit minyak (untuk melumur)

Bahan Sos
1 liter air
1-2 sudu besar serbuk sos perang/demiglace
1/2 biji bawang besar (bombay) - dicincang halus
5-8 ulas bawang putih - dicincang halus
Sedikit mentega/marjerin (untuk menumis)
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Roux (bahan pemekat diperbuat dari tepung dan mentega)

Cara Menyediakannya
1. Perapkan ayam dengan bahan tersebut dan rehatkan selama 1/2 jam.
2. Bakar selama 50 - 1jam pada suhu 170 - 180C.
3. Untuk sosnya, didihkan airnya dan masukkan serbuk sos  dan dipukul hingga sebati. Ketepikannya.
4. sekarang masukkan mentega dan tumis bawang putih dan bawang besar hingga sedikit layu.
5. Setelah itu, tuangkan sos perang yang telah dibancuh tadi dan biarkan ia mendidih secara perlahan.
6. Perasakan dengan garam dan serbuk lada sulah.
7. Masukkan roux sedikit demi sedikit sambil dipukul hingga pekat.
8. Tutup api dan hidangkan ayam bersama sos.

Tips: Roux disediakan dengan mencairkan mentega dan dimasukkan tepung gandum. Kacau ia sebati.

P/S: Jangan lupa membeli Majalah Aroma pada setiap bulan. Ada ruangan chef didalamnya....