Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Showing posts with label Sambal. Show all posts
Showing posts with label Sambal. Show all posts

Monday, June 14, 2010

Sambal Udang Petai & Belimbing Buluh

Bahan-bahan

500 gm Udang sederhana besar (dibersihkan)
60 gm Petai
4 biji Belimbing buluh (dibelah dua)
4 biji Bawang merah (dikisar)
4 ulas Bawang putih (dikisar)
2 sudu besar Cili giling
1 sudu besar Sos Cili
Sedikit Air asam
Secukup rasa Garam dan gula

Cara Menyediakannya

Panaskan minyak lalu tumis bawang merah, bawang putih dan cili giling hingga pecah minyak.
Masukkan sos cili dan air asam sebelum diperasakan dengan garam dan gula.
Masukkan petai dan belimbing buluh lalu dibiarkan seketika.
Akhir sekali, masukkan udang lalu digaul sebati.
Hiaslah sambal sebelum menghidangkannya.

Tips

Udang tidak perlu dimasak untuk masa yang lama dalam mengelakkannnya daripada menjadi liat dan 'bergetah'.

Sosek-Sosek Dari Dapur Chef

Inginkan menu yang ringkas dan mudah disediakan! Sekiranya anda menggemari menu berasaskan udang, cubalah menu sambal udang ini dirumah. Pastinya anda akan menyukainya selain tidak memenatkan tangan.

Masa yang diambil untuk menyediakannya hanya sekitar 15 - 20 minit jikalau ianya dibuat dari A - Z. Tapi sekiranya bahan-bahannya telah tersedia lebih awal (hari sebelumnya), mungkin anda hanya memerlukan sekitar 10 minit saja.

Hidangan yang telah siap hendaklah dihiasi terlebih dahulu sebelum menghidang. Hiaslah seringkas mungkin dan pastikan ianya tidak melibatkan kos yang mahal. Apa yang chef dapat katakan, hiasan yang dilakukan ini pastinya dapat menambat hati suami dan anak-anak untuk menjamu masakan yang anda sediakan.

Nasihat chef, selain ilmu menghiaskan diri seperti meletakkan 'foundation', berbedak dan berlipstik selain bermaskara, ilmu menghias makanan juga harus dipelajari. Hehe...suami bukan saja melihat kecantikan luaran diri anda tapi dapat juga melihat dalaman anda menerusi hidangan yang disediakan.

Selamat Mencuba......

P/S: Ringkas dan menarik dilihat dijadikan asas menghias makanan.

Sunday, June 13, 2010

Sambal Belacan


Bahan-bahan
10 biji Cili merah
3 biji Cili padi
40 gm Belacan (disangai)
Sedikit air asam jawa
Garam secukup rasa
1 biji limau kasturi

Cara Menyediakannya
Campurkan kesemua bahan di dalam lesung lalu ditumbuk hingga lumat.
Perasakan secukupnya dengan garam semasa ditumbuk.
Hidangkan sambal belacan tersebut bersama limau diatasnya.

Tips

Sambal belacan ini tidak perlu dimasak, cukuplah sekadar mencampurkan dan seterusnya ditumbuk atau dikisar.


Sosek-Sosek Dari Dapur Chef

Kesedapan sambal belacan memang tidak dapat dinafikan lagi. Emmmm sedap sambil peluh jantan mengalir deras dari dahi sesekali menitik membasahi tisu ditangan. Inilah penangan sambal belacan yang sememangnya mempunyai 'powernya' tersendiri. Sesuatu makanan yang dihidangkan, tak sah kalau tak ada sambal belacan disisi.

Pastinya menarik kalau membicarakan tentang sambal belacan ini. Sambal belacan sememangnya mempunyai ramai penggemarnya, baik yang tua hinggalah yang muda.

Maka tidak hairanlah, kanak-kanak seawal usia 5 tahun juga telah diajar makan sambal belacan. Ianya digemari dan digilai seakan-akan ketagihan terhadapnya tidak dapat dibendung lagi.

Sebarang hidangan yang dihidangkan tanpa sambal dikatakan hilang serinya selain kurang enak dimakan. Bagi penggemarnya, ianya satu kemestian dan perlu disediakan bersama hidangan lain pada setiap kali makan.

Bagi diri chef, sambal belacan bukanlah satu kemestian dan selalunya diambil pada masa tertentu sahaja. Bukannya apa, chef tidak begitu gemar memakan makanan yang pedas yang boleh menyebabkan pedih di ulu hati.

Chef agak cerewet memilih sambal dan hanya mengambil sambal yang mempunyai lebih rasa masam dan manis berbanding sambal yang mengandungi cili semata-mata. Satu yang chef tidak begitu gemar adalah rasa sambal belacan yang tidak konsisten yang biasa dihidangkan di warung atau restoran. Hari ini lain, esok lain pulak rasa yang dihasilkan.

Untuk pengetahuan semua, chef bukanlah penggemar fanatiknya. Namun kalau ianya menepati citarasa,pasti chef akan menjadi pelanggan setia restoran atau warung tersebut.

Inilah yang membuatkan chef selalu mengunjungi sebuah warung usang yang terletak di tepi sungai di Permatang Pauh. Kekuatan produk seperti inilah yang perlu ditonjolkan untuk menarik peminat.

Tapi jangan lupa kesedapan makanan sebenarnya agak subjektif. Bagi mereka yang sukakan rasa pedas, pedas bagi mereka adalah sedap. Ada yang dilihat suka mengambil atau memakan cili padi mentah-mentah. Siap dicolek pula dengan sambal belacan. Tak faham betul chef dengan orang sebegini. Yang pasti, itu adalah citarasa masing-masing. Apapun, ambillah ia dalam kuantiti yang sederhana.

Sambal belacan sememangnya mudah disediakan. Malah ada syarikat yang telah mengkomersialkan sambal belacan ini buat penggemarnya. Kalau dilihat pada penyediaannya, terdapat juga sambal belacan yang dimasak terlebih dahulu sebelum dimakan.

Apapun cara penyediannya, rasa enak sambal belacan sebenarnya terletak pada kekuatan belacan yang digunakan. Rasa dan bau 'busuknya' memainkan peranan dalam menaikkan selera makan selain kepedasan cili yang sememangnya menajamkan lagi rasanya.

Kuantiti belacan yang digunakan setelah ianya disangai menjadi senjata dalam menghasilkan sambal yang sedap. Ada juga yang memasukkan air asam dan limau selain gula dalam menyeimbangkan rasanya.

Betik Muda Rebus


Bahan-bahan

1 biji Betik Muda(dipotong kecil)
3 biji Cili Padi(diketuk)
1 helai Daun Kunyit (dihiris/dikoyakkan)
2 biji Bawang Merah (dihiris nipis)
1 liter Air (untuk merebus)
Garam secukup rasa

Cara Menyediakannya

Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk lalu direbus hingga betik masak dan lembut.
Tutupkan api setelah betik lembut.
Sebelum menghidang, hiaslah ia mengikut kreativiti masing-masing.

Tips

Betik muda rebus ini sesuai dihidangkan bersama nasi sebagai bahan 'pencolek' sambal belacan. Ianya mudah disediakan selain amat berkhasiat dalam menyumbang nutrien yang diperlukan oleh badan.