Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Monday, February 21, 2011

Dapatkan buku masakan secara esklusif dari saya

Assalamualaikum dan apa khabar semua.....

Ini adalah tajuk buku masakan chef keluaran PTS Millenia Sdn Bhd.

1. Sarapan Pagi & Minum Petang
2. Makan Tengahari & Makan Malam

Syukur alhamdulillah....kedua-dua buku masakan chef telah pun berada di pasaran. Kini ianya hanya menunggu anda untuk mendapatkannya. Konsep makanan sihat dan berkhasiat menjadi pilihan chef dalam menghasilkannya selain menekankan teknik "food stylist" dalam setiap menu yang disediakan.

Panduan nutrisi pemakanan juga disediakan bagi anda yang menekankan konsep gaya hidup sihat. Berbagai pilihan menu boleh dicuba, seiring dengan keperluan nutrisi pemakanan harian anda.

Menu ringkas yang disediakan hanya memerlukan bahan-bahan asas yang boleh didapati dengan mudah. Untuk tidak memeningkan fikiran, langkah demi langkah penyediaan juga disediakan melalui gambar yang diambil untuk memudahkan proses memasak anda.

Secara tidak langsung, kini anda bergelar sebagai "Chef" atau "Iron chef" dapur kesayangan anda. Pastinya kebolehan menyediakan menu tersebut memukau hati sesiapa saja yang merasa air tangan anda.

Terdapat 45 resepi ringkas dimuatkan dalam setiap buku yang terdiri daripada masakan Melayu, India, Cina dan Barat. Kesemua menu ini telah chef olah menjadi satu menu yang berkonsepkan 1Malaysia. Apa yang pasti, ianya cukup mudah untuk disediakan tanpa perlu mengerah tenaga yang banyak untuk menyediakannya.

Bagi anda yang sibuk dan juga yang baru berjinak-jinak dengan masakan, eloklah benar kalau mendapatkan buku masakan ini. Anda pasti akan teruja dengan hasil yang akan anda sediakan. Tak caya...cubalah.

Kini, ianya boleh didapati di kedai-kedai buku terpilih di seluruh Malaysia dengan harga RM 15 senaskah (beli satu, dapat satu ya) ataupun melalui pos yang berharga RM 22 senaskah (termasuk caj penghantaran) beserta tandatangan esklusif (sekiranya mahu...hehe).

Jika ingin membeli melalui pos, bank in atau transfer bayaran ke akaun Maybank chef iaitu 162450130191 dan emailkan kepada chef salinan resit pembayaran ke Huskha75@gmail.com atau faxkan ke 043823681.






Saturday, February 19, 2011

Pai Epal Bersos Strawberi

Assalamualaikum dan apa khabar.

Untuk kali ini, chef bawakan hidangan pencuci mulut yang mana pastinya akan menaikkan mood anda hujung-hujung minggu sebegini. Apa kata anda cuba resepi 'Pai epal" pulak. Ianya mudah disediakan selain hanya menggunakan beberapa bahan sahaja selain mudah didapati. Chef berharap agar anda dapat mencubanya dalam menceriakan hidup keluarga anda. 

Selamat mencuba.....chow chi chow.....

Bahan-bahan
Bahan A (Intinya)
-          5 biji epal hijau (dihiris nipis)
-          100 gm gula
-          2 sudu makan jus lemon
-          Sedikit air

Bahan B (Dohnya)
-          250 gm tepung gandum
-          125 gm mentega
-          Secubit garam
-          Air secukupnya

Cara Membuat
1.       Untuk menghasilkan intinya, panaskan gula bersama sedikit air hingga cair dan pekat.
2.       Masukkan epal dan masak ia hingga sedikit layu.
3.       Masukkan jus lemon lalu digaul sebelum disejukkan.
4.       Untuk kulitnya, campurkan kesemua bahan lalu digaul hingga menjadi doh dan rehatkan di dalam peti sejuk.
5.       Ambil sedikit doh lalu diuli sederhana tebal lalu dimasukkan ke dalam piring pai.
6.       Ambil garpu lalu ditekan ia sebelum dibakar selama 10 minit di dalam ketuhar.
7.       Keluarkan piring pai dan masukkan inti epal kedalamnya sebelum ditutup dengan lebihan doh yang diuli sederhana tebal.
8.       Sapukan pai dengan kuning telur dan bakar hingga masak atau bakar ia selama 30 – 35 minit (bergantung kepada saiz pai).
9.       Setelah masak, hidangkanlah pai bersama sos strawberi dan hirisan buah-buahan.

Tips

1.       Inti pai segera juga boleh digunakan dan boleh didapati dikebanyakan pasaraya.
2.   Hidangkan pai bersama sos strawberi yang boleh didapati dipasaraya.

Saturday, February 12, 2011

Sukakan Coleslaw. Chef ada cara untuk menghasilkan coleslaw yang sedap.

Assalamualaikum semua.

Apa khabar anda pada hujung-hujung begini. Tentu anda ada bermacam-macam perancangan dan agenda untuk diuruskan. Tak gitu. Maklumlah waktu inilah banyak kenduri kendara diadakan. Tidak kurang ada juga yang pindah rumah baru. Apa jua urusan yang ingin anda lakukan, semoga ianya dapat disempurnakan dengan sebaiknya.

Untuk post kali ini, chef ingin berkongsi dengan anda tips menghasilkan 'coleslaw' yang enak untuk dimakan. Ramai yang berpendapat, menghasilkan coleslaw hanyalah sekadar mencampurkan sayur kobis dengan mayonis. Namun setelah dinikmati, rasanya adalah berbeza sama sekali dengan coleslaw yang biasa dimakan di 'fast food' ataupun di restoran hotel.

Pada pendapat chef, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya sayur kobis terus dicampurkan dengan mayonis. Tetapi ada proses dan bahan yang digunakan sebelum proses itu. Ini dilakukan untuk menghasilkan tekstur sayur yang lebih disukai. Rahsianya ialah.......

Apa yang perlu dilakukan ialah sayur kobis yang telah dihiris halus hendaklah digaulkan dengan cuka dan gula. Kuantiti cuka yang digunakan cukuplah sekadar kena pada semua hirisan tadi selain memberi rasa masam pada sayur. Kuantiti gula pula biarlah lebih....mungkin segenggam gula. Ini secara langsung dapat memberi rasa manis yang dikehendaki pada sayur kobis.

Fungsi utama kedua-dua bahan ini adalah untuk melembutkan tekstur sayur tersebut agar menjadi lembut selain rasa. Inilah rahsia yang mana ramai orang tidak mengetahui. Secara tidak langsung, serat sayur yang sememangnya liat atau 'crunchy' dapat dilembutkan. Masukkan juga sedikit hirisan karot agar coleslaw anda nampak menarik.

Setelah campuran tersebut direhatkan selama 20 - 30 minit, perah keluar cuka yang dimasukkan tadi. Ini bagi mengelakkan coleslaw anda berair setelah ianya dicampurkan dengan mayonis kelak. Setelah itu, barulah dimasukkan bawang yang telah dicincang kasar dan juga mayonis. Perasakan dengan garam secukupnya dan gaulkan ia agar menjadi sebati.

Coleslaw seboleh-bolehnya dihidangkan sejuk. Barulah rasanya lebih mengancam. Kebiasaannya coleslaw dihidangkan bersama fish n chips, ayam bersalut serbuk roti dan apa saja makanan yang anda gemari. Ianya juga boleh dimakan begitu saja.

Selamat mencuba.......

P/S: Bersama kawan2 mempromosikan buku masakan chef yang telah pun berada dipasaran.

Sunday, February 6, 2011

Udang Goreng Tempura

Untuk post kali ini, chef ingin berkongsi dengan anda resepi udang yang mana ianya mudah disediakan pada bila-bila masa. Apa yang penting, kena ke pasar cari udang. Udang yang hendak dibeli itu mestilah bersaiz sederhana besar. Kalau saiz yang kecik, ianya tak berapa sesuai untuk menghasilkan menu ini. 

Hidangan yang chef sediakan ini sebenarnya sesuai dihidangkan di parti-parti koktel atau sebarang jenis majlis yang ingin anda adakan. Tak kurang juga, ianya sesuai dihidangkan sebagai makanan untuk minum petang. Untuk itu, chef berharap anda dapat mencubanya.........chow chi chow.

Untuk menyediakan menu ini, bancuhan tepung perlu disiapkan terlebih dulu dengan menggunakan bahan seperti tepung tempura, telur, garam dan serbuk lada secukup rasa selain air secukupnya. Gaulkannya ia agar sebati (tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair).

Udang yang hendak digunakan mestilah dibuang kulit dan "tali perut", hanya tinggalkan ekornya. Udang ini juga perlu diperap dengan sedikit serbuk cili, garam dan serbuk lada putih. Boleh juga dimasukkan jus lemon atau limau.

Panaskan minyak. Celup udang ke dalam bancuhan tepung tadi lalu goreng udang hingga kuning keemasan.
Toskan minyak dan hidangkannya dengan sos "pranom'....sos cili Thai.

Sebelum mengundur diri, chef letak kat sini info lanjut tentang buku chef di portal PTS.
http://pts.com.my/index.php/berita/chef-husin-hasil-resipi-sihat-dalam-gaya-menarik/

Friday, February 4, 2011

Sos Yang Mudah Disediakan Dengan Mayones

Untuk post kali ini, chef akan berkongsi dengan anda cara untuk menghasilkan sos yang mudah hanya dengan menggabungkan beberapa bahan yang ada di dapur kita. Sebelum itu, bagaimana dengan percubaan pertama anda untuk menghasilkan mayones sendiri? Chef yakin tentu anda dapat menghasilkannya.

Kalau ianya tidak menjadi, tidak mengapa. Ini hanya percubaan pertama. Anda boleh mencubanya lagi. Jangan putus asa!!!. Ada juga pelajar chef yang masih terkial-kial menghasilkan mayones ini walaupun telah ditunjukkan caranya didepan mata. Namun, apabila dicuba dan dicuba lagi, akhirnya mayones yang 'perfect' dapat dihasilkannya. Yang penting anda perlu mengetahui bahan dan cara untuk menghasilkannya. Susah-susah sangat beli saje mayones di kedai tu..haha...tak gitu.

Baiklah, chef ingin kongsikan dengan anda cara menghasilkan sos koktel. Mungkin ada yang telah mengetahui cara untuk menghasilkannya, namun ramai juga yang tidak mengetahui. Bahan seperti sos cili, sos tomato, jus lemon atau oren dan mayones diperlukan. Caranya cukup mudah, hanya dengan mencampurkan kesemua bahan tersebut dan digaulkan agar sebati.

Apa yang chef dapat katakan, sos tomato yang hendak dimasukkan mestilah separuh daripada sos cili yang hendak digunakan. Rasa masam sos tomato akan merencatkan keenakkan sos selain peratusan tomato yang tinggi boleh diperolehi daripada sos cili. Untuk itu, kurangkan penggunaan sos tomato dalam penghasilan sos koktel ini.

Di sini chef sertakan bahan-bahan sos untuk anda cuba dalam kuantiti kecil. Sekiranya ingin menghasilkan dalam kuantiti besar, apa yang perlu anda lakukan hanya menggandakannya mengikut kuantiti yang diberikan.

Kuantiti yang chef berikan ini adalah kuantiti anggaran yang difikirkan sesuai untuk menghasilkan sos koktel.

3 sudu sos cili
1 sudu sos tomato
3 sudu mayones
1 sudu jus oren atau lemon

Warna sos yang terhasil mestilah seakan-akan warna 'merah bandung' (tidak terlalu kemerahan dan tidak terlalu putih).Namun begitu, anda boleh melakukan 'adjustment' mengikut citarasa masing-masing. Apa yang penting, rasa sos mestilah sedap (mempunyai masam, manis, sedikit pedas, masin) untuk dimakan.

Tranggg....kini sos koktel telah pun anda siapkan. Boleh dimakan dengan apa saja makanan seperti nuget, sosej, keropok, drumet dan sebagainya. Sesuai juga kalau dicampurkan atau 'tossing' dengan salad berdaun. Untuk yang berdiet, bolehlah amalkan makan salad berdaun yang digaulkan bersama sos koktel.

Untuk keterangan lanjut tentang salad dan bermacam sosnya, tunggu kemunculan buku masakan chef berjudul Salad Buah & Sayur yang akan berada di pasaran pada April ini bersama buku yang berjudul Pembuka Selera. Langkah demi langkah penghasilan salad dan sosnya ada dimuatkan untuk anda.

Selamat Mencuba.....

Wednesday, February 2, 2011

Menghasilkan Mayones Sendiri

Untuk post kali ini, chef ingin berkongsi dengan anda tips untuk menghasilkan mayones sendiri. Anda hanya memerlukan beberapa jenis bahan saja untuk menghasilkannya. Yang pasti, kuning telur selain minyak  digunakan untuk menghasilkannya.

Apa yang perlu anda lakukan ialah pukul kuning telur bersama sedikit mustard (dijon) hingga kembang dan 'creamy'. Bagi yang tidak mengetahui apa itu mustard, ianya berwarna kuning dan dalam bentuk separuh cecair. Kebiasaannya mustard ni dihidangkan bersama sos cili dan tomato dalam hidangan seperti hotdog dalam filem2 barat tu. Ha tentu anda ingat bukan.

Ok kita sambung proses seterusnya. Setelah ianya dipukul kembang, minyak jagung hendaklah dimasukkan sedikit demi sedikit sambil dipukul berulangkali. Kadang-kadang lenguh dibuatnya tangan apabila menyediakan mayones ini. Kalau tak larat, mesin pemukul atau 'mixer' boleh anda gunakan.

Penghasilan mayones diakhiri dengan memasukkan jus lemon atau limau selain diperasakan dengan garam, serbuk lada putih dan juga gula. Chef saja memasukkan gula kerana mayones yang dikomersial memang mengandungi gula selain bahan-bahan pengawet. Kalau semasa chef mengajar di fakulti, memang jarang sekali chef memasukkan gula.

Sekiranya mayones menjadi pekat semasa memukul, air suam boleh dimasukkan untuk mengurangkan kepekatannya. Yang penting apa jua bahan yang dimasukkan, mayones haruslah dipukul agar bahannya menjadi sebati.

Apabila memperkatakan tentang minyak, minyak jagung adalah minyak yang paling sesuai digunakan kerana ianya tidak begitu berbau berbanding minyak kelapa sawit. Namun begitu, minyak kelapa sawit banyak digunakan dalam penghasilan mayones secara komersial selain ianya murah.

Kini mayones yang anda idam-idamkan telah dapat dihasilkan. Dengan menggunakan mayones ini, anda boleh menghasilkannya sos lain seperti Sos 1000 Pulau, Sos Koktel, Sos Tartar dan lain-lain lagi. Mungkin dalam post-post akan datang chef akan terangkan bagaimana untuk menghasilkannya.

Sebelum mengakhiri post kali ini, chef sertakan info terkini tentang buku chef di portal PTS. Sebenarnya dua buah buku chef akan berada serentak di pasaran selepas raya cina.  Chef berharap agar buku-buku ini boleh dijadikan sebagai panduan serta inspirasi dalam menyediakan hidangan berkhasiat untuk keluarga tersayang.
http://pts.com.my/index.php/berita/chef-husin-hasil-resipi-sihat-dalam-gaya-menarik/