Salam sejahtera kepada semua pembaca.
Sedar tidak sedar, sudah dua minggu umat Islam berpuasa. Bagaimanakah ibadat puasa anda setakat ini?
Syukur alhamdulillah, anda dapat melaluinya dengan penuh kesabaran walaupun pelbagai dugaan datang tanpa disedari.
Untuk tulisan kali ini, chef masih lagi ingin membicarakan tentang makan. Siapa yang tidak suka makan?
Bagi diri chef, ‘makan’ merupakan satu perkara atau perbuatan yang sungguh menyeronokkan. Mana tidaknya, apabila perut kenyang pasti kita suka hati.
Chef biasanya akan ‘jalan-jalan cari makan’ dan banyak tempat baru chef kunjungi untuk merasai nikmat makan ini. Ianya sungguh mengasyikkan selain dapat merasai suasana persekitaran semasa menjamu selera.
Seperti yang kita sedia maklum, makan merupakan satu perbuatan yang biasa kita lakukan untuk memenuhi kehendak tubuh dalam melangsungkan hidup ini. Selagi kita hidup selagi itulah perbuatan ini dilakukan. Maka tidak hairanlah ada sesetengah bijak pandai mengatakan “kita adalah daripada apa yang kita makan”.
Apabila memperkatakan tentang makan, ia merupakan satu perkara yang cukup ‘subjektif’ untuk difahami. Ditambah pula kalau ianya melibatkan kehendak dan citarasa orang ramai.
Sesungguhnya makan adalah keperluan namun kehendak seseorang terhadap makan adalah berbeza sama sekali.
Setiap orang ada citarasa masing-masing dan kehendak mereka juga berlainan dengan yang lain. Ditambah pula dengan pelbagai faktor seperti umur, jantina, bangsa, pendapatan, tahap kesihatan dan lain-lain yang membezakan keinginan seseorang itu.
Disebabkan itu kita dapat lihat pada hari ini wujudnya kepelbagaian dalam makanan dalam memenuhi citarasa dan kehendak setiap individu.
Ada orang suka memakan makanan yang pedas. Bagi dirinya, makanan pedas adalah sedap. Kebiasaannya orang seperti ini suka memakan cili padi secara mentah dalam kuantiti yang banyak seperti amalan memakan ‘ulam’.
Samalah juga bagi orang yang suka memakan makanan yang masam, masin dan manis. Masing-masing mempunyai ‘definasi’ kesedapannya tersendiri.
Untuk itu, eloklah juga rasanya kalau kita dapat membicarakan tentang apa untuk dimakan. Lebih-lebih lagi ketika bersahur.
Bersahur merupakan salah satu amalan yang diamalkan oleh Rasullullah s.a.w setelah wahyu diturunkan dalam membezakan amalan puasa orang Islam dengan amalan puasa golongan ahli kitab iaitu orang-orang Yahudi Nasrani.
Sesungguhnya amalan bersahur mempunyai keistimewaannya tersendiri dan saling berkait rapat dengan amalan puasa kita. Kita disarankan agar melaksanakan amalan ini walaupun hanya dengan seteguk air untuk memperolehi keberkatannya.
Dengan bersahur, tubuh akan mendapat tenaga yang diperlukan dalam menempuhi puasa di siang hari. Diri tidak mudah penat selain terasa lapar di pertengahan jalan sebelum azan Maghrib berkumandang.
Kalau tentang makan semasa berbuka, pastinya ramai di antara kita tidak menghadapi masalah dalam memikirkan makanan apa yang ingin dimakan. Maklumlah banyak gerai-gerai makanan dibuka di pasar Ramadan yang dapat memenuhi citarasa anda semasa berbuka.
Bagi ibu-ibu yang suka memasak, mereka juga mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakannya makanan yang diingini untuk berbuka.
Namun begitu, apabila berkata tentang bersahur pastinya ramai di antara anda ‘buntu’ dalam memikirkan makanan yang ingin disediakan untuk dimakan. Maka tidak hairanlah, lebihan makanan semasa berbuka akan disimpan, dipanaskan dan dimakan semasa bersahur.
Pada waktu ini jugalah, ada di antara kita terasa ‘berat’ untuk bangun dari tidur selain perut masih tidak selesa untuk menerima makanan ‘baru’ disebabkan kekenyangan.
Faktor bangun dari tidur selain ‘masa yang singkat’ juga menyebabkan ibu-ibu tidak sempat berbuat apa-apa, hanya cukup untuk memanaskan lauk yang ada.
Eloklah kiranya chef berkongsi tips masakan sekiranya anda ingin menyediakan makanan untuk bersahur. Makanan ‘segar’ yang anda sediakan pasti akan merangsang ‘mood’ selain nafsu makan ahli keluarga anda.
Sebenarnya memasak itu mudah tapi ada syaratnya. Nak tahu apa syaratnya? ‘Mise-en place’ perlu disiapkan dulu. Inilah rahsia kepada cepatnya sesuatu hidangan dapat disediakan. Maka tidak hairanlah, kebanyakan chef dapat menyediakan pelbagai hidangan serentak dalam masa yang ditetapkan.
‘Mise-en place’ atau penyediaan sebelum memasak seperti memotong, menghiris, mengupas, memerap, mengisar perlu disiapkan awal dan disimpan untuk proses seterusnya. Setelah bahan-bahannya tersedia, barulah masakan ‘segar’ dapat dihasilkan pada waktu yang dikehendaki.
Kuantiti hidangan yang hendak disediakan juga perlu dititikberatkan agar masa memasak dapat disingkatkan selain mengelakkan pembaziran.
Kepada anda, cubalah sediakan menu yang mudah yang hanya melibatkan proses menumis dan menggoreng sahaja. Saranan chef, cukuplah setakat menyediakan satu atau dua hidangan utama yang terdiri daripada daging selain menu sayuran dan sup.
Contoh menu yang boleh dicuba adalah seperti ayam masak kunyit, ayam padprik, sambal udang dan petai, daging masak hijau, ayam goreng berempah, sayur campur dan sebagainya. Apa yang chef boleh katakan, masa yang diambil hanya kurang dari 15 minit.
Hidangan sup seperti sup ayam, sup sayuran, tomyam putih, tomyam merah, pindang dan sebagainya juga boleh anda cuba. Ini kerana masa untuk menyediakannya juga singkat dan hanya melibatkan proses mendidih sahaja.
Menu bubur nasi juga sesuai disediakan sebagai menu alternatif ketika bersahur kerana ianya lebih mudah dihadam selain menyumbang peratusan air yang banyak untuk badan.
Bahan atau ‘filling’ untuk sup nasi boleh dipelbagaikan mengikut citarasa masing-masing dengan memasukkan ikan bilis goreng, isi ayam, hirisan daging, isi ikan, bebola sotong dan sebagainya.
Selain itu, cubalah menyediakan menu ‘goreng-gorengan’ seperti mi goreng, bihun goreng, keow teow goreng, soo hoon goreng, nasi goreng dan sebagainya yang mana ianya lebih mudah disediakan.
Kalau inginkan sesuatu yang cukup ringan, cubalah ‘sandwich’ yang boleh disiapkan lebih awal dan disejukkan di dalam peti sejuk. Sandwich tuna, sardin, telur mayonis, keju adalah di antara sandwich yang boleh dicuba.
Produk sejuk beku seperti samosa, popiah, ‘drumet’ ayam, roti canai dan sebagainya juga boleh disediakan sebagai juadah tambahan kepada juadah yang sedia ada.
Apa saja juadah yang ingin anda sediakan, kesederhanaan dalam penyediaaan perlu diamalkan untuk mengelakkan sebarang pembaziran.
Menu yang diberikan ini hanya sebahagian daripada beratus menu yang boleh anda cuba. Yang penting, perancangan menu perlu ada selain kena pada citarasa anda dan ahli keluarga.
Selamat bersahur dan jumpa lagi.
Chef Hussin
No comments:
Post a Comment