Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Saturday, August 7, 2010

Ramadan Kembali Lagi

Pejam celik pejam celik....Ramadan yang telah lama berlalu meninggalkan kita, kini kembali semula untuk dihayati. Kesyukuran yang tak terhingga dilafazkan kerana usia dipanjangkan untuk merasai nikmatnya lagi.

Bulan yang penuh keberkatan dan keampunan menjelma buat yang ingin memanfaatkannya. Sesungguhnya terlalu banyak nikmat yang disediakan olehNya demi kesejahteraan hambaNya sebagai bekalan hari kelak.

Dengar saja nak berpuasa, pasti ada yang mengeluh. Mana tidaknya, untuk sebulan perut terpaksa diikat menahan lapar dan dahaga. Air kosong yang jarang diminum pun, terasa amat 'sedap' ketika berpuasa. Puasa dianggap menyusahkan bagi sesetengah golongan yang mempunyai iman yang lemah.

Untuk 'post' kali ini, chef bukannya ingin membincangkan siapa yang tidak berpuasa dan siapa yang berpuasa. Apa yang chef boleh katakan, berpuasa di bulan Ramadan adalah perkara wajib yang telah ditentukan oleh Allah untuk hambaNya yang bergelar Muslim. Siapa yang buat dia dapat manfaatnya, selain pahala yang tak terhingga banyaknya. Tiang agama juga dapat ditegakkan.

Chef sebagai seorang yang akan menyambutnya pasti menunggunya dengan penuh kesabaran selain gembira dapat menempuhinya. Inilah dikatakan hari raya bagi orang Islam. Raya dalam raya....tak gitu!!. Mana tidaknya, selepas sebulan berpuasa kita akan menyambut Hari Raya pula.

Emmm!!! Bagaimana pula dengan persiapan kita dalam menyambut bulan yang mulia ini. Seelok-eloknya segala persiapan hendaklah dirancang awal agar perjalanan puasa kita berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Keperluan dapur seperti beras, bawang, gula, garam, teh, kopi dan sebagainya perlulah dibeli awal.

Maklumlah berpuasa katakan....bermacam-macam dugaan perlu ditempuhi. Dugaan menahan diri daripada makan, minum selain mata juga perlu dijaga agar pahala puasa tidak berkurangan.

Kena pula 'time itu' barang-barang keperluan dapur habis gara-gara tidak dirancang dengan teliti. Nak tak nak, terpaksalah pergi 'shopping' di siang hari. Waktu malam tidak boleh diusik kerana dikhaskan untuk beribadat.

Faham-faham sajalah waktu itu!! yang pasti pelbagai alasan akan diberikan. Badan terasa penatlah ...itulah, inilah. Mata juga terpaksa dijaga dengan pandangan ditundukkan daripada melihat 'amoi-amoi' seksi yang menjadi jurujual sesebuah pasaraya itu. Kalau tak, pasti 'lebuh' segala pahala untuk hari itu.

Amalan menyediakan keperluan ini pada kebiasaannya diamalkan oleh keluarga yang mempunyai ahli yang ramai. Mereka lebih suka menyediakan makanan sendiri dan jarang sekali membeli makanan dari luar. Kalau ada pun setakat membeli kuih muih sebagai tambahan kepada juadah yang sedia ada.

Bagi diri chef, ini lebih menjimatkan selain kualiti dari segi kebersihan makanan dapat dipelihara. Tambahan pula harga barang yang tidak menentu diluar sana sedikit sebanyak pasti mendorong kepada kenaikan harga makanan dan minuman yang dijual.

Berlainan pula bagi sesetengah golongan yang lain. Bulan puasalah bulan di mana keperluan rumah dapat dikurangkan. Maklumlah, makanan dan minuman tidak perlu disediakan. Semua yang dikehendaki, hanya dibeli dari pasar-pasar Ramadan yang sememangnya menyediakan pelbagai pilihan untuk dicuba.

Pada kebiasaannya golongan yang bekerja selain mempunyai seorang dua anak ini, lebih suka membeli makanan dan minuman dari luar. Ini lebih menjimatkan selain tidak perlu risau tentang persiapannya. Hanya sesekali pada hujung minggu, dapur akan berasap dalam menyediakan makanan yang diingini.

Bagi golongan yang memegang status 'bujang', tidak perlulah chef ceritakan dengan panjang lebar. Kalau tak beli nasi bungkus pun, selalunya restoran atau warunglah yang akan menjadi destinasi pilihan untuk mereka berbuka puasa.

Maka tidak hairanlah, restoran-restoran sentiasa penuh sesak walaupun dibulan Ramadan. Yang pasti, senyuman tauke-tauke restoran semakin lebar gara-gara kehadiran pengunjung yang ramai dalam memeriahkan lagi suasana restoran.

Bercerita tentang kemeriahan, 'tak sah' kalau tiada buah kurma disediakan sebagai juadah berbuka. Maka tidak hairanlah, pelbagai iklan buah kurma ditayangkan dalam memeriahkan lagi bulan puasa. Antara yang 'famous' ialah Yusof Taiyoob. Saban hari iklan itu kelihatan bersiaran dan semakin rancak dari hari ke hari menjelang tibanya bulan berkat ini.

Di merata tempat boleh dilihat kurma dijual dengan banyaknya dalam menghidupkan suasana Ramadan. Bagi chef, kurma perkara yang wajib untuk diambil semasa berbuka. Kalau tidak ada kurma, seakan-akan ada benda yang tidak 'complete'. Chef mengambilnya kerana keberkatan selain khasiatnya.

Ada sekali ketika chef berjalan-jalan di salah sebuah pasar raya di Seberang Jaya, pandangan chef terarah kepada satu replika patung yang sememangnya menarik minat chef untuk mendekatinya.

"Besarnya patung unta ini" kata chef dalam hati selain kagum dengan promosi yang dijalankan oleh pasaraya tersebut. Patung unta diletakkan sebagai 'centerpiece' untuk memikat hati muslimin dan muslimat agar membeli buah kurma yang ditawarkan.

Bahang kehangatan bulan puasa begitu terasa gara-gara suasana yang ditimbulkan. Bahang Aidilfitri juga turut diselitkan pada ketika itu walaupun bulan puasa masih jauh untuk ditempuhi.

Apa yang pasti, keseronokan berpuasa dihangatkan lagi dengan pelbagai juadah yang disediakan di kebanyakan pasar Ramadan. Selain menjadi sumber rezeki bagi peniaga, ianya juga memberi pelbagai pilihan untuk orang ramai mencubanya.

Menu-menu seperti nasi lemak ayam berempah, nasi tomato, ikan bakar, apam balik, laksa, ayam percik, susu soya pasti menjadi pilihan dan menghiasi kebanyakan gerai jualan. Selain daripada itu, makanan yang jarang ditemui juga boleh diperolehi di bulan ini.

Walauapapun yang anda lakukan, chef menyarankan agar nur Ramadan dipelihara. Kesederhanaan dalam berbelanja iaitu dalam soal menjamu selera perlu ada batasannya agar tidak lari dari objektif kita berpuasa. Kalau perut terlalu kenyang, pasti ianya akan mengundang masalah tatkala hendak mendirikan solat terawih.

Pada kebiasaannya, chef hanya berbuka puasa dengan buah kurma selain disulam dengan beberapa jenis kuih muih seperti kuih karipap, kuih lapis dan disudahi dengan air soya.

Ini dilakukan dalam mengurangkan tekanan pada perut. Perut yang turut 'berpuasa' sepanjang hari, tidak boleh dibebankan dengan makanan yang banyak. Pasti bebanan serta tekanan yang diberikan mendatangkan masalah pada perut. Maka tidak hairanlah kalau perut sakit dan memulas-mulas ketika solat terawih didirikan.

Seperkara lagi yang ingin chef sentuh di sini adalah tentang kemeriahan 'moreh' yang diadakan di masjid atau surau. Kalau di kampung, suasananya lebih meriah berbanding di bandar.

Semasa chef masih kecil, chef lebih suka berbuka puasa di surau kampung. Maklumlah pelbagai hidangan lauk pauk dapat dirasa dan ianya tidak terhenti di situ saja. Selesai saja solat terawih ada pula makanan lain yang akan dijamu. Kembung perut dibuatnya dengan rezeki yang melimpah ruah ini.

Proses penggiliran dalam penyediaan makanan iaitu secara sukarela diamalkan oleh ahli kariah kampung dan dibantu oleh ahli kariah taman yang berjiranan. Yang pasti menu berlainan dihidangkan.

Apapun menu yang dihidangkan, menu seperti ayam masak merah, sambal tumis ikan bilis, pajeri nenas, sambal belacan, ikan masin, ikan pekasam selain jelatah menjadi pilihan chef. Terliur chef dibuatnya apabila teringatkan makanan ini.

Kemeriahan yang chef rasai semasa kecil, dilihat semakin hari semakin menghilang gara-gara kesibukan manusia dengan urusan dunia semata-mata. Kemeriahan ini dapat dikembalikan sekiranya setiap orang daripada kita dapat meluangkan masa untuk memasyurkan rumah Allah selain terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan.

Amalan gotong royong yang diamalkan sebelum bermulanya sesuatu Ramadan adalah antara contoh terbaik yang diamalkan dari dulu lagi dalam memperaratkan silaturahim antara ahli kariah.

Sesuatu yang bermula pasti akan berakhir. Kedatangannya membawa rahmat bagi yang ingin memanfaatkan. Rugilah kalau kesempatan yang terluang ini tidak digunakan sebaik mungkin.

Akhir kata, sambutlah Ramadan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan.

Selamat Berpuasa.

Chef Hussin

No comments:

Post a Comment