Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Thursday, January 26, 2012

Mencari Ilham Untuk Buku Masakan Baru

Assalamualaikum...

Apa khabar semua.

Bagi diri chef, masih macam biasa...sihat walfiat. Buat masani chef taklah sesibuk mana. Maklumlah tiada apa-apa offer buat masani setelah chef tolak offer yg datang.

Bukannya chef tak nak ambil offer tu. Tapi disebabkan baru pindah rumah....chef terpaksalah tolak. Maklumlah tiada jiran di kiri kanan. Takut nak tinggalkan keluarga macam tu je. Maklumlah kejadian samun, pecah rumah dan berbagai-bagai kes semakin menjadi jadi di merata tempat.

InsyaAllah, next time kalau ada offer....pasti chef akan terima. Offer hari itu pun menarik juga, tapi shootingnya diadakan di negara India untuk rancangan Menu Alam di TV Al-Hijrah.

Rancangan ini dah pun masuk musim ke-4. Sepatutnya chef menggantikan Chef Iskandar yang telah 3 musim menjayakan rancangan berbentuk travelog masak2 di negeri orang.

Untuk kali ini, TV Al Hijrah nak tukar citarasa untuk explore negara luar. Maklumlah sebelum ini kebanyakan segmen memaparkan tempat-tempat menarik dalam negeri. So jangan lupa saksikannya k. Tak pasti siapa chefnya. Apapun, harap anda menyokongnya.

Buat masani chef tumpukan penglibatan chef terhadap penghasilan buku masakan keluaran PTS. Sememangnya dengan PTS. Kenapa chef berkata demikian. Disinilah bakat chef mula dikembangkan dan PTS lah yang sudi menerima chef untuk menghasilkan buku. PTS menyediakan platfom untuk chef berkarya.

Disebabkan itu, segala keutamaan akan chef berikan kepada PTS walaupun ada offer dari syarikat lain. Jasa PTS terhadap chef sukar dibalas.

Berbalik kepada topik yang ingin dibicarakan, sebenarnya dalam masa terdekat ni chef akan cuba hasilkan beberapa buah buku masakan lagi. Buat masani, ianya masih dalam peringkat "draft resepi" iaitu proses mencipta resepi.

Mungkin untuk kali ini, chef akan hasilkan buku yang murah harganya. Apapun ianya bergantung kepada penerbit. Haha...bab ini biarlah mereka yang memikirkan berapa harga yang sesuai untuk diletakkan. Begitu juga dengan konsep dan sebagainya.

Nak tahu topik buku masakan? yang ini terpaksalah chef rahsiakan dahulu. Kalau dah cerita, tak trilll lah pulak. Apapun, chef mengharapkan sokongan dari anda untuk terus menyokong chef. InsyaAllah, dah keluar nanti...chef akan war-warkan.

Semoga berjumpa lagi.....salam ikhlas dari chef khas buat anda semua.

P/S: Chef sertakan beberapa keping gambar yang sempat chef ambil semasa berada di Turki.

Thursday, January 12, 2012

Perkara Tak Senonoh Yang Boleh Mendatangkan Azab

Assalamualaikum.....

Ha ha. Bertemu lagi di pagi hari yang indah belaka ini. Pejam celik pejam celik.....dah masuk ke tahun baru. Sebenornya...usia kita pun meningkat dari hari ke hari. Pendek kata...dah semakin tua tak gitu.

Sebelum ke topik yang chef nak 'highlight, disini chef ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan tuan dan puan, sahabat handai terhadap rancangan Spice Routes 4 (SR4) yang telah pun melabuhkan tirainya.

Rating yang dicapai agak memberangsangkan...tak rugi rasanya kalau chef kongsikan untuk pengetahuan anda semua. Ratingnya tak kurang dari 1.6 juta orang. Apa yang chef dapat lihat, kebanyakan syarikat 'besar' berebut untuk meletakkan iklan-iklan mereka pada masa bersiarannya SR4. Apa yang berlaku adalah disebabkan sokongan yang tak berbelah bagi dari anda semua. Terima kasih.

Berbalik kepada tajuk di atas, rasanya 'wajib' chef kongsikan disini sebagai seorang yang bergelar Islam. Walaupun ianya keluar dari topik masak memasak, tapi chef terpanggil untuk berkongsi maklumat dengan anda tentang satu perkara yang boleh mendatangkan kerugian pada kita di hari kelak nanti.

Ianya melibatkan tentang perkara buang air ataupun dipanggil sebagai "istinjak". Semasa chef berada di salah sebuah pasaraya di Kulim malam tadi, chef telah disajikan dengan satu perkara yang tak senonoh yang berlaku di depan mata chef.

Ceritanya berkisar kepada seorang pakcik ni...rasanya dalam 40 an. Chef melihat didepan mata chef sendiri dan terkejut besar di atas perlakuannya. Dahlah kencing berdiri dalam 'corong najis pada dinding', tak cuci pulak tu.

Dengan selamba, pakcik itu datang mengambil wuduk di kawasan wuduk yang disediakan dalam tandas itu. Sebenarnya, tiada tempat wuduk disediakan dalam surau ini dan kebanyakan yang hendak bersolat perlu mengambil wuduk di kawasan wuduk dalam tandas tersebut.

Chef benar-benar pasti dan waras pada ketika itu dan memang tiada air yang mengalir pada corong tadi. Kebetulan pula chef berada di kawasan berwuduk dan melihatperkara tak senonoh orang tua ini. Lepas itu, selamba je orang tua ni masuk surau dan mendirikan solat isyak.

Sebenarnya chef bukanlah nak lihat keburukan orang ataupun pandang buruk terhadap seseorang....tapi perkara ini berlaku di depan mata chef. Persoalannya, apa akan jadi pada solat yang didirikan kalau perkara sekecil-kecil ini (buang air) tidak dititikberatkan. Yang pasti dan pasti, solat yang didirikan ini pasti akan ditolak oleh Allah.

Adakah orang ini tak faham dengan hukum, rukun dan adab bersolat ataupun buat-buat tak faham? Perkara sekecil ini pun diperlekeh-lekehkan dan dipermain-mainkan. Setahu chef, perkara berkaitan buang air ini tidak boleh diperkecil-kecil kerana buruk akibatnya kelak.

Apa yang chef faham, azabnya sungguh pedih iaitu siksaan dalam kubur selain dibakar dalam api yang marak. Selain itu, perkara pertama yang akan disoal dalam kubur adalah solat.

Arwah ayah pernah berpesan kepada chef agar jangan sesekali kencing berdiri kerana azabnya cukup pedih bagi orang lelaki yang kencing berdiri. Titisan air kencing yang terpercik mungkin kita tidak sedari terkena pada kain kita, dikatakan turut menjadi ubat penawar bagi syaitan yang mendiami tandas-tandas.

Untuk itu, adab masuk tandas disuruh untuk diamalkan sebagaimana yang diamalkan oleh nabi kita.

Perkara solat perlu kita titikberatkan. Kalau solat tertolak maka yang lain-lain amalan pasti tertolak. Memang rugi rasanya amalam solat yang dilakukan bertahun-tahun lamanya tertolak hanya disebabkan perkara ini.

Sebenarnya, ini baru yang nampak depan mata dan yang tak nampak...tentu banyak. Mujurlah chef tak berimamkan orang tersebut semasa solat. Chef juga tak sempat untuk bermuzakarah dengan beliau kerana beliau telah selesai solat lebih awal dari chef.

Apa yang chef kongsikan ini adalah sebagai peringatan dan panduan untuk diri chef sendiri dan chef juga ingin berkongsi dengan anda semua dalam mendidik anak-anak terutama yang melibatkan anak lelaki.

Wallahualam.....

Chef Hussin

Friday, December 2, 2011

Deepfried Tiger Prawn with Garlic Soy Sauce

Assalamualaikum...

Aummmmmmm.....haha macam Harimau Malaya mengaumlah pulak. Maklumlah semangat pasukan bolasepak menang tempoh hari masih dirasai sampai ke hari ini.

Sebenarnya ianya ada kaitan dengan post kali ini. Menu pada kali ini, chef akan menggunakan Udang Harimau...aummmmm. Chef ingin berkongsi satu resepi yang cukup mudah disediakan bagi yang menggemari makanan laut terutama sekali udang harimau ini.

Untuk itu, elok benarlah anda mencuba resepi ini. Kalau dialih bahasa, ianya berbunyi Udang Harimau Goreng Bersos Soya Bawang Putih.
Resepi ini sebenarnya diolah dari resepi masakan Cina. Masa yang diambil untuk menyediakannya juga tak lah lama....boleh settle dalam masa kurang dari 30 minit.

Sebenarnya ini merupakan salah satu menu yang chef ambil dari Chinese set menu yang diajar kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari tempoh hari.

Perkara paling penting, pastikan masakan yang disediakan tidak terlalu masin. Maklumlah, masakan yang disediakan tempoh hari dah termasin sikit. Ada pelajar chef ni kuat makan masin gamaknya.....apapun rasanya memang sedap.

Apa kata tanpa membuang masa chef letakkan resepi masakan ini untuk anda salin...pastu mencubanya.

Bahan-bahan

6-8 ekor udang harimau (dibelah tengahnya)
2-3 sudu besar tepung gandum
1 sudu kecil tepung jagung
1 biji telur
Garam dan serbuk lada putih secukup rasa
Minyak untuk menggoreng
6-8 lidi buluh

Bahan B (sosnya)
4-5 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 sudu kecil sos tiram
1 sudu besar kicap lemak manis
Sedikit air/stok ayam
Sedikit bancuhan tepung jagung (untuk memekat)
Minyak untuk menumis

Cara Menyediakannya

Bersihkan udang dan belah memanjang belakangnya.
Taburkan bahan seperti tepung, telur, garam dan serbuk lada putih ke atas udang lalu digaul sebati.
Cucukkan lidi dari ekor hingga ke kepala udang lalu digoreng garing kuning keemasan. Keluarkan lidi setelah digoreng dan ketepikannya.
Untuk membuat sosnya, tumis bawang putih dan masukkan sos tiram bersama kicap.
Masukkan sedikit air lalu dididihkan sebentar.
Pekatkan sos dengan bancuhan tepung jagung sekiranya ia tidak pekat.
Tuangkan sos ke atas udang tadi lalu dihidangkan panas-panas.

Tips

Lidi dicucuk untuk memastikan udang berada dalam keadaan lurus.
Sedikit minyak bijan boleh dimasukkan sekiranya anda meminati rasanya.

Tuesday, November 15, 2011

Ikan Kerapu Goreng Masam Manis

Untuk kali ini, chef ingin berkongsi masakan yang cukup mudah untuk disediakan oleh anda. Resepi Ikan Kerapu Goreng Masam Manis ini boleh anda cuba pada bila-bila masa. Bahan utamanya ialah Ikan Kerapu.

Kalau tiada Ikan Kerapu, hidangan ini masih boleh anda sediakan dengan menggunakan ikan lain ataupun sebarang jenis makanan laut seperti udang, sotong, ketam, lala dan sebagainya.

Yang penting penyediaan sosnya kerana ini yang akan menentukan kesedapan masakan. Apa yang boleh anda lakukan ialah goreng dahulu ikan dan seterusnya tuangkan sos keatasnya. Cara ini nampak lebih mudah bagi chef. Resepinya boleh anda rujuk dibawah post ini.

Sebenarnya menu ini telah chef sediakan untuk kelas masakan. Tema bagi minggu tersebut adalah menu masakan cina. Maka chef telah menyediakan menu seperti popia sayuran goreng, egg drop & corn kernel soup, kungpao chicken with cashewnut, deep-fried king prawn with garlic soy sauce, braised ginger beef, deep-fried garoupa with sweet sour sauce (menu ini), Chinese fried rice dan mixed vegetables.

Nak dibuat cerita, ikan kerapu yang chef terima agak besar hampir 3kg seekor. Pada mulanya chef ingin belah ikan itu ditengah menggunakan teknik "butterfly cut". Maksudkannya kepala dan ekor tidak dipisahkan dari badan dan seterusnya dicelup kedalam tepung lalu digoreng garing.

Disebabkan saiznya agak besar, terpaksalah chef pisahkan kepala dan ekor dan digoreng asing dengan isinya. Hasilnya....bolehlah anda lihat pada gambar yang chef sertakan ini.

Untuk itu, bolehlah anda mencubanya. Inilah resepinya.....

Bahan A

1 ekor ikan kerapu (potong mengikut kesesuaian anda)
1 paket tepung goreng ayam (nak jimat....buat bancuhan tepung sendiri)
1 biji telur
Garam secukup rasa

Bahan B (Sosnya)

4 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 biji bawang besar (dipotong kiub)
1/2 biji lada benggala (dipotong kiub)
8 kiub nenas (dalam tin)
2 sudu makan sos tomato
5 sudu makan sos cili
Sedikit jus buah-buahan (nenas, oren - optional)
1 sudu makan tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)
Garam, serbuk lada putih dan gula secukup rasa

Cara menyediakannya

1. Sediakan bancuhan tepung dengan mencampurkan kesemua bahan A lalu dipukul sebati.
2. Panaskan minyak, celupkan ikan dan goreng ikan kerapu hingga kuning keemasan.
3. Untuk menyediakan sosnya, tumis sebentar bawang putih beserta bawang besar.
4. Masukkan lada benggala, nenas serta sos cili dan tomato.
5. Masukkan juga jus buah jika ada.
6. Biarkan kuah sedikit mendidih lalu dimasukkan bancuhan tepung jagung lalu dikacau sebati.
7. Perasakan secukupnya dengan garam, serbuk lada putih dan gula.
8. Untuk menghidangkannya, tuangkan sos keatas ikan yang telah digoreng tadi.
9. Hias dan hidangkannya.

Selamat mencuba.......