Di Bandar Brussel |
Syukur alhamdulillah, chef antara penyelidik yang diberi penghormatan untuk mewakili UiTM. Kelebihan ini chef gunakan sebaiknya untuk menjulang nama UiTM dan Malaysia khususnya di mata dunia.
Brussels adalah ibu negara Belgium yang sememangnya dikenali sebagai pusat pentadbiran negara Eropah menjadi bukti ‘hampas kelapa yang tidak begitu dipandang bertukar menjadi emas”.
Kalau di Malaysia, orang memandangnya dengan sebelah mata. Maklumlah ianya “hampeh” tak gitu, bukannya boleh digunakan. Hanya boleh diberi makan ayam dan itik saja. Itu yang terdetik di hati chef mengenangkan nasib hampas ini. Tetapi “hampeh” inilah yang telah menjulang nama chef disebabkan khasiat yang terkandung di dalamnya yang mana tidak diketahui oleh ramai orang.
Sebelum itu, eloklah kiranya chef kongsikan serba sikit pengalaman menarik sepanjang berada di ibu kota Belgium yang merupakan antara negara Eropah yang terkecil dengan kepadatan penduduk hanya sekitar 10 juta orang sahaja.
Di Lapangan Schipol, Belanda |
Ianya merupakan lokasi pertama persinggahan sebelum chef terpaksa menaiki satu lagi penerbangan untuk ke Brussels Airport Belgium yang memakan masa hanya 15 minit sahaja. Kepenatan menempuh perjalanan yang jauh terasa menghilang sebaik menjejak kaki di Brussels dengan suhu pada ketika itu sekitar 2°C.
Badan terasa begitu segar tatkala terkena panahan angin sejuk Brussels pada awalnya. Namun lama-kelamaan keadaan ini menjadi suatu perkara yang kurang menyenangkan disebabkan cuaca yang sungguh dingin dan berangin. Mulut chef seakan-akan ‘berasap-asap’ sama seperti yang pernah anda tonton dalam kebanyakan filem Barat.
Menariknya Brussels adalah keindahan segala lokasi yang chef lawati dan juga sistem pengangkutannya yang cekap lagi sistematik. Yang tidak sedap didengari, kebanyakan penduduknya tidak begitu mengenali dan mengetahui lokasi Malaysia. Rata-rata hanya mengetahui Indonesia mungkin disebabkan pengaruh sejarah negara jiran mereka iaitu Belanda.
Sepanjang berada di sini, chef tidak begitu risau tentang soal makan dan minum. Terdapat banyak restoran keturunan Arab yang kelihatan dikiri dan kanan jalan yang menghidangkan makanan halal. Apa yang chef ketahui, kebanyakan daripada mereka adalah daripada keturunan Morocco dan Turki yang telah lama berhijrah ke situ.
Difahamkan generasi yang ada sekarang adalah generasi keempat yang mana kebanyakan fasih berbahasa Perancis. “Bonjour, merci dan au revoir” antara perkataan yang biasa chef dengari yang sering diucapkan oleh mereka ketika berselisih.
Bagi diri chef, perkataan ini sajalah yang chef fahami. Yang lain tu, ‘sepatah haram’ chef tak faham akan maksudnya. Masalah komunikasi inilah satu-satunya halangan yang chef hadapi sepanjang berada di negara ini.
Kadang-kadang “macam ayam dan itik” jadinya apabila sama-sama tidak faham apa yang diucapkan dan ‘buat-buat faham’ setelah bahasa isyarat yang digunakan.
Kebanyakan rakyat Belgium kurang fasih berbahasa Inggeris dan hanya gemar berbahasa Perancis atau Belanda. Sebenarnya chef kagum dengan kefasihan berbahasa Perancis teruatamanya dikalangan warga Arab ini. Kelihatan juga warga Pakistan yang mengusahakan perniagaan restoran, barangan cenderamata selain coklat turut fasih berbahasa Perancis.
Apabila memperkatakan tentang makanan, chef teringat kepada sejenis makanan Arab yang dipanggil ‘Durum’. Rasanya sungguh enak disebabkan kelembutan tortilla yang digulung bersama daging ayam serta salad segar bermayones selain dihidangkan bersama sos koktel dan kentang goreng.
Saiznya yang agak besar menyebabkan chef ‘senak perut’ untuk menghabiskannya seorang diri. Untuk mengelakkan pembaziran selain ‘cut cost’, terpaksalah chef berkongsi dengan kawan chef.
Minuman teh berpudina dan coklat yang dihidangkan juga begitu mempesonakan naluri rasa chef untuk merasainya berulangkali.
Teh pudina yang dihidangkan disini sungguh berbeza berbanding yang dihidangkan di Malaysia. Dari segi rasa ianya memang ada kelainan, mungkin disebabkan cara bancuhan selain teh yang digunakan.
Minuman coklatnya pula terasa begitu ‘nipis’ teksturnya selain kandungan gula yang dimasukkan memang dikawal paras kemanisannya. Ini yang membuatkan chef begitu teruja untuk merasainya selain harganya tidaklah begitu mahal, hanya dalam lingkungan 2 Euro untuk segelas coklat panas.
Untuk ke restoran ini, chef sebenarnya terpaksa menaiki keretapi bawah tanah yang mudah diakses oleh orang ramai. Dari Heysel, chef telah pergi ke satu lokasi yang diberi nama Bockstael. Bockstael merupakan antara penempatan warga Arab yang rata-ratanya menjalankan perniagaan makanan dan minuman.
Heysel pula lebih dikenali disebabkan Menara “Atomium” salah satu monumen atau menara yang terkenal di Eropah sama seperti Menara Eiffel di Paris selain deretan pusat konvensyen yang boleh menempat ribuan orang pengunjung dalam satu masa.
Masa yang diambil di antara satu lokasi ke lokasi lain hanya memakan masa selama 5 minit. Bockstael merupakan lokasi ketiga yang perlu ditujui selepas Stuyvenbergh dan Houba Brugmann. Untuk beberapa hari, durumlah menjadi makanan harian yang chef ambil untuk mengisi perut yang sedang kelaparan.
Pada hari keempat, keinginan chef kepada nasi tidak dapat dibendung lagi. Maka bermulalah penjelajahan menaiki keretapi bawah tanah mencari hidangan nasi. Daripada info yang chef perolehi, terdapat sebuah restoran Pakistan yang menjual nasi briyani terletak betul-betul ditengah ibu kota yang dikelilingi deretan bangunan besi dan kaca yang berkilau-kilauan memukau minda.
Untuk ke restoran itu, chef perlu menuju ke lokasi yang dinamakan Gare Centrale. Untuk sampai ke sini, pertukaran keretapi perlu dilakukan di Beekkant. Sebaik sampai ke lokasi kebanyakan perniagaan seperti pasaraya dan kompleks beli telah bersedia untuk menutup premis perniagaan mereka.
Rata-rata premis perniagaan di sini ditutup sekitar jam 8 malam. Yang tinggal hanya restoran-restoran kecil yang dibenarkan beroperasi hingga larut malam. Disebabkan sibuk dengan hal pameran dan pertandingan, chef hanya berkesempatan untuk bergerak kesana kemari selepas pukul 6 petang.
Restoran Pakistan yang chef singgahi itu tidaklah begitu esklusif sangat. Bolehlah diibaratkan sama macam restoran ‘kopitiam lama’ di negara kita. Pengunjung di sini diberi pilihan untuk memilih menu antara a la carte ataupun bufet.
Dengan hanya 10.50 Euro, chef dapat menikmati hidangan bufetnya yang terdiri tidak lebih dari 6 hidangan. Kesemuanya adalah berasaskan nasi, ayam dan sayur. Disebabkan masakan Pakistan yang berbeza dari segi rasa, kepuasan hidangan tidak begitu dirasai. Namun begitu, keinginan hati kepada nasi tertunai akhirnya di restoran ini.
Bercakap tentang pameran itu, chef telah menggunakan hampas kelapa dalam menghasilkan sejenis produk yang diberi nama ‘Coconut Energy Bar’. Hampas kelapa sebenarnya mengandungi peratusan serat diet yang agak tinggi selain rendah kandungan lemaknya.
Untuk menghasilkan produk tersebut, chef telah menggunakan beberapa ramuan pastri yang mudah didapati untuk menghasilkan intinya. Inti inilah yang bertindak sebagai ‘magic ingredient’ bagi produk chef untuk memikat hati kesemua 11 juri pertandingan.
Namun begitu, ramuan dan cara penyediaannya tidak dapat chef dedahkan disini disebabkan sudah ada perjanjian diantara ‘investor Eropah’ untuk membeli hasil ciptaan chef.
Kecut perut chef dibuatnya ketika pertandingan berlangsung. Mana tidaknya, juri-juri yang mengadili semuanya ‘pakar-pakar belaka’. Ada yang mikrobiologis, saintis makanan, profesor universiti dan CEO industri.
Dengan keyakinan yang ada serta produk yang ‘kuat’ dari segi khasiat dan nilai komersialnya, chef telah berjaya membentangkan hasil penyelidikan/inovasi dengan sebaiknya. Hasilnya chef telah berjaya memenangi pingat emas bagi produk berupa hampas ini.
Sesungguhnya, Allah telah memakbulkan doa chef dengan menukarkan hampas kelapa menjadi emas di bumi Belgium ini. Sekurang-kurangnya, nilai yang tersembunyi di dalam hampas ini dikaji agar ianya tidak disisih begitu sahaja.
Sekalung penghargaan chef tujukan kepada UiTM diatas kesempatan yang diberikan untuk diri mencuba yang terbaik.
love the adventure story :)sronok kan jd pro ni.. kita memasak kat dapur je ahakks..
ReplyDeleteIris: Taklah pro sangat. Masih belajar dan dahagakan ilmu. Sebab itu, chef suka bertukar2 pandangan. Hope sudi utk berkongsi pendapat k.
ReplyDeleteInsya Allah.. sharing is caring :) nant share la juga page kita kat cni ye chef.. kita dah link chef punya.. jemput la dtg umah sy yang tak berapa nak cantik ni..hehehe http://iriskitchen.blogspot.com
ReplyDeleteBaik iris. Buat masani, chef tak tahu mcmmana nak buatkan column tu. Maklumlah kurang celik IT. Insyaallah, nanti dah ada chef linkkan k. Don worry
ReplyDeleteSalam ziarah dan salam kenal chef, menarik kan Belgium...saya pun dah sampai sana dah..btw saya link kan blog chef yer.jemput singgah blog buruk saya...http://nurniezza.blogspot.com
ReplyDeleteThanks nurnieza. Nanti saya singgah k. Really appreciate.
ReplyDeletehebat la chef hampas kelapa bwak tuah pda chef kan... TAHNIAH :)
ReplyDeleteThis comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDeleteSaya ada byk hampas kelapa
ReplyDelete