Selamat Datang Ke Studio Masakan Ku

Apabila perut berbunyi,
Akal mengarahkan agar makanan dicari.

Kaki bergerak menuruti hati.
Telinga mendengar mencari keistimewaan.
Mata memandang melihat kebaikan.

Tangan mengambil tanda disukai.
Mulut mengunyah merangsang lidah.
Bekalan dihantar tanda kesepakatan.


Salam perkenalan.
Selamat datang ke studio masakanku.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Sebagai tetamu, anda amat chef hargai.
Keceriaan anda keutamaan bagi diriku.



Wednesday, July 21, 2010

Penggayaan Makanan - Antara Cabang Kulinari Yang Semakin Popular

Salam sejahtera kepada anda yang masih setia bersama blog ini. Untuk ruangan kali ini, chef ingin mengalihkan perhatian anda semua dengan menyentuh kepada satu lagi topik yang sememangnya menarik untuk dikongsikan bersama. Apatah lagi ianya semakin diminati selain popular kebelakangan ini.

Mungkin anda pernah mendengarnya ataupun pernah mengalami kesannya tanpa disedari. Anda sebenarnya didorong untuk mencuba sesuatu makanan atau minuman disebabkan kekuatan penampilan gambar makanan yang ditonjolkan di papan menu restoran selain menu di tangan.

Melihat kepada gambar di dalam menu saja, menyebabkan anda terliur. Pastinya nafsu melonjak selain ingin mencubanya. Inilah penangan 'food stylist' kepada jiwa dalam mendorong anda untuk mencubanya selain meningkatkan jualan serta keuntungan restoran.

'Food stylist' atau penggayaan makanan merupakan satu lagi cabang kulinari yang boleh diberi perhatian serius dalam mengembangkan industri makanan selain menyediakan ruang untuk anda menghasilkan pendapatan lumayan.

Memang tidak dapat dinafikan, pelbagai faktor mendorong orang ramai untuk mengunjungi sesuatu premis makanan ataupun membeli sesuatu produk makanan. Namun begitu, impak 'food stylist' terhadap menu ataupun pembungkus makanan tidak boleh diketepikan langsung.

Naluri manusia sememangnya berbeza, walau bagaimanapun pasti mereka akan menyukai sesuatu yang menarik. Gambar yang menarik pasti mendorong sesiapa saja untuk mencuba. Ianya bolehlah diibaratkan sebagai 'umpan' untuk menjerat mangsanya. Kesedapan makanan adalah perkara kedua. Apabila umpan sudah mengena ditambah pula dengan rasa yang sedap, kesetiaan pelanggan akan tercipta.

Minat kepada 'gadget' seperti kamera DSLR selain asas dalam pengendalian komputer perlu ada dalam merealisasikan apa yang dibincangkan. Secara tidak langsung anda menjadi seorang yang begitu kreatif selain berjaya memiliki sebahagian daripada ilmu dan kemahiran yang selalunya ada pada seseorang jurugambar profesional.

Namun begitu, ianya dipelajari bukanlah untuk menukarkan profesion anda dari seorang chef kepada seorang jurugambar. Bolehlah dikatakan ianya lebih kepada ilmu yang boleh anda manfaatkan dalam menghasilkan wang tambahan. Itu pun kalau kena pada gaya dan tempatnya.

Untuk pengetahuan anda, rata-rata chef mempunyai kamera dipoket semasa bekerja. Paling tidak pun kamera digital selain kamera 'hand phone' digunakan untuk mengambil gambar makanan yang dihasilkan untuk dijadikan bahan rujukan.

Perkara sebegini selalu chef lihat semasa bekerja di kebanyakan hotel besar. Selain itu, ianya juga boleh dilihat semasa berlangsungnya sesuatu pertandingan masakan. Kebanyakan chef datang ke situ bukan hanya dengan tangan kosong. Yang pasti kamera akan sentiasa berada dalam genggaman untuk merakam segala detik serta makanan yang menarik perhatiannya.

Kenapa tidak perkara yang biasa dilakukan ini digunakan dalam menambah sumber pendapatan anda. Daripada sekadar suka-suka untuk simpanan, ianya boleh menghasilkan 'duit' sekiranya digunakan pada tempat yang sepatutnya.

Umumnya, bidang ini telah lama dipraktikkan di luar negara namun di negara kita ianya masih lagi dalam proses pengenalan. Tidak ramai yang terlibat secara langsung kecuali 'photographer' yang mengenakan caj yang agak tinggi untuk sesuatu gambar yang dirakam.

Setahu chef, ada 'photographer profesional' mengenakan bayaran sebanyak RM500 hanya untuk satu 'shot' gambar yang ingin diletakkan pada pembungkus makanan. Inilah harga yang diletakkan dan kebanyakan kilang sanggup membayarnya.

Bila berkata tentang bisnes, sememangnya mereka memahami kesan gambar kepada jiwa manusia selain melariskan jualan dalam meningkatkan keuntungan syarikat. Ini yang berlaku dalam industri makanan kita, ditambah pula dengan pelbagai produk baru mula memasuki pasaran.

Pada masa kini, kecenderungan positif dapat dilihat dalam diri kebanyakan chef yang melibatkan diri dalam cabang ini. Penglibatan mereka didapati meningkat dari masa ke semasa dan peningkatan ini adalah kesan langsung dari pengenalan kursus yang berkaitan di kebanyakan universiti. Antara yang terawal yang menawarkan adalah UiTM bagi program Sarjana Mudanya.

Bagi anda yang ingin membuat duit, perkara pertama yang perlu anda ada adalah ilmu dan skil penggayaan makanan. Ianya lebih kepada sentuhan anda pada makanan yang menaikkan seri makanan yang dihidangkan. 'Creative touch' pada sesuatu 'plate presentation' adalah dua elemen yang cukup penting.

Perkara kedua, bersangkut paut dengan minat pada kamera DSLR. Asas pengendalian kamera DSLR dan perisian komputer perlu ada dalam menghasilkan gambar yang berkualiti.

Setelah makanan digayakan, kini tiba masanya untuk ianya dirakam. Teknik fotografi digunakan agar ianya kelihatan begitu menakjubkan selain menarik minat orang yang melihatnya. Ditambah pula dengan kerja-kerja 'post ad' software seperti Adobe Photoshop dalam mengedit gambar agar lebih menarik.

Dah ada ilmu, barulah cuba untuk menghasilkan wang. Berilah servis dengan menghasilkan gambar yang menarik mengikut konsep yang dikehendaki oleh pelanggan anda. Konsep gambar perlu ada sebelum sesuatu gambar diambil.

Tak kiralah apa jua konsep yang diminta, gambar yang dihasilkan mestilah benar-benar 'stylo'. Yang penting, pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja anda.

Peringkat awalan, bolehlah anda cuba untuk memberi servis kepada restoran-restoran baru yang akan dibuka. Restoran lama juga boleh dicuba sekiranya ada yang ingin 'rebranding' perniagaan mereka. Lepas-lepas itu, barulah cuba untuk masuk kilang-kilang terutama yang berstatus 'SME'.

Gambar dibawah adalah lebih kepada 'plate presentation'. Namun ada elemen-elemen 'food stylist' yang diselitkan. Rasanya sesuai untuk restoran yang menjual laksa. Tak gitu...hehe. Gambar langkah demi langkah chef berikan dibawah untuk anda ikuti sebelum sesuatu makanan disiapkan.







1 comment:

  1. Hello there! This article couldn't be written any better! Reading through this post reminds me of my previous roommate! He always kept preaching about this. I most certainly will forward this post to him. Pretty sure he'll have a good read. Many thanks for sharing!สล็อตออนไลน์

    ReplyDelete